28 Disember 2021

Limpahan air Sungai Semantan tenggelamkan madrasah tahfiz

 Keadaan Madrasah Tarbiah Islamiah di Kampung Chatin, Mentakab yang dipenuhi lumpur tebal selepas banjir surut. - NSTP/Roselan Ab Malek

Keadaan Madrasah Tarbiah Islamiah di Kampung Chatin, Mentakab yang dipenuhi lumpur tebal selepas banjir surut. - NSTP/Roselan Ab Malek

TEMERLOH: Setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh, Madrasah Tarbiah Islamiah (MTI) di kampung Chatin, Mentakab tidak pernah terlepas daripada menerima musibah banjir.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MTI, Ab Manaf Yunus, berkata kebiasaannya air paling tinggi akan mencecah tingkat satu bangunan madrasah dua tingkat itu, malah banjir yang melanda awal Januari tahun ini air hanya mencecah lantai tingkat dua.

"Tetapi limpahan air Sungai Semantan yang naik dengan cepat pada waktu malam bermula Sabtu minggu lepas, mencecah sampai tingkat dua bangunan madrasah dan hanya nampak bumbung sahaja.

"Inilah banjir paling besar pernah dialami oleh MTI sejak dibuka lebih 50 tahun dahulu yang juga dikenali sebagai 'Madrasah Tahfiz ' dalam kalangan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata, selepas seminggu air mula surut, 28 tenaga pengajar di madrasah ini tidak dapat melahirkan dengan kata-kata, hanya mampu menitiskan air mata apabila melihat kemusnahan yang ditinggalkan oleh banjir lumpur itu.

Katanya, lumpur tebal setinggi 30 sentimeter memenuhi setiap ruang sekolah dan menyukarkan mereka untuk bergerak.

"Banjir kali ini tidak dijangka begitu besar. Sebelum cuti sekolah, 210 pelajar telah berusaha memindahkan semua tilam, bantal dan peralatan lain ke tingkat dua bangunan tetapi air naik sampai ke bumbung.

Kelengkapan dan peralatan asrama pelajar banyak  yang musnah serta tidak boleh digunakan lagi. - NSTP/Roselan Ab Malek
Kelengkapan dan peralatan asrama pelajar banyak yang musnah serta tidak boleh digunakan lagi. - NSTP/Roselan Ab Malek

"Sejak saya bertugas di sini, tidak pernah lagi berdepan banjir lumpur begitu teruk yang menyebabkan kerosakan hampir semua harta benda," katanya.

Ab Manaf berkata, air naik begitu cepat serta memang amat menakutkan dan selepas beberapa jam hujan lebat, air melepasi bangunan madrasah sedikit demi sedikit.

"Banjir lumpur ini telah menenggelamkan bangunan asrama lelaki dan perempuan hingga ke bumbung tingkat dua selain dewan makan, dewan utama, rumah warden serta blik darjah. Akibatnya, banyak kelengkapan dan peralatan yang musnah.

"Madrasah akan dibuka tidak berapa lama lagi tetapi kerja mencuci masih tidak selesai, walaupun ia sudah dijalankan sejak hari Sabtu lepas dengan bantuan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) madrasah ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan orang juga perseorangan," katanya.

Menurutnya, dari segi kerja pembersihan, tenaga pengajar di sini tidak risau sangat tetapi peralatan yang rosak itu menyukarkan untuk diganti dengan segera bagi membolehkan pelajar untuk belajar semula.

Sehubungan itu, pihak sekolah meminta ihsan masyarakat atau pelbagai persatuan dan syarikat untuk tampil membantu meringankan bebanan ditanggung sekolah ini.

BHARIAN.

Tiada ulasan: