23 Oktober 2021

'Vaksin Pfizer lebih 90 peratus berkesan terhadap kanak-kanak'

  Foto fail AFP

Foto fail AFP

WASHINGTON: Pfizer dan rakannya, BioNTech menjelaskan vaksin COVID-19 dihasilkan mereka selamat dan menunjukkan 90.7 peratus keberkesanan terhadap kesan simptomatik bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, lapor agensi berita Xinhua.

Syarikat itu mendedahkan data berkenaan dalam satu dokumen yang disiarkan semalam menjelang pertemuan penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan Selasa ini.

Pfizer dan BioNTech menggunakan kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) dos mengandungi 10 mikrogram (mg) untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Kedua-dua dos itu akan diberikan dalam selang masa tiga minggu.

Data terbabit menunjukkan dua dos awal yang diberikan kepada kanak-kanak berusia antara lima dan kurang 12 tahun memberikan tahap keberkesanan tinggi terhadap COVID-19 ketika varian yang membimbangkan (VOC) Delta mendominasi kes di AS.

Jawatankuasa Penasihat Vaksin dan Produk Biologi Berkaitan FDA dijadualkan mengadakan pertemuan Selasa ini bagi membincangkan mengenai kelulusan penggunaan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Jika diluluskan, ia akan menjadi vaksin COVID-19 pertama yang diberikan kepada kanak-kanak lebih muda.

Ketika ini, vaksin Pfizer-BioNTech diluluskan sepenuhnya untuk individu berusia 16 tahun ke atas serta mempunyai EUA untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun. - BERNAMA

Tiada ulasan: