MELIHAT warna, keunikan perilaku, susunan sisik dan bentuk badan ikan kelisa yang juga dikenali sebagai ikan arowana memang melekakan.
Lebih menariknya, ikan kelisa atau nama saintifiknya 'scleropages formosus' ini mempunyai nilai tinggi hingga mencecah ribuan ringgit, sekali gus memberikan aset yang berbaloi.
Harga ikan kelisa emas bersaiz 15.2 sentimeter (sm) dijual dengan harga RM500 hingga RM1,500 seekor.
Bagi ikan kelisa merah dengan saiz sama mempunyai harga lebih tinggi, iaitu antara RM1,000 hingga RM2,500 seekor dan harganya boleh lebih mahal.
Justeru, beberapa spesies kelisa diternak di negara ini seperti kelisa emas (golden arowana), kelisa merah, kelisa hijau dan kelisa perak, kerap menjadi tumpuan penggemarnya.
Malah, ikan ini juga dikaitkan simbol kekayaan dan melambangkan status pemiliknya.
Dipasang mikrocip elak terancam
Jurucakap Jabatan Perikanan berkata, dengan harga melambung tinggi menjadikan arowana penting dalam industri ikan hiasan kerana memberi pulangan tinggi kepada negara melalui eksport ke serata dunia.
Ikan ini tersenarai dalam Convention on International Trade in Endangered Species' (CITES), selain mengurangkan tekanan ancaman kepupusan kepada sumber ikan di persekitaran semula jadi.
"Untuk mengenal pasti ikan berkenaan berasal dari ladang yang diternak, mikrocip dipasang sebagai syarat wajib bagi tujuan eksport.
"Pengeksportan secara komersial tidak dibenarkan melainkan dibiakkan di ladang ternakan," katanya.
Justeru, mikrocip ini yang menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) dan dikenali sebagai tag Passive Integrated Transponder (PIT) dipasang dalam badan ikan arowana bagi tujuan penandaan spesimen untuk dieksport.
Mikrocip ini mengandungi pelbagai maklumat berkaitan setiap ikan seperti nombor siri, jenis spesies, baka dan sejarah pembiakan yang boleh dibaca menggunakan alat pengimbas khas.
Penanda PIT adalah mikrocip kecil disuntikkan ke dalam otot ikan. Setiap mikrocip ada nombor siri pengenalan unit, iaitu angka 15 hingga 17 atau kombinasi antara nombor dan huruf.
"Harga mikrocip antara RM5 hingga RM19 per unit bergantung kepada jenis dan kualiti setiap mikrocip berkenaan," katanya.
Ikan kelisa diberi sijil
Penanaman mikrocip juga membolehkan pemilik atau pembeli mengenal pasti ikan milik mereka, mengelak tertukar, selain membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), akan mengimbas mikrocip setiap ikan arowana untuk dieksport bagi memastikan kesahihan spesies, baka dan tempat asal dikeluarkan sebelum memberikan kebenaran.
Begitu juga bagi pemeriksaan dijalankan di negara pengimport. Setiap ikan arowana yang dijual juga diberi sijil dengan nombor siri sama dengan nombor siri pada mikrocip dalam tubuh ikan.
"Kebiasaannya ikan akan ditanamkan mikrocip di bahagian perut ikan, iaitu di bahagian bawah tubuh kerana selain lebih selamat.
"Setiap ikan arowana sudah dimasukkan cip akan dimasukkan dalam plastik berisi air berasingan sebelum dimasukkan di dalam kotak.
"Penggunaan mikrocip juga memudahkan pengurusan ikan di peringkat ladang, iaitu mikrocip ini sebagai identifikasi kepada ikan dipelihara di dalam kolam," katanya.
Pengusaha juga dapat mengenal pasti induk jantan ikan yang kerap melakukan pembiakan atau menjaga benih ikan dalam mulutnya.
Proses mengambil telur atau anak ikan dalam mulut ikan induk jantan yang memeliharanya, ikan berkenaan dimbas dan nombor siri ikan itu akan dicatatkan pada sebuah buku log sebagai rekod.
Mendapat permintaan tinggi
Pengeluaran ikan kelisa di Malaysia menambah pendapatan negara apabila ia dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ikan kelisa emas adalah spesies asli diternak di Malaysia, manakala kelisa merah berasal dari Indonesia (juga diternak di negara ini). Kedua-dua spesies ini mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Pasaran utama ikan ini adalah dari China, Hong Kong dan Jepun, ini kerana mereka beranggapan warna ikan kelisa emas dan merah ini akan membawa tuah serta kekayaan.
Ketika ini, ada 36 jenis ikan hiasan diternak dan dieksport dengan ikan kelisa mendapat permintaan tinggi, selain spesies discus, emas dan koi, betta serta guppy.
"Mengikut statistik nilai ikan hiasan meningkat dari RM58.5 juta pada 2016 kepada RM72.7 juta pada 2018, manakala pasaran domestik kira-kira 75 hingga 80 peratus daripada pengeluaran ikan hiasan negara dengan nilai RM250 hingga RM300 juta," katanya.
Ancaman ikan kelisa dicuri
Ikan kelisa emas (Malaysian Gold) berasal dari Bukit Merah, Perak antara spesies ikan arowana yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia.
Jabatan Perikanan menubuhkan santuari ikan arowana di Bukit Merah bagi memastikan kemampanan spesies ini di habitat semula jadinya.
"Hanya ikan ternakan sahaja yang dibenarkan untuk didagangkan. Di sini peranan mikrocip pensijilan Convention on International Trade in Endangered Species (CITES) amat penting dalam mengenal pasti ikan yang diternak dan boleh didagangkan.
"Ikan arowana emas diternak pengusaha ikan hiasan di negara lain berikutan terhadap permintaan tinggi." katanya.
Penternak ikan arowana emas di negara ini dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kualiti ternakan dan mengamalkan Amalan Baik Akuakultur bagi mengelakkan penyakit merebak dan boleh melumpuhkan industri itu, termasuk sediakan penggera halang kejadian ini.
Jurucakap jabatan berkata, ada beberapa percubaan untuk bawa keluar spesies tersenarai tanpa dokumen yang sah, namun begitu kes begini tidak begitu kerap berlaku.
Justeru, pemasangan mikrocip ini sebagai langkah bagi membendung pengeksportan secara haram.
Penternak juga terpaksa berhadapan ancaman ikan kelisa dicuri.
"Kerugian besar kepada penternak sekiranya induk kelisa yang lama dijaga dan dibesarkan hilang akibat kecurian.
"Justeru, setiap ladang ikan kelisa mempunyai pagar dan sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera bagi menghalang kejadian ini," tambahnya.
Promosi ikan arowana emas
Mengenai program menyokong industri ikan hiasan tidak terjejas, Jabatan Perikanan meningkatkan kemudahan dan bantuan input bagi membantu penternak akuakultur termasuk yang berdaftar.
Jabatan giat mempromosi ternakan melalui program ikan hiasan seperti pameran, pertandingan dan kesedaran.
"Kita juga mempromosi ikan arowana emas dan ternakan ikan lain di pameran ikan hiasan di peringkat tempatan dan luar negara sebagai usaha membuka laluan pasaran kepada penternak ikan hiasan," katanya.
Dari segi pemasaran, pihaknya juga mencari pasaran baru termasuk dari negara Eropah dan Asia Barat.
"Kita juga sertai pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK), Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) bagi tujuan sama," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan