23 November 2021

AirAsia Super App penghantaran pantas di tujuh bandar utama

 

KUALA LUMPUR: AirAsia Super App, cabang perniagaan di bawah AirAsia Group memperkenalkan perkhidmatan penghantaran barangan pantas, airasia Xpress di tujuh bandar utama Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo, berkata perkhidmatan terbaru kumpulan itu membolehkan penghantaran barangan dilaksanakan dalam tempoh kurang satu jam mengikut lokasi dan jarak.

Beliau berkata, airasia Xpress sudah boleh digunakan melalui aplikasi superapp AirAsia bagi pengguna di Lembah Klang, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu.

Perkhidmatan ini juga katanya akan dilaksanakan oleh cabang logistik airasia iaitu Teleport.

"Sebagai permulaan, airasia Xpress akan berada di tujuh bandar ini sebelum perkhidmatannya akan diperluaskan ke bandar lain di Malaysia dan juga negara serantau.

"Ketika ini kawasan penghantaran adalah terhad tetapi kumpulan akan mengembangkan operasi airasia Xpress pada suku kedua tahun hadapan merentasi negara. Ia juga melengkapkan ekosistem kami dalam penghantaran sebelum ini merangkumi makanan, barangan keperluan asas dan e-hailing.

"airasia Xpress bakal dikembangkan ke bandar utama di Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina sebelum menjengah pasaran Korea Selatan, Jepun, China dan India. Penghantaran dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh 24 jam," katanya selepas melancarkan airasia Xpress di sini hari ini.

Pengguna airasia Super App kini boleh memilih antara perkhidmatan penghantaran segera di bawah satu jam dan penghantaran pada hari yang sama dalam tempoh empat hingga enam jam menggunakan motosikal dan kereta.

Amanda berkata, AirAsia terus berinovasi menawarkan kemudahan, nilai dan peluang baharu kepada pengguna, menjadikan kehidupan harian lebih mudah dan selamat.

Beliau berkata, langkah pendigitalan dan perniagaan baru ini juga membolehkan Kumpulan AirAsia terus kukuh dan menyokong perkhidmatan penerbangan kumpulan.

Katanya, AirAsia menyasarkan menjadi peneraju dalam integrasi ekosistem sektor penerbangan, dari perkhidmatan penerbangan, penghantaran makanan, e-hailing dan barangan.

Sementara itu, Ketua Penghantaran (e-Dagang) airasia Super App, Lim Ben-Jie, berkata dalam tempoh pemulihan disebabkan pandemik COVID-19, pengguna semakin memerlukan perkhidmatan penghantaran yang cekap dan harga berpatutan serta tanpa sentuh.

Beliau berkata, menggabungkan kemudahan dan jangkauan rangkaian kumpulan di ASEAN dan global, airasia xpress akan menyokong individu dan perniagaan mikro dengan perkhidmatan penghantaran yang pantas dan mudah. 

"Usahawan sosial khususnya akan mendapat manfaat besar daripada tawaran kami untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya dalam pasaran e-dagang yang berkembang pesat.

"Kami juga komited untuk memberikan yang terbaik dan optimis airasia xpress akan menjadi perkhidmatan pilihan utama," katanya.

Sempena pelancaran itu juga, airasia Xpress menawarkan penghantaran percuma selama 72 jam bermula 23 hingga 25 November 2021.

BHARIAN.

Tiada ulasan: