25 Disember 2021

Lebih 2,300 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia

 Paparan makluman di sebuah lapangan terbang di AS, semalam, menunjukkan antara penerbangan terpaksa dibatalkan. - FOTO AFP

Paparan makluman di sebuah lapangan terbang di AS, semalam, menunjukkan antara penerbangan terpaksa dibatalkan. - FOTO AFP

NEW YORK: Lebih 2,300 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia, semalam, dan ribuan lagi ditangguhkan susulan lonjakan penularan COVID-19 yang dipacu varian Omicron, sehingga menjejaskan perjalanan sempena musim percutian ketika ini.

Berdasarkan maklumat laman web Flightaware.com, sejumlah 2,325 penerbangan dibatalkan di seluruh dunia, setakat jam 8.15 malam tadi, termasuk 616 penerbangan dari atau menuju ke lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS), manakala lebih 8,000 lagi ditangguhkan.

Menurut laman web itu lagi, lebih 1,400 pembatalan diumumkan bagi penerbangan pada Krismas, hari ini.

Ramai juruterbang, kru penerbangan dan kakitangan lain dilaporkan tidak sihat atau terpaksa menjalani kuarantin selepas terdedah kepada COVID-19.

Keadaan itu menyebabkan banyak syarikat penerbangan, termasuk Lufthansa, Delta dan United Airlines, terpaksa membatalkan penerbangan dalam tempoh kemuncak perjalanan ketika ini.

Menurut Flightaware, United Airlines membatalkan lebih 185 penerbangan atau 10 peratus daripada yang dijadualkan, semalam.

United Airlines dalam satu kenyataan menjelaskan, lonjakan jangkitan Omicron di AS sepanjang minggu ini, memberikan kesan langsung terhadap kakitangannya dan pihak yang terbabit dalam operasi syarikat itu.

"Akibatnya, kami terpaksa membatalkan beberapa penerbangan, dan sedang memaklumkan perkara itu kepada pelanggan yang terkesan sebelum mereka datang ke lapangan terbang," katanya sambil memberitahu pihak syarikat sedang berusaha membuat penjadualan semula penerbangan terbabit.

Syarikat Delta pula terpaksa membatalkan sekurang-kurang 166 penerbangan, selepas 'mengusahakan segala pilihan dan sumber yang ada' - termasuk mengubah haluan serta menggantikan pesawat dan kru bagi menampung penerbangan yang dijadualkan.

"Kami memohon maaf kepada pelanggan atas keadaan yang menyebabkan perancangan perjalanan mereka sempena musim cuti ini tertangguh," katanya.

Seterusnya, 11 penerbangan bawah Alaska Airlines terpaksa dibatalkan selepas kakitangannya dilaporkan berkemungkinan terdedah kepada COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin kendiri.

Kesemua pembatalan penerbangan itu menambah kekecewaan dalam kalangan warga AS yang sudah ternanti-nanti untuk bertemu keluarga pada musim cuti kini, selepas sambutan Krismas tahun lalu turut terjejas akibat pandemik COVID-19. - AFP

Tiada ulasan: