30 Oktober 2021

WARISAN hilang 1 kerusi Parlimen, Mohamaddin Ketapi keluar parti


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. - NSTP/ARKIB
Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. - NSTP/ARKIB

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-WARISAN itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama turut mengumumkan menjadi ADUN Bebas mesra kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohamaddin menjadi pemimpin kedua WARISAN meninggalkan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu dalam bulan ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pada 8 Oktober lalu.

WARISAN kini sudah kehilangan tiga wakil rakyat di DUN selepas seorang lagi ADUN parti itu bagi kerusi Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir lebih awal mengambil tindakan sama pada Februari lalu.

"Di Dewan Rakyat, saya mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas sepenuhnya. Namun, sekiranya satu undi Bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat," kata Mohammadin pada sidang media, di sini.

Memberi alasan keputusannya keluar parti demi usaha dan tumpuan untuk membawa pembangunan di DUN Segama dan Parlimen Lahad Datu kerana beliau sukar menjawab pertanyaan penyokong mengenai usaha membangunkan kawasan.

"DUN Segama menjadi penyumbang terbesar dari segi hasil ekonomi di Lahad Datu kerana mempunyai kawasan ladang kelapa sawit yang luas dan banyak kilang sawit tetapi tandas awam pun tiada di Segama.

"Jadi, kalau saya terus menjadi wakil rakyat pembangkang, selama empat tahun lagi sebelum pilihan raya negeri akan datang, saya tidak dapat bawa apa-apa kemajuan di Segama khususnya. Berikutan itu, hari ini saya isytiharkan keluar WARISAN dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra kerajaan negeri Sabah," katanya lagi.

Menegaskan sudah bersedia untuk berdepan apa saja termasuk tindakan undang-undang daripada parti itu, Mohamaddin turut menolak dakwaan kononnya berlaku 'pembelian' wakil rakyat supaya meninggalkan WARISAN.

"Saya tidak percaya beli membeli wakil rakyat kerana saya tidak dibeli. Saya isytihar keluar parti bukan kerana dibeli. Saya kata tadi DUN Segama kasihan, tiada apa-apa pembangunan, malah tandas awam pun tiada," katanya.

Mohammadin yang juga Ahli Majlis Tertinggi WARISAN memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu (dahulu Silam) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018 atas tiket WARISAN dan kerusi DUN Segama pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) tahun lalu.

WARISAN menang sembilan kerusi Parlimen di Sabah pada PRU-14, namun satu kerusi kini kosong susulan penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober tahun lalu.

Berikutan keputusan Mohammadin, penyandang tujuh kerusi Parlimen daripada WARISAN ketika ini adalah Mohd Shafie (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Rozman Isli (Labuan), Ahmad Hassan (Papar) dan Ma'mun Sulaiman (Kalabakan).

BHARIAN.

Tiada ulasan: