23 November 2021

Universiti usahawan bakal ditubuhkan Julai tahun depan

 Tan Sri Noh Omar

Tan Sri Noh Omar

Kuala Lumpur: Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia bakal ditubuhkan pada Julai tahun depan dengan menerima kemasukan 1,000 pelajar sebagai permulaan.

Universiti itu adalah hasil naik taraf daripada Kolej Keusahawanan Koperasi Antarabangsa yang terletak di Cyberjaya, Selangor.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata proses menaiktaraf kepada universiti itu kini di peringkat akhir dan sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Universiti ini kita jangka akan dilancarkan pada Julai tahun depan bersempena dengan pengiktirafan bulan berkenaan sebagai bulan koperasi.

"Kabinet baru sahaja meluluskan pengiktirafan bahawa setiap bulan Julai akan dikenali sebagai bulan koperasi. Jadi kita harap apabila sudah mempunyai bulan koperasi, maka kita dapat menggerakkan gerakan koperasi dengan lebih hebat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Seminar Bicara Ketua Eksekutif 'Nafas Baharu Koperasi Era Endemik' dan Majlis Pelancaran Akronim Baharu Institut Koperasi Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai penggunaan akronim baharu Noh berkata, Institut Koperasi Malaysia yang menggunakan akronim IKM akan meminda akronim tersebut kepada IKMa.

"Tujuan utama pindaan ini adalah bagi meningkatkan imej dan visibilitinya di mata umum supaya masyarakat lebih mengenali dan memahami peranan IKMa dalam melahirkan warga koperasi yang cemerlang dan berdaya saing.

"Penjenamaan semula akronim ini dilihat sangat penting agar IKMa diperkukuhkan sebagai Pusat Latihan Modal Insan Koperasi dalam merealisasikan DKN2030 dan TransKoM 2021-2025.

"Disamping itu, penjenamaan ini juga sekali gus dapat menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi kerajaan yang lain contohnya seperti Institut Kemahiran MARA yang turut menggunakan akronim IKM," katanya.

Dalam pada itu Noh berkata, berdasarkan kajian impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijalankan pada tahun ini oleh dua agensi koperasi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan IKMa mendapati sebanyak 67.3 peratus koperasi sangat terkesan dan akibatnya membawa kepada 14.7 peratus koperasi terpaksa menutup operasi perniagaan.

"Justeru, dalam usaha melandaikan lekuk Covid-19 ini, gerakan koperasi perlu bersama-sama dalam memerangi gejala pandemik ini dan berupaya menggerakkan semula aktiviti koperasi dengan menceburi bidang perniagaan baharu yang lebih berimpak tinggi.

"Langkah kerajaan membuka semula banyak sektor ekonomi baru-baru ini bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, malah memberikan peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

"Kita perlu mengamalkan norma baharu dalam menjalankan aktiviti harian dan gerakan koperasi tidak terkecuali dalam memikul tanggungjawab dalam sama-sama menjayakan Pelan Pemulihan Negara," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: