25 Disember 2021

68 laluan masih ditutup akibat banjir - Acryl Sani

 Pemandangan berdebu di Laluan FT 086 Jalan Seremban-Simpang Pertang berikutan sisa-sisa lumpur kering berterbangan akibat kejadian tanah runtuh kesan hujan lebat sebelum ini. Tinjauan semalam mendapati laluan alternatif ke Pantai Timur itu sudah boleh diakses selepas kerja pembersihan dilakukan. - BERNAMA

Pemandangan berdebu di Laluan FT 086 Jalan Seremban-Simpang Pertang berikutan sisa-sisa lumpur kering berterbangan akibat kejadian tanah runtuh kesan hujan lebat sebelum ini. Tinjauan semalam mendapati laluan alternatif ke Pantai Timur itu sudah boleh diakses selepas kerja pembersihan dilakukan. - BERNAMA

SHAH ALAM: Sebanyak 68 laluan di negeri-negeri terjejas banjir masih ditutup dengan paling banyak adalah di Pahang membabitkan 46 lokasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata turut ditutup adalah 14 di Selangor, lima di Negeri Sembilan dan tiga di Kelantan.

Mengenai paras sungai yang memerlukan orang ramai lebih berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya, beliau memaklumkan, di Pahang, dua sungai pada tahap waspada, empat tahap amaran dan tiga lagi kategori bahaya, manakala di Selangor, dua sungai pada tahap waspada dan satu tahap amaran.

Di Sarawak dan Johor, tiga sungai sungai pada tahap waspada, disusuli dua di Kelantan serta masing-masing satu di Terengganu dan Kuala Lumpur.

"Sebanyak 334 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka menempatkan 54,532 mangsa banjir di tujuh negeri, setakat jam 4 pagi tadi," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Memperincikan jumlah berkenaan, beliau memaklumkan, penduduk yang masih berada di PPS membabitkan 29,108 di Pahang, Selangor (23,302), Kelantan (974), Kuala Lumpur (238), Negeri Sembilan (292), Perak (105) dan Melaka (38).

Sementara itu, katanya, kerja-kerja pembersihan kawasan dilanda banjir giat dilaksanakan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan.

"Usaha itu berjalan mengikut jadual ditetapkan. Polis turut menerima sumbangan seperti lori jengkaut bagi mempercepatkan proses pembersihan kawasan banjir," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: