10 Januari 2022

Kehadiran majlis nikah, kenduri dengan kapasiti 50 peratus di Kelantan

 GAMBAR hiasan. FOTO NSTP

GAMBAR hiasan. FOTO NSTP

Kota Bharu: Majlis akad nikah dan kenduri di Kelantan dibenarkan dijalankan bagi individu yang lengkap menerima dos vaksin dengan kadar kehadiran 50 peratus kapasiti ruang premis, berkuat kuasa serta-merta.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, individu yang hadir ke majlis juga perlu mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, individu yang lengkap menerima vaksin dibenarkan membawa kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan ia perlu mematuhi protokol kesihatan umum.

"Semua kursus praperkahwinan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPI) dijalankan secara dalam talian.

"Perkhidmatan khidmat nasihat dan runding cara dijalankan secara dalam talian dan bersemuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa adalah terpakai," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SOP itu dikeluarkan oleh Bahagian Undang-undang Keluarga Islam sepanjang tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia juga merujuk kepada situasi semasa berkaitan wabak Covid-19 di Kelantan.

Menurut beliau, semua arahan yang dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal.

HMETRO.

Tiada ulasan: