03 April 2008

Kezaliman.

“Kalau kamu merasa berkuasa melakukan kezaliman kepada hamba-hamba Allah, ingatlah bahwa Allah lebih berkuasa membalasnya” (Umar bin Khattab r.a.).



Salah satu perbuatan berdosa yang cepat sekali mendatangkan azab Allah di dunia ini ialah perbuatan zalim, kata Rasulullah SAW. Apalagi, salah satu doa yang paling cepat dikabulkan Allah ialah doa orang( orang) yang dizalimi. Jeritan hati mereka didengar Allah. Peringatan Rasul SAW itu kiranya cukup untuk menjadikan hati kita menyedari kembali apakah kita sendiri sering melakukan kezaliman selama ini.

Untuk mengetahuinya, kita perlu meletakkan diri seperti perasaan orang lain. Misalnya, tempatlah diri kita pada tempat orang orang yang sepatutnya lulus dalam suatu ujian kenaikan pangkat atau jawatan, namun kita yang kebetulan sedang berkuasa meminggirkan mereka demi meluluskan saudara atau teman kita sendiri, atau orang yang talah diterima sogokan darinya. Rasakan bagaimana mereka merasakan kepiluan atau kesedihan mereka. Bila tumbuh perasaan seperti yang mereka rasakan, itu berarti hati kita masih subur dengan siraman keimanan.

Namun bila sudah tidak mampu lagi merasakannya, itu pertanda hati sebagai tempat tumbuhnya minat yang baik sudah menjadi keras. Hati yang sudah keras merupakan pertanda bahwa hati itu telah kering dari siraman keimanan. Jelasnya, hati yang demikian tidak dimiliki kecuali oleh orang-orang yang tidak (lagi) beriman. Hati yang demikian hanyalah dimiliki oleh orang yang sudah Allah siapkan dengan bermacam azab baik di dunia ini mahupun di akhirat kelak. Satu hal lagi yang harus diingat, sebagaimana kata Umar bin Khattab, bahwa Allah lebih berkuasa membalas perbuatan aniaya pada hamba hambaNya.

Kenapa perlu saya letak jawatan ?

Setelah berita angin bertiup kencang mengenai perletakan jawatannya, Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan dengan keras spekulasi yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.



Abdullah mengulangi pendiriannya beberapa hari yang lepas yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.

“Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. Saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.

“Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga tetapi amat kukuh...itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab,” katanya.

Sitiuasi tidak menentu dalam politik negara dilihat setelah mandat yang agak rapuh diperolihi oleh parti yang diketui oleh Pak Lah. Perbalahan dengan pihak istana dalam soal perlantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu dilihat sebagai suatu krisis yang memalukan kerajaan dan kewibawaan Abdullah. Selain itu penarikan diri satu demi satu oleh timbalan menteri yang dilantiknya adalah sesuatu yang luarbiasa dan menggambarkan lemahnya arahan beliau.

Dalam keadaan ia tidak dihormati oleh kawan dan apa lagi lawan sewajarlah spekulasi mengenai perletakan jawatannya berlegar dalam kepala semua rakyat Malaysia.

MB Kedah umum kenaikan gaji guru SAR

Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi guru sekolah agama rakyat (SAR) di negeri ini berkuat kuasa semalam. Menteri Besar, Azizan Abdul Razak, berkata kenaikan itu dibuat mengikut Skim Saraan Malaysia (SSM), selaras dengan tangga gaji yang diterima oleh guru sekolah kebangsaan. “Sebelum ini, tangga gaji guru SAR tidak mengikut kelulusan yang mereka miliki, justeru kerajaan negeri meluluskan permohonan untuk menaikkan gaji mengikut gred SSM,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau berkata, kenaikan gaji kepada 214 orang guru SAR di 21 buah sekolah itu membabitkan peruntukan RM2.5 juta bagi tahun ini saja. Mengenai peletakan jawatan anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya, Azizan berkata, pihaknya sudah menerima surat berhubung perkara itu hari ini. “Lantikan baru akan dibuat selepas mesyuarat Exco minggu depan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan semua 1,938 JKKK serta ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya daripada Umno meletak jawatan berkuat kuasa semalam ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini dalam pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

02 April 2008

Pakatan Rakyat saingan baru Barisan Nasional

PETALING JAYA 1 April – Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS hari ini bersetuju menggunakan perkataan “Pakatan Rakyat” bagi menggambarkan kerjasama tiga parti itu, kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan membawa perkara itu kepada parti masing-masing untuk persetujuan.

“Nama Pakatan Rakyat ini akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan pimpinan masing-masing dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat antara ketiga-tiga pihak itu di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Anwar berkata, bagi memantapkan kerjasama Pakatan Rakyat, satu Majlis Pimpinan yang terdiri daripada tiga ketua parti itu akan diwujudkan selain satu Sekretariat Bersama yang mempunyai wakil setiap parti.

Pakatan ini sekaligus memecah kebuntuan yang hampir menjangkau 10 tahun. Beberapa penganilisa politik menjangkakan dengan adanya pakatan baru ini mempercepatkan lagi perubahan landskap politik Malaysia dalam mengisi 50 tahun kemerdekaan akan datang.

Kaya hati..

“Barangsiapa memudahkan kesukaran seseorang, Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat” (HR. Muslim).

Tidak mudah merasakan bagaimana sesungguhnya hidup susah, kecuali oleh orang-orang yang sedang mengalami kesusahan hidup. Seperti halnya perasaan saudara-saudara kita yang sedang hidup di rumah-rumah setinggan atau kem-kem pelarian sementara yang kemudahannya serba kekurangan. Dengan demikian, hanya orang orang tertentu yang mampu merasakan perasaan susahnya orang lain, terutama orang-orang yang tergolong sebagai kaya hati.

Bahkan dalam suatu hadits, Rasulullah SAW mengatakan bahwa kekayaan yang sesungguhnya ialah kaya hati. Hal ini memang sangat kuat alasannya. Orang yang kaya hati, meskipun tidak kaya harta, akan tetap berusaha untuk menunjukkan keperihatinannya terhadap orang lain. Sebaliknya, orang yang kaya harta, namun tidak kaya hati, tidak akan mudah perihatin terhadap nasib orang lain, terutama orang orang yang hidup dalam kesusahan.

Sebagaimana dikatakan dalam hadits di atas, orang yang kaya hati sehingga mahu membantu meringankan beban orang susah akan mendapatkan sekurang-kurang dua kemudahan. Pertama, kemudahan hidup sewaktu di dunia. Ada saja pertolongan yang diperolehnya, meskipun bukan melalui orang yang pernah dibantunya. Allah mengirim bantuan melalui tangan hamba hambaNya yang lain. Kedua, pahala yang akan membantunya sewaktu ditimbang amalnya di hari akhirat kelak.

Oleh itu perbanyakkan berdoa kepada Allah supaya kita dimasukkan ke dalam golongan yang kaya hatinya. Jangan sampai kita menjadi orang yang mati sebelum dimatikan oleh Allah SWT iaitu orang yang mati hatinya.

Malaysia ada 500,000 laman blog

KUALA LUMPUR 1 April – Sedar atau tidak, tetapi Malaysia adalah antara negara yang memiliki pengendali laman blog yang tertinggi di dunia selepas Kesatuan Eropah dan Indonesia.

Malaysia dianggar memiliki hampir 500,000 blog yang aktif dikendalikan oleh pelbagai pihak atas tujuan berlainan.

Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, ini menjadikan penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.

Katanya, blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.

“Kajian pihak kami mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan dalam blog,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada forum bertajuk Masyarakat dan Media Dalam Pilihan Raya 2008

Beliau berkata, pemimpin kerajaan kini juga boleh menggunakan blog untuk berkempen tetapi mereka perlu ingat bahawa masa sehingga 10 tahun diperlukan bagi membolehkan sesuatu blog itu mula dikenali ramai.

Johan pula berkata, sesetengah blog begitu berpengaruh apabila menerima sehingga sejuta kunjungan dalam satu hari yang normal.

“Kalau pada hari-hari yang ada isu yang panas, jumlah kunjungan boleh mencecah antara tiga dan empat juta,” katanya di sini hari ini.


Komen Karpal mengenai tindakan Siva

PULAU PINANG 1 April – Pengerusi DAP, Karpal Singh kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam memburukkan nama baik parti dengan “bermain tarik tali” dalam soal peletakan jawatan dan hasrat untuk keluar daripada parti itu semalam.



Beliau berkata, tindakan ADUN itu bukan sahaja menjejaskan imej parti malah memalukan diri sendiri apabila menarik balik keputusannya selepas beberapa jam mengumumkan perletakan semua jawatan dalam parti serta keluar daripada parti itu.

“Perkara ini bukan boleh main-main. Saya tidak faham kenapa beliau buat seperti ini dan saya tidak boleh terima perbuatan seperti ini,”

01 April 2008

Siapakah kita ?

Tidak akan datang hari kiamat sehingga orang jahat semakin bertambah dan orang terhormat semakin berkurang (HR. Tirmidzi).

Kata kata terhormat di akhir zaman seperti sekarang ini kerap disalah artikan. Terhormat kadangkala disandangkan pada orang orang yang banyak menghabiskan waktu hidupnya untuk berlomba-lomba untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang sebenarnya tidak terhormat. Contohnya, memuaskan hawa nafsu sendiri dengan menyalah gunakan amanah.


Padahal dalam suatu hadits qudsi diisyaratkan, salah satu cara menilai diri kita adalah dengan mendengar perilaku-perilaku kita dari orang lain. Misalnya,periksalah apa kata orang terhadap pribadi-pribadi “terhormat” yang menipu rakyat dengan projek-projek kebendaan, pribadi-pribadi “terhormat” yang bersumpah untuk mewakili rakyat namun ternyata lebih mewakili keinginan pribadi, atau pribadi-pribadi “terhormat” yang lebih mementingkan kroni berbanding membela nasib rakyat. Siapapun yang berhati jujur pasti malu mengakui diri terhormat bila mendengar dirinya berperilaku demikian dan bahkan benci kalau perbuatan perbuatan demikian dilakukan orang lain.


Namun akhir zaman seperti sekarang ini, rasa malu dan kejujuran telah mula padam dari hati kebanyakan manusia. Itulah sebabnya, orang-orang yang benar-benar terhormat, iaitu orang-orang yang masih jujur dan memiliki rasa malu untuk berbuat jahat, telah menjadi kaum yang sedikit atau langka. Sehingga dalam sejumlah keputusan yang harus dibuat, jarang dimenangkan oleh orang-orang yang sedikit ini kerana jumlah undi suaranya yang sedikit. Namun demikian, menurut Rasulullah SAW, pada hakikatnya orang-orang yang sedikit itulah yang menang kerana telah menang dari pertempuran melawan hawa nafsu.

ADUN DAP Perak batal hasrat keluar parti

IPOH 31 Mac — Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Buntong, A.Sivasubramaniam membatalkan hasrat meletak jawatan dan keluar parti, beberapa jam selepas menghantar surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak petang ini, Sivasubramaniam berkata, tindakan itu akibat salah faham dan beliau memohon maaf kepada semua pihak.

“Saya memohon maaf kerana tindakan saya itu dibuat kerana salah faham...saya dengan ini menarik balik surat yang telah dihantar,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Surat peletakan jawatan wakil rakyat Buntong itu turut difakskan ke pejabat-pejabat media di sini pagi ini dan Koo Ham dalam sidang akhbar tengah hari tadi mengesahkan menerima surat itu tetapi berkata bahawa kesahihannya belum dipastikan kerana beliau tidak dapat menghubungi Sivasubramaniam.


Dalam surat itu, Sivasubramaniam, 41, mendakwa agihan jawatan Exco kerajaan negeri untuk dua pemimpin India tidak dilaksanakan seperti dijanjikan oleh Ngeh sebelum ini.
Koo Ham berkata, beliau berjaya menghubungi Sivasubramaniam pada pukul 5 petang ini dan mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat Buntong itu.


“Seperti yang saya jangka, keputusan yang diambil oleh Sivasubramaniam adalah berpunca daripada salah faham dan kami mengambil masa kurang lima minit untuk menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya.


Beliau berkata, isu kekurangan wakil kaum India dalam pentadbiran kerajaan campuran timbul kerana beliau sebelum ini tidak mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk melantik wakil kaum India sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.


“Saya tidak mengumumkannya kerana menghormati Dewan dan Menteri Besar...pelantikan Speaker dibuat oleh Dewan dan ia belum bersidang...sekarang saya terpaksa umum kerana telah berlaku salah faham. Kita menghargai dan menghormati sokongan kaum India dan memang akan menunaikan janji melantik dua wakil India dalam kerajaan negeri,” katanya.


Menurutnya lagi, kerajaan negeri Perak juga akan memastikan wakil wanita turut dilantik memegang jawatan yang sesuai dalam pentadbiran kerajaan negeri melalui pelantikan majlis kerajaan tempatan, agensi kerajaan negeri, senator dan anak-anak syarikat.Beliau yang juga Exco kanan berkata, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan kaum India atau wanita.


Daripada 10 anggota Exco Perak yang baru, hanya A.Sivanesan, juga daripada DAP dilantik memegang portfolio Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.


Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Sivasubramaniam yang merupakan Timbalan Setiausaha DAP Perak, menewaskan calon Barisan Nasional Lee Tung Lai dengan majoriti 5,315 undi.
Kerajaan campuran Perak diwakili 18 wakil rakyat DAP, tujuh PKR dan enam PAS dan jika Sivasubramaniam keluar parti, kerajaan berkenaan akan hanya tinggal 30 kerusi dan bakal memerintah dengan majoriti satu kerusi. DUN Perak mempunyai 59 kerusi dan Barisan Nasional (BN) selaku pembangkang menguasai 28 kerusi.

Portfolio anggota Exco Perak diumumkan


IPOH 31 Mac — Pejabat Menteri Besar Perak hari ini mengumumkan senarai portfolio 10 anggota Exco kerajaan campuran negeri yang mengangkat sumpah jawatan Sabtu lepas dan portfolio yang dipegang Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Senarai portfolio bagi 10 anggota Exco yang terdiri daripada enam anggota Dewan Undangan Negeri dari DAP, tiga Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang wakil PAS, mengikut kenyataan yang dikeluarkan di sini ialah seperti berikut:

1. Ngeh Koo Ham (Adun Sitiawan): Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.

2. Nga Kor Ming (Pantai Remis): Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.

3. A. Sivanesan (Sungkai): Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.

4. Seah Leong Peng (Pasir Bedamar): Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan.

5. Chen Fook Chye (Keranji): Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.

6. Su Keong Siong (Pasir Pinji): Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi.

7. Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.

8. Tai Sing Ng (Kuala Sepetang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Penerangan.

9.Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering): Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

10. Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau): Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.

ADUN DAP Buntong di Perak keluar parti

KUALA LUMPUR 31 Mac - Krisis kerajaan campuran di Perak masih belum selesai apabila menerima tamparan terbaru ekoran pengumuman Ahli Dewan Undangan (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam meletak semua jawatan dan keluar dari parti itu.

Sivasubramaniam dalam surat kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang salinannya dihantar kepada media, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana tidak puas hati dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Khoo Ham.

Katanya, Khoo Ham tidak menunaikan janji untuk mengagihkan kerusi Exco kepada dua pemimpin India yang dianggapnya sebagai tamparan dan penipuan kepada kaum itu di Perak.

31 Mac 2008

Takut kepada Allah

“Barangsiapa tidak takut kepada Allah, maka Allah menjadikannya takut kepada segala sesuatu” (HR. Baihaqi).

Di awal awal pelantikan para pemimpin seperti sekarang ini, kita rindu rasanya akan kata-kata pemimpin rakyat seperti apa yang dikatakan salah seorang pemimpin rakyat masa lalu, "Andaikan negeri ini makmur, maka biarlah rakyat yang pertama sekali menikmatinya dan saya yang terakhir menikmatinya. Namun apabila negeri ini menderita biarlah saya yang akan pertama sekali merasakannya.” Jangan sampai terucap kata kata: "Terserah negeri ini menjadi makmur atau melarat, yang penting saya selalu menikmati kemakmuran dan kemewahan, pedulikan mereka semua kerana aku sekarang sudah berkuasa."

Ucapan kata-kata yang disebut terakhir ini boleh terjadi bila orang yang diserahi kekuasaan untuk mengurus atau memperhatikan rakyat nantinya hanya memperjuangkan hak peribadi sendiri secara berlebihan dengan membuat keputusan secara bersendiri. Umpamanya, keputusan-keputusan untuk kepentingan peribadi atas nama rakyat. Sedangkan di saat yang sama, cukup banyak rakyat dalam wilayah kekuasaannya sedang dihimpit dengan kemiskinan.

Perilaku mementing diri sendiri dengan mengabaikan amanah memberi makna seseorang pemimpin itu tidak takut terhadap Allah. Sebab, peraturan-peraturan Allah yang harus dipenuhi oleh orang-orang yang diserahi kekuasaan mengurus rakyat ialah amanah yang berat dan besar. Apalagi seperti dikatakan Rasulullah SAW, "siapa saja yang tidak takut kepada Allah akan takut kepada yang lain". Kenyataannya, tidak sedikit orang yang lebih takut tidak kaya raya di saat memegang jawatan berbanding takut kepada Allah dengan memenuhi amanah. Semoga kita tidak demikian .

Menteri Besar Terengganu Angkat Sumpah

KUALA TERENGGANU 30 Mac — Tiga hari selepas mendapat sokongan Majlis Tertinggi UMNO terhadap pelantikannya sebagai Menteri Besar oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, Datuk Ahmad Said hari ini mengangkat sumpah bagi jawatan itu.

Istiadat yang diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah di sini.

Selesai melafazkan sumpah jawatan dan ikrar taat setia sebagai Menteri Besar, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal yang berusia 51 tahun itu kemudian menandatangani surat pelantikannya.

Ahmad, yang berpakaian baju Melayu serba hitam, kelihatan tenang sepanjang berlangsungnya majlis itu.

Istiadat itu turut disaksikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Adun Jertih serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Adun Rhu Rendang serta semua Adun Terengganu menghadiri istiadat hari ini.

Melayu sudah hilang kuasa – Ku Li

KOTA BHARU 30 Mac – UMNO perlu menerima hakikat bahawa orang Melayu sebenarnya sudah hilang kuasa dan hanya mengharapkan bantuan dari Sabah serta Sarawak untuk terus kekal memimpin negara.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) berkata, parti itu perlu melakukan sesuatu kerana rakyat khususnya di Semenanjung sudah mula hilang kepercayaan terhadapnya.

Beliau berkata, UMNO kini hanya mengharapkan sokongan daripada kedua-dua negeri tersebut dan sewajarnya tuntutan mereka didengar serta dilayan.

“Kalau kita tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, UMNO tidak ada kuasa langsung di Parlimen kerana suara kita yang ada tidak sampai separuh.

“Apakah kita masih berangan-angan lagi dan tidak mahu bertindak memperbaiki kedudukan, satu perkara serius kuasa Melayu sudah hilang di negara ini.

“Kita pun tidak melayan tuntutan mereka (Sabah dan Sarawak) sebagaimana sepatutnya kerana mereka mendapat sokongan besar daripada rakyat untuk mendukung UMNO di Semenanjung yang benar-benar gagal untuk mempertahankan kedudukannya,” kata beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra di sini malam tadi.

Sultan Kelantan rakam tahniah kepada Menteri Besar

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra merakam ucapan tahniah kepada Menteri Besar dan ahli-ahli Exco serta wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya umum Ke-12, 8 Mac lalu.




Oleh itu titah baginda kerajaan negeri yang baru dibentuk diharap dapat melaksanakan pembangunan bagi membolehkan rakyat hidup aman dan sejahtera.

Baginda bertitah, ahli Exco perlu memainkan peranan berdasarkan portfolio masing-masing secara bijaksana mengikut saluran yang ditetapkan.

Jadilah pemimpin yang bertakwa dan ingatlah kita akan mati dan orang di sekeliling kita tahu apa yang dilakukan.

Elakkan pembaziran di samping mengambil langkah yang lebih berkesan dan mantap bagi menjana sumber pendapatan negeri.

Pastikan perbelanjaan kerajaan diurus tadbir dengan baik dan cekap di samping mencari sumber baru bagi peningkatan punca hasil negeri dengan menjadikan sumber mineral seperti minyak dan emas sebagai sumber baru,titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-58 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Sebelum itu baginda memeriksa perbarisan dan menerima tabik hormat daripada pasukan keselamatan di Padang Merdeka.

Sultan Kelantan juga menyeru semua pihak supaya memelihara sumber hasil negeri dengan merancang pembangunannya sebaik mungkin dan mematuhi undang-undang serta peraturan berkaitan.

Terdahulu baginda menyempurnakan Majlis Pengurniaan Kehormatan Negeri bagi Darjah Kebesaran kepada seramai 79 penerima.