23 Disember 2021

China beri 10 hari kepada selebriti jelas tunggakan cukai

 Ratu 'livestream' China, Huang Wei, diarah membayar denda AS$200 juta (RM841 juta) kerana mengelak cukai di China. - Foto AFP

Ratu 'livestream' China, Huang Wei, diarah membayar denda AS$200 juta (RM841 juta) kerana mengelak cukai di China. - Foto AFP

BEIJING: Pihak berkuasa China memberi tempoh 10 hari kepada selebriti termasuk selebriti media sosial supaya menjelaskan tunggakan cukai mereka.

Arahan itu adalah sebahagian daripada kempen kerajaan membanteras tindakan mengelak cukai dalam kalangan golongan berkenaan.

"Jika pemeriksaan dan pembetulan kendiri masih gagal dan tidak teliti, jabatan percukaian akan menanganinya dengan serius," menurut kenyataan dikeluarkan pejabat cukai Guangdong

Beijing sebelum ini melancarkan usaha menyeluruh mengesan golongan selebriti yang mengelak daripada membayar cukai selain menyifatkannya sebagai tindakan tidak bermoral dalam industri hiburan.

Operasi yang menyasarkan beberapa nama besar industri hiburan dan media sosial di negara itu menyusuli tindakan sama terhadap nama besar dalam sektor teknologi dan perniagaan dalam talian.

Malah, biro percukaian di beberapa hab hiburan di seluruh negara termasuk Beijing, Shanghai, Guangdong, Zhejiang dan Jiangsu memberi amaran golongan terbabit yang gagal mengisytiharkan pendapatan mereka bakal berdepan tindakan tegas.

Arahan itu dibuat selepas ratu 'livestream' China, Huang Wei, diarah membayar denda AS$200 juta (RM841 juta) kerana mengelak cukai, malah akaun media sosialnya yang mempunyai lebih 110 juta pengikut ditutup pada hari berikutnya.

Pelakon, Zheng Shuang, turut didenda AS$46 juta (RM93 juta) kerana mengelak cukai pada Ogos lalu.

Karier seorang lagi pelakon, Fan Bingbing, turut terkesan sejak 2018 berikutan skandal mengelak cukai.

Fan antara pelakon China yang menerima pendapatan tertinggi sebelum kejatuhannya dan pernah muncul melakonkan watak dalam filem bersiri X-Men serta Iron Man.

Pentadbiran Radio, Filem dan Televisyen negara sebelum ini memaklumkan pihaknya tidak bertolak ansur dalam isu mengelak pembayaran cukai membabitkan industri hiburan yang menerima pendapatan tinggi. - AFP

Tiada ulasan: