14 November 2021

Kedah tidak keluar lagi lesen premis judi

 

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak akan mengeluarkan lagi kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri Kedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keputusan berkenaan diambil hasil perbincangan pada mesyuarat khas Exco Kerajaan Negeri minggu lalu.

Menurutnya, tindakan berkenaan untuk mewujudkan Kedah bebas judi memandangkan aktiviti tidak sihat itu hanya membawa kesan negatif serta mengundang kerosakan.

“Saya yakin semua pihak mengakui judi menjadi punca kerosakan dan keruntuhan tamadun serta institusi keluarga.

“Mereka (penjudi) yang terlibat hanya menimbulkan suasana tidak aman, porak peranda kerosakan kepada masyarakat,” jelas beliau pada sidang media sempena sidang Bajet Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Justeru itu katanya, sebagai ketua kerajaan, beliau bertanggungjawab memastikan negeri ini bebas judi dan lesennya tidak lagi dikeluarkan di semua PBT seluruh Kedah.

Sementara itu tegas Muhammad Sanusi, penjualan arak juga akan dihadkan untuk penggunaan masyarakat bukan Islam sahaja, terutama di PBT yang tiada permintaan seperti di kawasan luar bandar.

Tindakan itu juga, katanya akan mengambil kira premis bebas cukai di Langkawi dan lain-lain yang tidak mempunyai lesen penjualan arak.

“Kita juga berbincang berkenaan premis bebas cukai di Langkawi dan premis lain yang tidak mempunyai lesen penjualan arak supaya tidak dijual secara terbuka,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 14/11/21

Tiada ulasan: