29 Disember 2021

Cuaca sejuk melampau merentasi China

 Seorang lelaki berenang di sebuah tasik yang sudah separuh beku ketika suhu jatuh sehingga -24 darjah Celsius di Shenyang di Liaoning, China. - Foto AFP

Seorang lelaki berenang di sebuah tasik yang sudah separuh beku ketika suhu jatuh sehingga -24 darjah Celsius di Shenyang di Liaoning, China. - Foto AFP

HUNAN: Salji menyelubungi bahagian selatan China sejak Ahad lalu dengan suhu di beberapa bahagian di utara mencecah paras terendah -37 darjah Celsius kelmarin, susulan cuaca sejuk melanda seluruh negara.

Kelmarin juga, Pusat Meteorologi Negara meneruskan amaran birunya untuk suhu rendah di seluruh negara, tahap terendah direkodkan dalam sistem sedia ada.

Pusat itu sudah mengeluarkan amaran biru pertamanya pada Ahad lalu, selepas cuaca sejuk diramal berlarutan.

Di beberapa wilayah selatan dan barat daya China, katanya, suhu turun antara enam darjah Celsius dan lapan darjah Celsius dalam tempoh 24 jam antara Ahad dan Isnin.

"Di wilayah Guizhou dan Hunan serta wilayah autonomi Guangxi Zhuang, suhu diramal tujuh darjah Celsius, lebih rendah daripada paras normal tahunan semalam.

"Menjelang 7 pagi pada Isnin, salji terkumpul setinggi 22 sentimeter (cm) meliputi wilayah Tongren, Guizhou, Huaihua serta Hunan," katanya.

Pakar meteorologi dari Pentadbiran Meteorologi China, Zhu Dingzhen pula berkata, salji tebal tertumpu di kawasan selatan dan bukannya wilayah utara, ekoran jisim udara sejuk bertemu udara panas dan lembap di selatan, sekali gus lebih mudah menyebabkan hujan dan salji.

Dalam video di laman sesawang The-Paper.cn, pada Sabtu, ais dilihat mula menutupi penghadang tepi laut, tiang lampu dan kerusi batu di Weihai, wilayah Shandong.

Laporan meteorologi pada hari sama menjelaskan, suhu terendah di kebanyakan kawasan di wilayah itu sudah jatuh di bawah negatif lapan darjah Celsius.

Menurut pusat itu, penurunan suhu juga disebabkan perubahan mendadak cuaca sejuk bermula minggu lalu, namun jisim udara sejuk diramal berkurangan dengan suhu di selatan China dijangka meningkat, biarpun perlahan.

Sementara itu, jurutera kanan Perkhidmatan Meteorologi Beijing, Zhang Mingying, memberitahu Beijing Youth Daily, ini akan menjadi gelombang sejuk terakhir bagi tahun ini.

"Sebenarnya, penurunan suhu sepanjang minggu lalu tidak setinggi November, namun disebabkan kesan pertindihan beberapa jisim udara sejuk, gelombang sejuk ini membuatkan orang ramai berasa sangat sejuk," katanya. - AGENSI

Tiada ulasan: