14 November 2021

Asif kelu diumum pemenang Artis Komedi Popular

 Syazmi (kiri) membetulkan pelitup muka ketika Asif menerima trofi bagi kategori Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34. - NSTP/Aziah Azmee

PreviousNext

KUALA LUMPUR: Gelagat spontan pemenang Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Asif Suhaimi ketika menerima trofi yang diumumkan Zara Zya mencuit hati ramai.

Kelihatan seperti 'lost' dan kelu untuk berkata-kata sambil membetulkan pelitup muka, Asif akhirnya dibantu sepupu, Syahmi Sazli untuk mengucapkan sesuatu atas kemenangan pertama menerusi ABPBH 34.

Lucunya, Syahmi turut memberi amaran kepada Asif untuk berucap selama lima saat sahaja.

"Assalamulaikum, selamat petang dan selamat malam.

"Terima kasih banyak-banyak datang majlis ini," katanya.

Asif yang juga seorang autisme mengejutkan ramai apabila menewaskan artis nama besar iaitu Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce yang bersaing dalam kategori sama.

Mula mengumpan peminat apabila muncul dalam Drama Spontan di YouTube disusuli filem bajet rendah, Mael Totey The Movie arahan sepupu sendiri, Syahmi yang mencetuskan fenomena pada era pandemik COVID-19, Asif mencuit hati dengan gelagat bersahaja dan dialek Kelantan.

Tidak lama lagi, Asif akan memulakan penggambaran filem baharu, 35 MM yang juga arahan Syahmi.

BHARIAN.


Tiada ulasan: