03 Januari 2022

Khidmat Malaysia Johor operasikan bilik gerakan banjir

 

KULAI: Pengurusan Kecemasan dan Bencana (Khidmat Malaysia) Negeri Johor telah membuka bilik gerakan negeri dan bilik operasi kawasan, berikutan bencana banjir yang semakin buruk melanda di beberapa kawasan sejak kelmarin.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pihaknya telah menerima laporan keadaan bencana banjir yang sedang berlaku di beberapa kawasan di Johor sejak kelmarin.

“Laporan yang telah diberikan oleh Bilik Operasi memaklumkan bahawa tiga tempat telah dinaiki air iaitu kawasan Labis, Sekijang dan Segamat,” kata beliau, semalam.

Menurutnya, di peringkat negeri telah dibuka bilik gerakan di Simpang Renggam, manakala Khidmat Malaysia di kawasan yang terjejas tersebut telah membuka bilik operasi masing-masing bagi persediaan membantu mangsa. 

“Menurut laporan Bilik Operasi Kawasan, mangsa yang telah terlibat telah melebihi 1,200 orang, manakala sebanyak 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri Johor.

“Khidmat Malaysia Negeri akan memantau keadaan bencana banjir di Johor dan akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat dengan bencana banjir ini, ” kata Khairul Faizi.

Khidmat Malaysia juga membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang ke tabung bencana di akaun Maybank 5623 8454 2866 atas nama Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia.

Setakat pagi semalam, statistik di portal NADMA merekodkan dua daerah di negeri ini iaitu Tangkak dan Segamat telah mencatatkan peningkatan mangsa banjir seramai 1,646 orang melibatkan 425 keluarga yang ditempatkan di 28 PPS. – HARAKAHDAILY 3/1/2022

Tiada ulasan: