23 Disember 2021

Banjir: 12 laluan masih ditutup di Selangor

 Polis masih menutup sebanyak 12 laluan jalan raya di Selangor yang dinaiki air susulan banjir kepada kenderaan. - Foto BERNAMA

Polis masih menutup sebanyak 12 laluan jalan raya di Selangor yang dinaiki air susulan banjir kepada kenderaan. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Polis masih menutup sebanyak 12 laluan di seluruh Selangor yang dinaiki air susulan banjir kepada kenderaan pada hari keenam hari ini.

Jumlah penutupan jalan sejak Sabtu lalu itu semakin menurun berbanding sebanyak 71 laluan ditutup pada hari kedua, Ahad lalu.

Polis Selangor dalam kenyataan berkata, dua laluan masing-masing di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu IPD Petaling Jaya dan IPD Kuala Selangor ditutup kepada kenderaan sehingga jam 4 pagi tadi.

"Di kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya, laluan yang ditutup kepada kenderaan adalah Jambatan Jalan Menghala ke Lapang Sasar, Subang serta Jalan PJU 7, Hadapan MRT, Mutiara Damansara.

"Bagi IPD Kuala Selangor pula, laluan yang ditutup Jalan Kuala Selangor-Meru dan Jalan Kuala Selangor-Bestari Jaya," katanya.

Sementara itu, hanya satu laluan ditutup masing-masing di lapan kawasan pentadbiran IPD lain antaranya IPD Shah Alam di Jalan Jitu, Seksyen 25, Shah Alam, manakala IPD Kuala Langat pula di Jalan Olak Lempit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagi kawasan IPD Sepang pula, Jambatan FT 31 Dengkil-Banting ditutup kepada kenderaan dan IPD KLIA membabitkan Jalan bulatan Masjid KLIA menghala Charterfield KLIA.

Satu laluan yang ditutup di IPD Subang Jaya adalah Lorong Ikan Haruan, Kampung Bukit Lanchong, Putra Heights, manakala Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra di bawah IPD Sungai Buloh.

Di bawah kawasan pentadbiran IPD Sabak Bernam pula, penutupan laluan di Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim.

Bagi IPD Hulu Selangor, Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan saja.

BHARIAN.

Tiada ulasan: