29 Disember 2021

Wilayah tengah Jepun huru-hara dilanda salji tebal

 

TOKYO: Salji tebal menyebabkan keadaan huru-hara di tengah Jepun dengan kesesakan lalu lintas yang teruk, pembatalan penerbangan dan gangguan perkhidmatan keretapi.


Mengikut penyedia bekalan elektrik, Kansai Electric Power, lebih 3,200 rumah tidak mendapat bekalan elektrik akibat cuaca sejuk melampau itu.

Bagaimanapun jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno, berkata tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat semalam.

“Bentuk tekanan musim salji yang kuat menyebabkan salji tebal, terutama di sepanjang Laut Jepun dari utara ke barat Jepun dengan sesetengah tempat mencatat rekod jumlah jatuhan salji.

“Kerajaan menjangka jumlah jatuhan salji akan meningkat esok, sekali gus meningkatkan langkah berjaga-jaga dan waspada,” katanya.

Matsuno berkata, jalan utama di wilayah Shiga terpaksa ditutup kerana banyak kenderaan tersadai di jalan raya, manakala stesen televisyen menunjukkan barisan panjang kenderaan mengikuti belakang kenderaan pembersih salji untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Kesesakan lalu lintas berlaku selepas sebuah trak tergelincir dekat bandar Hikone dengan salji setebal 68 sentimeter, iaitu 30 kali lebih dalam berbanding kadar purata.

Stesen televisyen NHK juga melaporkan hampir 200 penumpang bermalam di stesen keretapi.

Jiji Press pula melaporkan kira-kira 130 penerbangan tempatan dibatalkan Ahad lalu, akibat salji tebal, manakala NHK menyatakan 50 pembatalan penerbangan semalam. – HARAKAHDAILY 28/12/21

Tiada ulasan: