14 Disember 2021

Hab eksport China dilanda wabak COVID-19, setengah juta dikuarantin

 Orang ramai melintas jalan di hab perniagaan di Beijing, China, di mana Jawatankiuasa Kesihatan Nasional melaporkan lebih 100 kes baharu COVID-19 termasuk 80 jangkitan dalam masyarakat. - Foto EPA

Orang ramai melintas jalan di hab perniagaan di Beijing, China, di mana Jawatankiuasa Kesihatan Nasional melaporkan lebih 100 kes baharu COVID-19 termasuk 80 jangkitan dalam masyarakat. - Foto EPA

BEIJING: Wilayah penting ekonomi China, Zhejiang, hari ini bergelut dengan wabak COVID-19 yang menyaksikan setengah juta orang dikuarantin manakala perniagaan di beberapa daerah ditutup.

Zhejiang yang menjadi hub perindustrian dan eksport utama di pantai timur negara itu dilaporkan mengesahkan 44 daripada 51 kes COVID yang dikesan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada hampir 200 kes.

Meskipun kadar kes di China kecil berbanding negara ekonomi dunia lain, pegawai di Zhejiang sudah melakukan ujian saringan besar-besaran dan melaksanakan sekatan ekoran kebimbangan tinggi penularan ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk Februari ini.

Pihak berkuasa berkata, lebih 540,000 orang diletakkan di bawah kuarantin di Zhejiang, susulan laporan media tempatan semalam bahawa kes pertama varian Omicron dikenal pasti di bandar pelabuhan Tianjin.

Beberapa hari kebelakangan ini, daerah di Ningbo dan bandar Shaoxing yang berdekatan turut menggantung beberapa operasi perniagaan.

Daerah Zhenhai di Ningbo yang menjadi pangkalan petrokimia yang besar, dilaporkan menutup perusahaan yang tidak berkaitan dengan kawalan virus atau dianggap penting kepada orang awam, malah pengeluaran petrokimia juga dikurangkan.

Sejak Khamis lalu, Shaoxing juga mengarahkan perniagaan tertentu dihentikan,

Beberapa syarikat yang tersenarai di bursa awam di Hangzhou juga mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menggantung pengeluaran

Malah, data penerbangan VariFlight hari ini juga menyaksikan beratus-ratus penerbangan keluar dari Hangzhou dibatalkan.

"Penutupan kilang Zhejiang akan memberi kesan kepada rantaian bekalan pelbagai sektor, terutama gentian dan tekstil.

"Kesannya akan sama dengan apa yang berlaku pada September dan Oktober lalu, apabila tindakan penguatkuasaan dilaksanakan," kata pakar strategi kanan China di ANZ Research, Zhaopeng Xing. - AFP

Tiada ulasan: