09 Disember 2021

Pelesenan penjualan minuman keras kuasa kerajaan negeri

 

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian penjualan minuman keras secara runcit di premis daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya.


Menteri Kewangan, Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, dasar sedia ada menggariskan bahawa penjualan minimum keras secara runcit di premis perlu dilesenkan di bawah Akta Eksais 1976.

Pada masa sama, katanya pelesenan penjualan minum keras adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan yang dilantik melalui perwakilan kuasa Menteri Kewangan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah yang diwartakan pada tahun 1977.

“Oleh itu, sebarang pelesenan penjualan minum keras perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pelesenan, selaras dengan Seksyen 35 Akta Eksais 1976.

“Setakat ini, tiada pindaan telah dibuat bagi perwakilan kuasa tersebut dengan kerajaan negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan berkenaan lesen penjualan minuman keras,” katanya menjawab soalan Tony Pua Kiam Wee (PH-Damansara) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul mengakui bahawa baru-baru ini, timbul pelbagai kekeliruan berhubung pelaksanaan dan penguatkuasaan lesen penjualan minuman keras di peringkat negeri.

Beliau memberi jaminan bahawa perwakilan kuasa melalui perintah yang diwartakan pada tahun 1977 masih kekal tanpa sebarang perubahan.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengambil tindakan segera dan mengemas kini segala dokumen perintah atau garis panduan bagi memastikan kekeliruan ini tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil bagi menyelesaikan perkara ini selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini. – HARAKAHDAILY 9/12/21

Tiada ulasan: