28 Disember 2021

Pencuri tabung masjid tinggalkan surat maklumkan mahu beli telefon bimbit untuk anak

 

SURAT yang dipercayai ditulis suspek selepas mencuri tabung masjid di Jepara, Jawa Tengah. - AGENSI

JEPARA: Satu video menunjukkan seorang suspek mencuri tabung sumbangan di sebuah masjid di Jepara, Jawa Tengah menjadi tular dalam media sosial.

Video itu menunjukkan pelaku berhati-hati masuk ke dalam masjid dan mengambil tabung tersebut sebelum dia meninggalkan sepucuk surat.

Isi kandungan surat itu memaklumkan, dia terpaksa mencuri tabung masjid kerana terdesak membeli telefon bimbit untuk kegunaan sekolah anaknya.

Selain itu, suspek turut berjanji untuk menggantikan duit yang dicurinya dalam tempoh setahun.

Berhubung kejadian itu, pengurusan masjid membuat laporan polis dan mengesahkan duit yang dicuri dalam tabung itu berjumlah 150,000 rupiah (RM44).

Dalam pada itu, jurucakap polis, Rozi mengesahkan laporan yang dibuat dan memaklumkan kes akan disiasat untuk menahan suspek

“Dalam kes ini, suspek memang bersalah kerana mencuri, tapi polis akan menyiasat perkara sebenar dan jika memang benar dia orang susah.

“Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk mendidik masyarakat supaya tidak melanggar undang-undang, biarpun keadaan terdesak,” katanya.

UTUSAN.

Tiada ulasan: