14 Disember 2021

Sasar bekal 300 juta telefon

 Madhav Sheth

Madhav Sheth

JENAMA telefon pintar paling pesat berkembang di peringkat global, realme optimis membekalkan 300 juta telefon pintarnya kepada pelanggan di seluruh dunia menjelang 2023.

Presiden Unit Perniagaan Antarabangsa realme, Madhav Sheth berkata, sebelum ini pihaknya menyasarkan 100 juta pengguna menggunakan telefon pintar realme dan jumlah itu dicapai pada Ogos 2021.

Katanya, dengan mengetengahkan pelbagai jenis pilihan telefon pintar yang bukan sahaja berprestasi tinggi, malah mampu dimiliki segenap lapisan masyarakat, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai.

"Realme menjadi jenama telefon pintar paling pesat berkembang di dunia dan berada di kedudukan keenam vendor telefon pintar global serta kedudukan kelima teratas bagi kategori Android.

 "Kami tidak pernah mengambil ringan dengan prestasi telefon pintar yang dihasilkan kerana realme percaya dengan kekuatan falsafah kami, bahkan realme memperuntukkan AS$300 juta untuk kajian dan pembangunan (R&D) telefon pintar kami termasuk memajukan penerapan 5G di pasaran global sekali gus membawa teknologi itu kepada lebih ramai pengguna di seluruh dunia. 

 "Dalam era 5G, kami percaya komitmen mempercepat penggunaan teknologi baru adalah misi penting.

"Kami bekerja keras mempromosikan 5G dengan memahami keperluan pengguna, mendorong inovasi produk dan membantu membina ekosistem 5G lebih luas dengan rakan industri," katanya pada temu bual eksklusif bersama Bisnes Metro secara maya, baru-baru ini.

 Ditanya mengenai bagaimana pasaran Malaysia kepada realme, beliau berkata, Malaysia antara pasaran terpenting untuk kumpulan terutama di Asia Tenggara.

 "Di Malaysia realme antara lima pilihan jenama teratas oleh pengguna dan kami menyasarkan berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam pasaran telefon pintar di negara ini pada 2022 serta kami juga sangat positif dengan pasaran Malaysia," katanya.

 Selain itu, beliau berkata, realme membantu mempopularkan teknologi di banyak negara lain dengan rangkaian produk menarik, spesifikasi hebat dan harga yang sangat berpatutan.

Katanya, pada suku pertama 2022, lebih banyak produk dilancarkan termasuk kategori telefon pintar premium.

Pada 2020, realme melancarkan 14 peranti 5G di 21 pasaran utama dunia merangkumi sekitar 40 peratus daripada produk keluarannya. 

Menjelang 2022, realme menyasarkan peningkatan jumlah penawaran 5G sehingga lebih 20 peranti meliputi 70 peratus produk di 50 pasaran.

HMETRO.

Tiada ulasan: