09 Disember 2021

Penduduk Beting Maro tagih pimpinan anak muda

 

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUCHING: 
Misi PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menyediakan alternatif terbaik kepada rakyat di Dun Beting Maro dengan mengetengahkan anak muda sebagai pemimpin masa hadapan.


Kehadiran seorang anak muda profesional Mohammad Arifiazul Paijo, 37, sebagai galang ganti kepada wakil rakyat sedia ada.

Langkah PAS itu diambil selepas ada desakan penduduk tempatan untuk mempunyai wakil rakyat muda yang lebih bertenaga bagi menabur khidmat kepada mereka.

Pengarah Jawatankuasa Induk PRN Sarawak Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, kehadiran calon PAS sebagai pilihan kepada rakyat terutamanya anak-anak muda bagi memilih generasi baru sebagai pemimpin.

Katanya ia juga sesuai undi18 yang akan muncul sebagai kuasa baharu politik negara pada tahun hadapan.

“Jadi PAS meletakkan calon yang boleh menjadi alternatif kepada Adun sedia ada. Ia juga diambil kira sebagai aspirasi rakyat yang mahu perubahan kepimpinan,” katanya ketika ditemui di sini.

PRN Sarawak bagi DUN Beting Maro menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Jacky Chiew Su Chee mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), Razaili Gapor (GPS-PBB), Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR), Safiudin Matsah (Bebas) dan Arif Paijo (PAS).

Pada Pilihan Raya Negeri 2016 kerusi itu dimenangi Razaili yang mendapat 4758 undi, manakala calon PAS Hamidah Mokhtar pula 3051, dan Andri Zulkarnaen dari Amanah (103). Razaili menang dengan majoriti 1,707 undi.

Pada PRN tersebut juga PAS tidak menyerang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan mengambil kira sebagai rakan kongsi di peringkat kerajaan Persekutuan.

PRN tersebut juga memberi peluang kepada PAS mengetengahkan kejayaan kementerian-kementerian yang diterajui menteri dari PAS, di samping kejayaan kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Misi PAS di Beting Maro menyediakan khidmat terbaik untuk rakyat yang akan dilaksanakan demi kesejahteraan mereka.

Akujanji Arif Paijo juga menyediakan insentif kepada 400 peniaga tempatan untuk berjaja di Pekan Pusa.

Selain itu menyediakan sumbangan anak muda berkahwin, pemberian tilam pesakit strok, kerusi roda dan sumbangan kematian.

Malah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini PAS Cawangan dan NGO mengagihkan bakul makanan dan ayam segar kepada penduduk di Beting Maro.

Misi Arif Paijo juga melaksanakan program membaik pulih rumah penduduk miskin dan membina laluan ke rumah penduduk.

Akujanji lain menyediakan dana bagi membantu keluarga penduduk miskin. – HARAKAHDAILY 9/12/2021

Tiada ulasan: