25 Disember 2021

Siapa lebih comot

 

MUSIBAH banjir ini sangat besar hikmahnya bagi yang mahu berfikir dan mengambil ibrah. Bagi yang ingin mencari salah dan menuding jari untuk menimbulkan amarah, mereka juga punya banyak ruang. Namun ianya hanya menambah masalah dan bukan menyelesaikan masalah.


Berbagai NGO dengan inisiatif sendiri telah bergerak atas dasar prihatin. Mereka datang dengan tenaga dan barangan keperluan. Masing-masing dengan cara dan gaya tersendiri. Namun mereka tetap berusaha menyumbang.

Kerajaan punyai mekanisme tersendiri termasuk badan bertanggungjawab seperti Bomba, tentera, JPAM dan lain-lain. Mereka bergerak dengan data dan SOP yang mereka miliki. Itu adalah kaedah kerja mereka. Di bidang ini mereka dikira profesional.

Dalam masa yang sama kita dengar komen dan kritikan terhadap mereka. Biasanya ia datang dari mangsa yang tertekan. Ia biasa dan pasukan beruniform ini telah biasa dengan keadaan mereka. Sebahagiannya datang dari sukarelawan yang datang membantu. Mereka ini mungkin terlalu ghairah membantu dan cuba untuk ‘menyelesaikan semua masalah’ dengan serta merta. Mereka juga perlu dimaafkan namun wajar dinasihatkan.

Ada juga yang ‘terlebih garpu dari kuah’. Memberi komen seolah hanya mereka yang terlajak tahu dan mampu. Ia datang dari sebahagian kecil sukarelawan dan kebanyakan ‘sukarelawan gajet’ di media. Mereka langsung tidak turun ke lapangan sebaliknya memberi komen keterlaluan. Biasanya, mencari salah dan bukan menyelesaikan masalah.

Dalam kekalutan itu semua, Jabatan AMAL PAS telah lama menyusup di segenap ceruk. Mereka tidak banyak bercakap tetapi setia menumpahkan peluh. Mereka sudah biasa menerima arahan dengan keikhlasan dari memberi komen menunjukkan kebijaksanaan. Mereka lebih suka bermain lumpur dari berbicara mengenai ‘apa itu lumpur’. Bermandi peluh dari bertanya ‘khasiat mengeluarkan peluh’.

Bertuahnya PAS miliki ahli yang ditarbiah sebegini. Mereka bukan hanya anak muda yang baru bertatih di medan sukarelawan. Ramai di antara mereka adalah profesional yang tidak dikenali. Ada di antara mereka pensyarah universiti dan pegawai tinggi yang lebih senang dengan gelaran semut merah. Di dalam mereka itu ada pimpinan PAS yang ‘sama comot’ dengan mereka. Kadang-kadang lebih comot. 

Bagi mereka yang turun ke lapangan, golongan ini pasti ditemui di mana sahaja tanpa banyak komen. Fokus bekerja, tidur di mana sahaja di saat keletihan dan makan apa sahaja mengalas lapar kepenatan. Masih ada lagi yang menyangka mereka ini dibayar upah oleh PAS. Demikianlah sukarnya memahami sesuatu yang hanya dimiliki oleh mereka yang ditarbiah oleh parti Islam Se-Malaysia PAS. Mereka ini adalah golongan Walaun yang sentiasa bersedia menerima arahan. 

Teringat saya Hadis yang dibacakan oleh Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapan sambutan 70 tahun baru-baru ini yang bermaksud: 

“Binasalah hamba dinar, binasalah hamba dirham, binasalah hamba kain sutera, jika diberi maka ia redha jika tidak diberi maka ia membenci. Binasalah dan merugilah ia, jika tertusuk duri maka ia tidak akan dapat mencabutnya.

“Beruntunglah (Syurga) bagi hamba yang mengambil tali kenderaannya fii sabilillah, rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Jika ia diletakkan sebagai pengawal di hadapan maka ia benar-benar menjaganya, jika ia berada di barisan belakang maka ia benar-benar menjaga barisan belakang (tetap menjalankan tugas), jika ia meminta izin maka tidak akan diberi izin, jika ia meminta pertolongan maka ia tidak ditolong (kerana ia tidak pernah dikenali).”

Beliau menitiskan air mata dan sangat terharu mengenangkan ahli-ahli peringkat bawahan yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan walaupun mereka tidak pernah dikenali sepanjang 70 tahun perjuangan ini. Semoga PAS terus menjadi gerakan dakwah di medan politik. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 25/12/2021

Tiada ulasan: