28 Disember 2021

Malaysia hampir capai 80 peratus populasi divaksinasi

 GAMBAR HIASAN

GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Malaysia hampir mencapai sasaran 80 peratus atau 26,125,920 populasi keseluruhan lengkap divaksinasi, biar pun tarikh unjuran ditetapkan masih berbaki selama 220 hari.

Selain itu, sasaran 80 peratus atau 2,536,600 populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun lengkap divaksinasi sudah dicapai pada 10 November lalu.

Perkembangan itu dikongsikan portal COVIDNOW yang menjelaskan 78.4 peratus atau 25,589,542 populasi keseluruhan sudah lengkap divaksinasi, manakala 1.2 peratus (391,442) lagi belum lengkap dan 20.4 peratus (6,676,416) tiada pelalian Covid-19.

Portal itu turut mencatatkan sebanyak 120,092 dos penggalak dan 128,433 dos harian diberikan semalam, yang membawa kepada jumlah kumulatif masing-masing 5,577,262 dos penggalak serta 56,951,412 dos harian.

Angka vaksinasi harian itu turut membabitkan 5,102 lengkap divaksinasi dan 3,239 dos pertama.

Perkongsian sama juga menyaksikan angka vaksinasi harian bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun terus mencatatkan peningkatan kepada 87.3 peratus atau 2,747,938 orang.

Seramai 93,646 atau tiga peratus populasi sama direkodkan belum lengkap divaksinasi, manakala 305,916 lagi atau 9.7 peratus tiada vaksinasi.

Mengenai perkembangan jangkitan Covid-19 pula, 2,757 kes harian dilaporkan semalam, membawa kepada jumlah kumulatif 2,743,936 kes tanpa kematian baharu.

Sejak Covid-19 melanda negara, jumlah keseluruhan kematian mencecah 31,369 kes, masing-masing 25,035 kematian di hospital dan 6,334 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Keseluruhannya, kadar penggunaan alat bantuan pernafasan di seluruh negara mencecah 36.4 peratus atau 169 kes; kes aktif di unit rawatan rapi (55.2 peratus atau 297 kes) dan pesakit Covid-19 diwadkan (63.8 peratus atau 804 kes).

HMETRO.

Tiada ulasan: