BEIJING: Sekatan pergerakan diperketatkan ke atas 13 juta penduduk bandar di utara China, Xi'an, selain kawalan perjalanan diperhebatkan secara ketara bagi memerangi lonjakan kes COVID-19.
China berada dalam keadaan sangat berjaga-jaga untuk memerangi penularan tempatan di beberapa bandar walaupun Beijing bersedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dijadualkan pada Februari depan.
Xi'an melaporkan 52 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 143 kes sejak 9 Disember lalu.
Kerajaan bandar itu, dalam kenyataan di akaun Weibo rasminya berkata hanya seorang isi rumah dibenarkan keluar setiap dua hari sekali untuk membeli keperluan.
Semua yang lain diarah berada di dalam rumah kecuali jika berlaku kecemasan, mulai tengah malam esok.
Katanya, orang ramai tidak boleh meninggalkan bandar, kecuali jika perlu selain pihak yang mahu keluar perlu memberikan bukti 'keperluan khusus' dan memohon kelulusan.
Perintah itu dikuatkuasakan sehari selepas bandar itu mula menjalankan saringan ke atas 13 juta penduduknya.
Stesen bas jarak jauh ditutup dan pihak berkuasa menyediakan pusat pemeriksaan kawalan penyakit di lebuh raya di luar dari Xi'an, menurut notis kerajaan.
Lebih 85 peratus penerbangan menuju dan dari lapangan terbang utama bandar itu dihentikan, menurut penjejak penerbangan VariFlight.
Kapasiti penumpang bas dan kereta api di dalam bandar dikurangkan selain sekolah ditutup.
Semua perniagaan dan kemudahan awam 'tidak penting' selain pasar raya, kedai serbaneka dan institusi perubatan diarah tutup manakala kerajaan tempatan menggesa majikan membenarkan orang ramai bekerja dari rumah, lapor CCTV.
Mesyuarat berskala besar termasuk aktiviti di kawasan terbuka digantung manakala muzium menempatkan Tentera Terracotta yang terkenal di dunia iaitu makam Maharaja pertama China berusia 2,000 tahun, ditutup sehingga diberitahu kelak.
Kes COVID-19 di China mencatatkan penurunan sejak pertengahan tahun lalu melalui strategi sifar-COVID membabitkan sekatan ketat di sempadan, sekatan pergerakan bersasar dan kuarantin panjang.
Malah, pengesanan hanya satu kes sudah cukup bagi pelaksanaan penguatkuasaan sekatan dengan pantas.
Bandar di selatan, Dongxing, semalam mengarahkan 200,000 penduduknya mengasingkan diri di rumah selepas jangkitan dikesan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan