29 Disember 2021

Sekolah vernakular tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, hari ini memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, terdapat lebih daripada 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara, dengan kira-kira setengah juta pelajar terdiri daripada komposisi kaum yang berbeza.

Mohd Nazlan berkata, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan berdasarkan latar belakang sejarah serta perundangan Perkara 152 (bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan) serta niat pihak yang menggubal perlembagaan ketika itu, penggunaan selain Bahasa Melayu bagi pengajaran di sekolah vernakular bukan untuk tujuan rasmi dan tidak melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan.

Hakim itu berkata, penggunaan bahasa Cina dan Tamil tidak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi mengikut Perkara 152 (1)(a) dan (b).

Beliau berkata, tafsiran wajar dan tepat terhadap Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang penubuhan dan penyenggaraan sekolah vernakular sebagai sekolah jenis kebangsaan yang turut menggunakan kurikulum kebangsaan seperti diterima pakai semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Katanya, plaintif tidak berjaya menunjukkan terdapat pelanggaran yang jelas terhadap prinsip perlembagaan melalui penggunaan bahasa berkenaan di sekolah vernakular.

"Mahkamah bersandarkan kepada keperlembagaan sesuatu statut iaitu berdasarkan bahawa Parlimen memahami dan menghargai keperluan rakyat dengan betul; bahawa undang-undang ditujukan kepada masalah orang ramai yang nyata melalui pengalaman; bahawa sebarang diskriminasi adalah berdasarkan kepada alasan yang mencukupi; dan badan perundangan tidak akan sengaja melanggar perlindungan perlembagaan.

"Inilah sebabnya mengapa penghakiman ini tertumpu kepada tafsiran Perkara 152 (1) dan tidak mendalami peranan bahasa kebangsaan dalam mempromosikan identiti serta perpaduan nasional, atau dalam pembinaan negara. Persoalan standard pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah, sama ada sistem pendidikan cukup inklusif dan sama ada kecemerlangan akademik diutamakan berbanding perkara lain adalah sebaiknya ditangani oleh Eksekutif dan Badan Perundangan.

"Kesimpulannya, jawapan kepada dua persoalan sama ada Seksyen 2, 17 (penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan) dan 28 (penubuhan sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan) Akta Pendidikan 1996 tidak konsisten dengan Perkara 152 dan sama ada penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular melanggar perlembagaan, kedua-duanya adalah negatif. Oleh itu, tuntutan plaintif dalam saman inj ditolak," katanya.

Dalam saman itu, GPMS, MAPPIM dan GAPENA yang bertindak selaku plaintif menamakan kerajaan Malaysia dan 13 yang lain iaitu Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil, The Malaysian Chinese Language Council, Persatuan Malaysia Tamil Neri Kalagam, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia and Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa KL selaku defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah MCA, MIC, GERAKAN dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Plaintif diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy dan Suzana Atan bertindak bagi pihak kerajaan.

BHARIAN.

Tiada ulasan: