29 Disember 2021

Mangsa banjir di lima negeri terus catat penurunan

 Pekebun, Ahmad Irham Mohd Noor, 40, membersihkan kebun cili di Kampung Seri Tanjung, Dengkil yang musnah akibat banjir. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Pekebun, Ahmad Irham Mohd Noor, 40, membersihkan kebun cili di Kampung Seri Tanjung, Dengkil yang musnah akibat banjir. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di lima negeri terus menunjukkan penurunan apabila seramai 10,007 orang daripada 3,086 keluarga direkodkan setakat jam 5 petang tadi.

Berdasar aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 71 jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pahang masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 6,319 orang yang ditempatkan di 48 PPS.

Mereka adalah 2,292 lelaki, 2,260 wanita, kanak-kanak lelaki (827), kanak-kanak perempuan (761), bayi lelaki (78), bayi perempuan (101), warga emas lelaki (269), 311 (warga emas perempuan), orang kelainan upaya lelaki (30) dan orang kelainan upaya perempuan (25).

Di Selangor, seramai 2,615 mangsa daripada 769 keluarga masih berada di 17 PPS.

Di Kelantan dan Melaka, masing-masing cuma satu PPS dibuka dengan 42 mangsa (Kelantan) manakala 26 mangsa (Melaka).

Sementara itu, di Negeri Sembilan, dua PPS masih beroperasi yang menempatkan 29 mangsa daripada sembilan keluarga.

Dalam pada itu, di Kuala Lumpur, sebuah PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala yang menempatkan 137 mangsa susulan kejadian tanah runtuh.

BHARIAN.


Tiada ulasan: