23 November 2021

Dua marsyal ditahan, empat lagi diburu

 

POLIS menahan dua lelaki yang bertindak sebagai marsyal yang memberhentikan kenderaan awam di Port Dickson.

PORT DICKSON: Polis menahan dua lelaki awal pagi tadi yang bertindak sebagai marsyal yang memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di lampu isyarat di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2.45 pagi di kawasan Springhill dan Lukut di sini.

“Kedua-dua suspek masih bujang dan bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang.

“Turut dirampas adalah dua buah motosikal jenis Kawasaki GTR 1400  dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian serta kasut yang digunakan semasa rakaman dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, kesemua suspek ditahan di Balai Polis Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Usaha mengesan empat individu yang bertindak sebagai marsyal masih lagi dijalankan,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan rakaman video tular berdurasi satu minit 10 saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook menunjukkan aksi marsyal mengawal dan memberhentikan kendereraan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di sini.

Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah dan tindakan marsyal itu dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.

Pergerakan motosikal berkuasa besar ini dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke bulatan Sunggala, Telok Kemang.

UTUSAN.

Tiada ulasan: