25 Disember 2021

Jumlah korban banjir cecah 46 - PDRM

 Acryl Sani pada sidang media di PKTK Taman Sri Muda, hari ini. - NSTP /ROHANIS SHUKRI

Acryl Sani pada sidang media di PKTK Taman Sri Muda, hari ini. - NSTP /ROHANIS SHUKRI

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini merekodkan lima lagi kes mangsa korban banjir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah 46 kematian, setakat jam 4 pagi tadi.

"Daripada jumlah itu, 25 kematian adalah di Selangor, Pahang (18) dan Kelantan (tiga).

"Selain itu, lima mangsa dilaporkan hilang di Pahang dan kita berharap akan ditemui secepat mungkin.

"Semua mangsa terbabit adalah lelaki dewasa dan operasi mengesan mangsa sedang giat dijalankan," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Satu mayat  dari tiga mangsa  yang hilang   dalam kejadian banjir lumpur di Chalet Bobby Echo Camp, Bentong Sabtu lalu   di dijumpai 10.15. pagi  kira kira 200 meter dari tempat kejadian. - Foto ihsan Bomba Jerantut
Satu mayat dari tiga mangsa yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Chalet Bobby Echo Camp, Bentong Sabtu lalu di dijumpai 10.15. pagi kira kira 200 meter dari tempat kejadian. - Foto ihsan Bomba Jerantut

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, pihaknya mengerahkan 377 pegawai dan anggota membabitkan 94 pasukan, ke kawasan terjejas banjir seluruh negara untuk menjalankan pemantauan serta pencegahan kes jenayah.

"Kita mendapati ada 15 kes jenayah membabitkan lima kecurian motosikal serta kenderaan dan 10 pecah rumah serta premis perniagaan, di kawasan terjejas banjir antara 17 Disember lalu hingga semalam.

"Tiada kertas siasatan baharu kes jenayah di kawasan berkenaan dibuka, setakat ini. Kita berharap situasi itu terus kekal," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan mangsa banjir memecah masuk rumah untuk berlindung seperti yang tular dalam media sosial pula, Acryl Sani berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sekiranya menerima laporan.

"Kejadian pecah rumah adalah jenayah serius, dan kita akan bertindak mengikut laporan oleh mangsa insiden itu serta keterangan diperoleh daripada pihak berkaitan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: