14 Disember 2021

Kes buli MRSM Kuala Kangsar: 10 pelajar ditamatkan pengajian - KP Mara

 Kes buli MRSM Kuala Kangsar: 10 pelajar ditamatkan pengajian - KP Mara

Ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Bahagian Pendidikan Menengah Mara menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.
“Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara, IPMA mahupun tajaan Mara," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, Selasa.
Menurut Azhar, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.
Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.
“Keputusan ini kita harap ianya bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah Mara.
"Kita di Mara tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat," katanya lagi.
Pihak Mara tegas Azhar, komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.
Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
https://www.astroawani.com/

Tiada ulasan: