30 Oktober 2021

Tonga kesan kes pertama Covid-19

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Nuku'alofa, Tonga: Perdana Menteri Tonga, Pohiva Tuionetoa memberi amaran kepada penduduk di pulau utama negara ini, Tongatapu, bahawa mereka berkemungkinan dikenakan perintah berkurung minggu depan selepas merekodkan kes Covid-19 yang pertama.

Kepulauan kecil itu sebelum ini adalah antara negara yang tidak berhadapan dengan ancaman virus membunuh itu.

Bagaimanapun, negara itu mencatat kes pertama mereka selepas ia dikesan pada seorang individu yang menjalani kuarantin selepas pulang ke Tonga melalui penerbangan dari New Zealand.

"Perintah berkurung tidak dibuat minggu ini kerana saya dinasihatkan bahawa virus itu memerlukan masa tiga hari untuk membiak dalam badan manusia sebelum ia boleh berjangkit.

"Kita perlu menggunakan masa ini untuk bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan lebih ramai individu dijangkiti Covid-19.

Sebahagian besar daripada keseluruhan jumlah 106,000 penduduk Tonga tinggal di Tongatapu, manakala kurang satu per tiga pula sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurut pegawai kesihatan, individu yang dikesan positif Covid-19 itu sudah menerima suntikan kedua vaksin pertengahan Oktober lalu.

Pesawat dinaikinya turut membawa pulang ahli pasukan Olimpik Tonga yang terkandas di Christchurch sejak temasya sukan di Tokyo itu.

Atlet terbabit selesai menerima dua dos vaksin Covid-19 sebelum berlepas ke temasya sukan berkenaan.

Kementerian Kesihatan New Zealand pula mengesahkan individu dijangkiti itu sudah menjalani ujian saringan dengan keputusan negatif sebelum berlepas dari Christchurch yang hanya mempunyai empat kes Covid-19.

AFP.


Tiada ulasan: