03 Januari 2022

Lebih 13,000 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan

 Sebanyak 186 pusat pemindahan sementara (PPS)  dibuka di Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah, Johor, Melaka dan Selangor, setakat ini. -  Foto fail NSTP

Sebanyak 186 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah, Johor, Melaka dan Selangor, setakat ini. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 13,216 mangsa banjir daripada 3,981 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh negeri yang dilanda bencana itu, sehingga pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan, setakat jam 9.37 pagi tadi, sebanyak 186 PPS dibuka di Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah, Johor, Melaka dan Selangor.

Johor mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir yang ditempatkan di PPS, iaitu seramai 3,900 mangsa daripada 1,009 keluarga di 62 PPS yang dibuka.

Ia diikuti Sabah, membabitkan 2,626 mangsa banjir daripada 1,113 keluarga di 23 PPS.

Di Melaka, seramai 2,540 mangsa daripada 663 keluarga ditempatkan di 22 PPS, manakala di Negeri Sembilan pula, seramai 2,017 mangsa dari 556 keluarga ditempatkan di 22 PPS.

Di Pahang, seramai 1,956 mangsa banjir daripada 586 keluarga ditempatkan di 53 PPS di seluruh negeri itu.

Selain itu, di Terengganu, seramai 137 mangsa daripada 42 keluarga ditempatkan di dua PPS, manakala di Selangor, seramai 40 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di dua PPS.

BHARIAN.

Tiada ulasan: