23 November 2021

Kerugian bersih AirAsia meningkat kepada RM887 juta

 Gambar fail. - Bloomberg

Gambar fail. - Bloomberg

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih AirAsia Group Bhd melebar kepada RM887 juta untuk suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding RM851.78 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan juga menyusut 37 peratus kepada RM295.9 juta daripada RM468.9 juta sebelumnya berikutan sekatan penerbangan di Malaysia serta Indonesia yang mengakibatkan penurunan penumpang masing-masing sebanyak 91 peratus dan 79 peratus.

AirAsia dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata perolehan yang lebih rendah itu telah diimbangi oleh cabang logistiknya, Teleport, yang merekodkan kenaikan pendapatan tiga kali ganda pada suku ketiga.

Hasil Teleport melonjak kepada RM157.9 juta berbanding RM55.67 juta dan menyumbang sebanyak 53 peratus daripada jumlah pendapatan suku ketiga 2021.

"Kumpulan tetap meneruskan langkah-langkah pembendungan kos termasuk saiz tenaga kerja dan pemotongan gaji bagi pengurusan, kakitangan dan pengarah sambil menguruskan kapasitinya secara aktif agar selaras dengan permintaan untuk segmen penerbangan," katanya.

Syarikat bersekutu syarikat penerbangan itu, Thai AirAsia (TAA) juga melaporkan hasil yang lebih rendah sebanyak 457.5 juta baht Thai (100 baht Thai = RM12.71) untuk suku ketiga 2021 berbanding 2,403.2 juta baht yang dicatatkan dalam suku ketiga 2020 kerana TAA kekal dalam hibernasi bagi kebanyakan suku berkenaan.

Sementara itu, Airasia superapp melaporkan pendapatan negatif sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM79.2 juta untuk suku ketiga 2021, didorong oleh kos pelaburan bagi mempercepatkan pengembangan ekosistem dan pembangunan teknologi untuk platform penghantaran makanan serta carian yang disatukan.

AirAsia ketika bercakap mengenai prospek menjangkakan momentum jualan semasa dan arah aliran tunai yang berkurangan akan berterusan ke suku keempat 2021 memandangkan kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan perjalanan santai.

"Sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi kumpulan untuk menjadi lebih daripada sekadar kumpulan penerbangan, kumpulan hampir sahaja menyelesaikan penstrukturan semula tonggak perniagaan yang berbeza dalam kumpulan dengan pengurusan bebas.

"Selain daripada industri penerbangan, kami melihat wujud daya tarikan dalam perniagaan penyelenggaraan kejuruteraan pesawat kami di bawah Asia Digital Engineering, kargo dan penghantaran terakhir di bawah Teleport, airasia superapp termasuk Bigpay," katanya, sambil menambah bahawa lembaga meramalkan ia akan mempunyai kecairan yang mencukupi bagi mengekalkan operasi perniagaan sepanjang 2021 dan 2022. – Bernama

Tiada ulasan: