25 Disember 2021

Kelantan bangkit selepas hampir lumpuh banjir 2014

 

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
 Kelantan hari ini menghantar 1,500 sukarelawan yang terdiri agensi kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan NGO untuk melaksanakan Misi Pemulihan Bantuan Banjir di Pahang.


Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sebanyak RM100,000 diperuntukan bagi membiayai misi melibatkan daerah seperti Kuala Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Bentong.

Katanya, pengalaman banjir besar pada 2014 menjadi pengajaran bagaimana Kelantan mampu bangkit semula selepas hampir lumpuh akibat bencana luar jangka itu dengan bantuan negeri-negeri lain.

“Banjir ketika itu datang dengan tidak dijangka menyebabkan kita lumpuh pada peringkat awalnya tetapi dengan kerjasama dan kombinasi semua pihak, kita dapat menanganinya alhamdulillah.

“Misi bantuan hari ini diketuai Khidmat Malaysia tidak tertumpu kepada satu kawasan sahaja dan sukarelawan juga melibatkan agensi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Misi Pemulihan Bantuan Banjir ke Pahang di Perkarangan MABNA Membangun Bersama Islam (MBI) Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, anggota-anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Wan Roslan Wan Hamat dan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan bantuan sebanyak RM200,000 kepada Pahang dan Selangor melalui Tabung Serambi Mekah bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan meminta rakyat peka serta bersedia terhadap ramalan kajian cuaca yang menunjukkan bakal berlaku lagi hujan lebat.

“Biarpun hanya jangkaan cuaca, namun saya meminta semua penduduk dapat memanjatkan doa dan mendekatkan diri kepada Tuhan agar bencana yang tidak dijangka itu tidak berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

Tiada ulasan: