TEMERLOH: Kedai serbaneka, klinik, institusi kewangan dan restoran makanan segera di Mentakab, semuanya tenggelam selepas bandar itu dilanda banjir yang disifatkan paling buruk dalam tempoh beberapa dekad.
Banjir sejak Ahad lalu melumpuhkan seluruh pusat bandar dan semua jalan utama yang menuju ke bandar itu ditenggelami air sepenuhnya. Bencana turut memaksa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan bagi mengelak kejadian tidak diingini, menyebabkan penduduk bergelap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan menyifatkan banjir itu sama seperti bencana 1971, malah bah yang melanda awal tahun ini tidak seteruk situasi ketika ini.
"Ia sama seperti 1971 dan lebih teruk berbanding 2014 atau Januari tahun ini. Bandar Mentakab hanya boleh diakses dengan bot dan di beberapa bahagian, terdapat arus deras, hampir 90 peratus bandar ini tenggelam.
"Sesetengah penduduk masih terperangkap di rumah dan pusat khidmat saya sudah mengatur untuk memindahkan mereka ke pusat pemindahan terdekat. Matahari sudah muncul, namun air banjir menunjukkan sedikit peningkatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Chee Wan berkata, beliau dimaklumkan barang makanan termasuk roti dan makanan dalam tin sudah habis dijual di kebanyakan kawasan dan rak di kedai terbiar kosong.
"Orang ramai yang tinggal di kawasan tinggi tidak boleh keluar ke bandar, jadi mereka bergantung sepenuhnya kepada kedai runcit berhampiran rumah untuk membeli barangan keperluan. Pemilik kedai tidak boleh tmbah semula bekalan kerana lori tidak boleh masuk ke bandar, malah pasar raya besar di bandar juga ditenggelami air.
"Sejak Ahad lalu, pusat khidmat saya membungkus dan menghantar barangan makanan ke pusat pemindahan dan kita akan meneruskannya sehingga banjir pulih. Apabila keadaan bertambah baik, barulah kita mulakan proses pembersihan," katanya.
Penduduk, P Kalaiarasan berkata, paras air banjir terus meningkat walaupun hujan sudah berhenti, memaksa ramai penduduk mengosongkan kediaman masing-masing kerana bimbang keadaan bertambah buruk.
"Bukan saja kawasan perumahan, malah seluruh bandar ditenggelami air. Saya tidak pasti bagaimana pengusaha kedai akan membersih premis dan menyambung perniagaan mereka, terlalu banyak yang perlu dilakukan," katanya.
Banjir mengejut di Mentakab berpunca daripada air mengalir dari hulu sungai ke arah Sungai Semantan dan sehingga kini, menyebabkan lebih 5,000 orang terpaksa dipindahkan.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan