30 Oktober 2021

SEMARAK NIAGA: RM40 bilion pakej pembiayaan usahawan

 

KUALA LUMPUR: Pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion akan disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (atau SemarakNiaga) merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia bertujuan memanfaatkan setiap golongan usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.

Katanya, dalam mengembali keupayaan perniagaan sebagai strategi pertama, kerajaan sebagai pemudah cara akan memperbanyak akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan sektor informal.

"Berdasarkan sesi libat urus yang telah saya hadiri dengan pelbagai pihak, akses kepada kemudahan pembiayaan kerap kali dibangkitkan, baik oleh usahawan kecil, mahupun syarikat besar.

"Untuk itu, bagi tahun 2022, pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion disediakan di bawah SemarakNiaga.

"Skim pembiayaan ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti dengan sasaran untuk memanfaatkan setiap golongan usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, semalam.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan dan institusi kewangan juga telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi membolehkan syarikat mempunyai lebih keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

Beliau berkata, ini adalah untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu kerana terjejas oleh situasi semasa.

Katanya, satu perkembangan menarik sewaktu pandemik ini ialah peningkatan pesat dalam pembiayaan melalui kaedah 'equity crowd funding' dan 'peer-to-peer financing', iaitu lebih RM1.3 bilion dana diperolehi melalui kaedah-kaedah ini sejak tempoh pandemik bermula.

"Makanya, bentuk pembiayaan sebegini akan terus disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Coinvestment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) sebanyak RM100 juta.

"Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah gearing atau leveraj, kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity akan diperkenalkan. Kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan BSN dengan dana bernilai 600 juta ringgit dan terbuka kepada semua terutamanya usahawan Bumiputera.

"Selain itu, BPMB juga akan menawarkan Skim RESET (atau Rehabilitation and Support Through Equity) dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan Business Recapitalisation Fund bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: