LONDON: Liverpool bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Leicester menerusi penentuan penalti selepas aksi suku akhir Piala Liga Inggeris berakhir 3-3 di Anfield, manakala Chelsea dan Tottenham turut layak ke separuh akhir.
Spurs menang 2-1 ke atas West Ham, manakala Chelsea memerlukan dua gol lewat permainan untuk mengatasi Brentford 2-0.
Jamie Vardy meledak dua kali dalam tempoh 13 minit pertama untuk Leicester kendalian Brendan Rodgers mendahului permainan.
Jurgen Klopp melakukan 10 pertukaran ke atas skuad yang seri 2-2 di Tottenham Ahad lalu susulan Liverpool juga mempunyai empat kes positif.
Alex Oxlade-Chamberlain memulakan kebangkitan Liverpool dengan jaringan minit ke-19 tetapi Leicester kembali menjarakkan diri menerusi rembatan James Maddison.
Klopp memasukkan tiga tonggak utamanya ketika rehat dan salah seorang daripada mereka, Diogo Jota menghidupkan kembali peluang Liverpool dengan jaringan 22 minit sebelum tamat permainan.
Kasper Schmeichel menafikan percubaan penyerang Portugal itu untuk gol penyamaan, tetapi Leicester terpaksa akur dengan gol Takumi Minamino pada minit kelima masa kecederaan.
Minamino terlepas sepakan penaltinya, tetapi penjaga gol Liverpool Caoimhin Kelleher menyelamatkan sepakan Luke Thomas dan Ryan Bertrand sebelum Jota meledak penalti kemenangan.
Bos Tottenham Antonio Conte memastikan peluang menamatkan kemarau 13 tahun trofi kelab itu terus terbuka dengan kemenangan ke atas West Ham.
Steven Bergwijn meledak gol pertamanya musim ini untuk meletakkan Tottenham di depan pada minit ke-29 tetapi Jarrod Bowen menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.
Lucas Moura memastikan kemenangan buat skuad kendalian Conte dengan jaringan dari jarak dekat pada minit ke-34.
Chelsea mengatasi kemelut COVID-19 dalam skuadnya dengan menurunkan pemain akademi Harvey Vale, Jude Soonsup-Bell dan Xavier Simons tetapi Thomas Tuchel terpaksa mengosongkan bangku simpanannya di babak kedua dengan memasukkan N'Golo Kante, Mason Mount, Christian Pulisic, Reece James dan Jorginho.
Pontus Jansson tertampan bola hantaran James ke gawang sendiri 10 minit sebelum tamat permainan dan Jorginho menyempurnakan sepakan penalti untuk kemenangan Chelsea.
Arsenal mara awal ke separuh akhir selepas membelasah Sunderland 5-1. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan