28 Disember 2021

Selangor tarik balik tauliah mengajar agama Islam kepada semua aktivis politik

 Sultan Selangor  Sultan Sharafuddin Idris Shah

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar agama yang diberikan kepada semua aktivis politik di negeri ini, berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tindakan itu susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang tidak mahu agama Islam tidak dipolitikkan serta dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak di Selangor, khususnya di masjid dan surau.

Katanya, Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di negeri itu serta mencemarkan agama Islam.

"Selaras titah baginda itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan kepada pemegang tauliah di negeri ini.

"Mana-mana tauliah yang sudah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada 31 Disember ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, hanya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Katanya, pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Sharafuddin.

"Adalah diingatkan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama.

"Sabit kesalahan, boleh dihukum denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, mana-mana pihak yang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah suatu kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Jelasnya, kesalahan itu turut memperuntukkan hukuman sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: