03 Disember 2008

Harga minyak turun lagi.

Harga minyak petrol dan diesel masing-masing turun 10 sen seliter berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikutan itu, harga petrol RON97 dikurangkan dari RM2.00 seliter kepada RM1.90 seliter dan harga petrol RON92 pula dikurangkan dari RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Manakala diesel dikurangkan daripada RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter.

Penurunan harga minyak bagi kali keenam ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Katanya, keputusan untuk menurunkan lagi harga minyak dibuat ekoran harga minyak dunia yang turun secara ketara akhir-akhir ini.

Perdana menteri berkata, Kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya.

Kali ini kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 10 sen seliter berbanding 15 sen sebelum ini.

Zaid Ibrahim dipecat dari Umno

Datuk Zaid Ibrahim dipecat dari Umno ekoran tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemecatan Zaid itu berkuatkuasa serta merta.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam.

Zaid juga dilaporkan berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas Zaid lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Surat tunjuk sebab

Awal bulan lalu, Zaid Ibrahim menerima surat tunjuk sebab dari Umno berkaitan dengan surat terbukanya kepada perdana menteri dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan ISA.

Parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Beliau juga turut melepaskan jawatan senator.

Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

'Tiada pilih kasih'

Abdullah berkata, tindakan dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti.

Zahar sebelum ini telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Abdullah yang didakwa telah menyalahguna kedudukannya sebagai presiden Umno menjelang pemilihan parti dan pencalonan.

Beliau juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses tender kerajaan untuk membeli helikopter baru bagi Angkatan Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Isu-isu sensitif

Menyentuh mengenai isu-isu sensitif yang ditimbulkan anggota parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang dan akan dibincangkan dalam suasana yang terkawal.

Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka yang hendak menimbulkan sesuatu perkara atau reaksi yang tidak disenangi oleh kaum lain, perlu bertanggungjawab di atas tindakan yang dibuat.

"Kita semua kena berhati-hati tanpa mengira kaum dan agama. Negara ini mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Jadi isu agama dan bangsa boleh menimbulkan reaksi tidak menyenangkan, perlu latih diri supaya dikawal. Tidak bawa apa-apa keuntungan dan kebaikan pada rakyat," katanya.

Ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan parti komponen BN yang lain, Abdullah berkata: "Itu bukan bermakna kita diam langsung. Kita juga cakap dengan pemimpin-pemimpin berkenaan."

Pilihanraya kecil

Mengenai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, mesyuarat MT memutuskan supaya persiapan disegerakan.

MT juga, tambah beliau, mengarahkan bahagian-bahagian Umno lain, membantu Umno Terengganu dalam menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

Kerusi parlimen tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Razali yang juga timbalan menteri pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands sewaktu menghadiri permukiman anjuran Umno Terengganu.

Abdullah juga berkata, soal pemilihan calon bagi pilihanraya kecil tersebut, belum lagi diputuskan.

Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Umno boleh mencadangkan calon yang layak dan tidak perlu diadakan mesyuarat MT untuk membuat keputusan mengenainya.
malaysiakini.

Kerajaan Perak Umum Hakmilik Selama-lamanya untuk RPT dan Kg. Baru.

IPOH, 2 Disember :- Kerajaan Negeri Perak Pakatan rakyat hari ini mengumumkan mulai hari ini penghuni-penghuni Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Kampung-kampung Baru di seluruh Negeri Perak boleh memohon untuk hakmilik selama-lamanya (In Perpetuity), demikian pengumuman dari Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak ,YB Dato' Ngeh Koo Ham dalam Sidang media di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Exco Kerajaan Perak, Yb. Mohd Zainuddin Yusuf, YB. Thomas Su dan YB. Tai Sing Ng. Sementara ADUN yang hadir ialah YB. Drs. Khalil Idham Lim( Titi Serong), YB. Ong Boon Piao (Tebing Tinggi) dan YB. Leong Mee Meng(Jalong). Hadir sama ialah Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Perak, Ust. Zulkifli Ibrahim.

Permohonan hanya dapat dibuat sekarang kerana Kerajaan Negeri Perak telah mengambil masa beberapa Bulan yang lepas untuk menilai hartanah diseluruh 349 RPT dan 134 Kampung baru di seluruh Negeri Perak.



Dato Ngeh bersama Exco dan ADUN lain dalam sidang media tersebut.


Beliau juga mengumumkan proses permohonan hak milik selama-lamanya ini telah dipersingkatkan kepada 4 proses sahaja dan dapat dikeluarkan dalam masa sehari sahaja jika perlu.

Jumlah Premium yang perlu dibayar adalah 20 % daripada perbezaan nilai tanah hakmilik selama-lamanya dan nilai tanah baki tempoh pajakan. Nilai tanah hendaklah menggunapakai Jadual Penilalain Tanah RPT dan Kg baru yang disediakan oleh jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Perak.

Dato' Ngeh juga menjelaskan pemberiaan hak milik ini adalah memenuhi janji parti-parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lepas. Dasar ini juga merupakan polisi Kerajaan pakatan Rakyat untuk memperkayakan dan memperkasakan rakyat. Jelasnya dasar ini dapat meningkatkan nilai tanah dan rumah sehingga melebihi RM 1.5 billion.

Beliau menafikan tohmahan yang sengaja diputar belit oleh sesetengah parti politik bahawa ia memihak kepada sesuatu kaum sahaja. RPT mempunyai 102,00 hakmilik dan 134 Kg Baru mempunyai lebih kurang 47,000 hakmilik. Kebanyakan RPT adalah orang Melayu dan Kg baru didiami orang-orang Cina. Orang India juga menghuni dikedua-dua pertempatan itu.

Dengan pemberiaan hakmilik itu meleyakkan penghuni-penghuni boleh mendapat pinjaman daripada institusi kewangan untuk membina semula kediaman atau kedai perniagaan yang usang. Kerajaan menjangkakan lebih kurang 20,000 rumah dan kedai perniagaan di RPT dan kg Baru dalam masa 5 tahun akan datang.

Kerajaan juga menggalakkan penghuni di RPT dan kg Baru untuk memohon untuk hakmilik selama-lamanya jika tempoh pajakan hakmilik mereka tamat kerana kadar premium yang dikenakan adalah lebih rendah daripada permohonan untuk pajakan 60 tahun atau 99 tahun. Ini disebabkan diskaun tidak diberikan lagi diberikan pada masa kini untuk permohonan pajakan 60 tahun atau 99 tahun. Jelas Dato' Ngeh dalam sidang media itu.

Menjawab soalan mengenai dakwaan setengah pihak dasar ini menimbulkan masalah pengambilan tanah untuk pembangunan di masa akan datang beliau menafikan dakwaan itu kerana tanah tersebut tetap boleh dibangunkan dengan menggunakan dasar pengambilan tanah yang sedia ada dengan harga semasa yang dibayar kepada pemilik.

Sah, Hillary dicalon Setiausaha Negara AS

CHICAGO: Barack Obama menamakan Senator Hillary Rodham Clinton sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) yang baru apabila beliau mengambil alih kepimpinan negara itu bulan depan.

Beliau akan menggantikan Condolezza Rice, dan dijangka muncul sebagai Setiausaha Negara ketiga di kalangan wanita.

Malah, Obama yang dipilih sebagai Presiden AS ke-44 bulan lalu menamakan Robert Gates, yang kini berkhidmat di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush, untuk kekal Setiausaha Pertahanan.

Gates memegang jawatan Setiausaha Pertahanan sejak dua tahun lalu.

Dengan pengumuman penting itu yang diumumkan di sini semalam (awal pagi waktu Malaysia), Obama berkata, beliau akan berbincang dengan panglima tentera dan pemerintah sebelum memutuskan tempoh menarik keluar tentera Amerika dari Iraq.

Turut diumumkan ialah Jeneral (B) James Jones sebagai penasihat keselamatan kebangsaan White House, bekas pegawai Jabatan Kehakiman, Eric Holder sebagai Peguam Negara; Gabenor Arizona Janet Napolitano sebagai Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri dan Susan Rice sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Saya menghimpunkan pasukan ini kerana saya seorang yang yakin dengan personaliti yang kental dan mempunyai pandangan mantap," kata Obama, yang akan mengetuai White House mulai 20 Januari depan.

"Saya merasakan begitu caranya keputusan-keputusan terbaik dibuat. Salah satu bahayab di White House adalah, berdasarkan saya tentang sejarah, anda berakhir dengan fikiran berkumpulan dan kesemua bersetuju dengan apa semua perkara dan tiada keputusan dan tiada pandangan lain. Justeru, saya mahu menggalakkan perbahasan dalam isu yang dibawa di White House.

"Tetapi, saya akan menetapkan dasar sebagai presiden. Saya akan bertanggungjawab terhadap visi yang pasukan ini bawa dan saya fikir mereka akan melaksanakan visi berdasarkan keputusan yang dibuat," katanya.

Minggu lalu beliau mengumumkan Timothy Geithner sebagai Setiausaha Perbendaharaan.

"Saya bangga untuk menyertai anda...," kata Hillary, bekas wanita pertama White House.

Pelantikan Clinton, Holder, Napolitano dan Rice memerlukan pengesahan Senat. - Utusan

02 Disember 2008

ADUN hadir dalam kenduri kaum Cina

PARIT BUNTAR , 1 Dis :-Kebiasaannya ADUN Titi Serong tidak menghampakan Penduduk disekitar DUN Titi Serong dengan hadir pada setiap jemputan kenduri . Namun sekali ini beliau hadir dalam jamuan kenduri "naik rumah baru" yang diadakan oleh seorang ketua masyarakat Cina dari Kuala Kurau.


Seorang penduduk Kuala Kurau yang dikenali dengan nama Amoi telah menjemput Drs. khalil dalam jamuan naik rumah baru anaknya di Jalan Sempadan Parit Buntar.



Pada kesempatan itu beliau telah beramah mesra dan bersalaman dengan semua yang hadir sekitar 500 orang. menurut Amoi tetamu yang dijemput terdiri dari pengundi DUN Titi Serong dari Tanjung Piandang, Parit Buntar dan Bagan Tiang selain dari penduduk Kuala Kurau yang hadir sama.

ADUN juga tidak menghampakan tuan rumah yang mempersilanya untuk meninjau keadaan didalam rumah tersebut.

01 Disember 2008

Mengapa Serangan Ganas Kerap Berlaku di India

Sejak malam kelmarin, bandar Mumbai, pusat ekonomi di pantai barat India, sekali lagi diselubungi suasana tidak tenteram apabila sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas stesen kereta api, hotel, panggung wayang dan bangunan kerajaan di pusat bandar ini. Sehingga pagi tadi, serangan tersebut telah menyebabkan 132 orang terbunuh, dan lebih 300 orang cedera.

Dua tahun yang lalu, juga berlaku letupan bom, yang meragut lebih 200 nyawa di bandar ini. Namun, serangan kali ini berlainan dengan serangan sebelumnya. Serangan kali ini tidak lagi dilancarkan dengan memasang bom di tempat-tempat tertentu, dan juga tidak semata-mata disasarkan kepada orang awam, sebaliknya, pengganas kali ini menjadikan kawasan tumpuan orang ramai sebagai sasarannya. Antaranya termasuk dua buah hotel berbintang lima yang paling mewah di Mumbai, iaitu Hotel Taj Mahal dan Hotel Oberoi. Pengganas-pengganas yang bertopeng menyerbu masuk ke dalam kedua-dua buah hotel tersebut, dan melepaskan tembakan rambang kepada sesiapa sahaja, termasuk rakyat jelata yang tidak berdosa.

Berdasarkan keadaan ini, jelaslah bahawa serangan ganas kali ini ada sangkut pautnya dengan serangan sebelum ini. Pada 13 September yang lalu, beberapa kejadian letupan bom telah menggegarkan kawasan membeli belah di pusat bandar New Delhi. Sebulan kemudian, kejadian seperti itu berlaku pula di Guwahati, bandar terbesar di Assam., timur laut India. Kejadian tersebut telah mengakibatkan berpuluh-puluh orang terbunuh, dan beberapa orang yang lain cedera. Berdasarkan statistik, sejak awal tahun ini hingga kini, hampir 800 kejadian ganas telah berlaku di negara ini. Angka ini melampaui jumlah kejadian ganas yang berlaku dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Mengenai punca mengapa serangan ganas kerap berlaku di India, ada penganalisis memberi penjelasan seperti yang berikut:

Pertama, perselisihan antara pelbagai kaum dan agama semakin ketara. India merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Lebih 80% penduduknya menganut agama Hindu. Namun, hampir semua agama di dunia dapat ditemui di negara ini, terutamanya penganut Agama Islam yang menyumbangkan kira-kira 12% daripada jumlah keseluruhan penduduk, yang memiliki kedudukan yang penting di India.

Dalam sejarah India yang menjangkau beberapa ribu tahun itu, kejadian berdarah dapat dikesan dalam sepanjang proses pembangunan sosialnya. Great Britain pernah menjajah keseluruhan subbenua Asia Selatan. Pada masa itu, India sebagai jajahan takluk Britain meliputi negara India sekarang, Pakistan dan Bangladesh. Pemisahan India-Pakistan serta tiga peperangan antara kedua-dua pihak yang didalangi oleh penjajah Britain, telah meruncingkan lagi perselisihan antara agama Hindu dengan Islam di negara ini. Oleh itu, percanggahan antara agama selalu dianggap sebagai penyebab utama yang mengakibatkan pergolakan politik di negara tersebut.

Kedua, jurang perbezaan antara yang kaya dengan yang miskin agak besar. Apabila ketidaksamarataan agihan kekayaan ini dicampur dengan faktor agama dan kaum, serta faktor antarabangsa yang rumit, maka, tercetuslah kegiatan ganas yang bagaikan tidak ada penghujungnya.

Dan ketiga, berdepan dengan situasi keganasan yang kian meruncing kini, tindakan antikeganasan yang diambil oleh kerajaan India seolah-olah tidak berkesan. Inilah satu lagi penyebab utamanya. Beberapa tahun kebelakangan ini, memang ada beberapa buah pertubuhan pelampau yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan ganas yang berlaku di negara itu. Namun, sehingga kini, badan keselamatan India masih belum dapat menangkap dan menghukum pengganas yang terbabit itu, walau seorang pun.

Perdana Menteri, Manmohan Singh semalam menyatakan bahawa kerajaan akan berusaha meningkatkan kecekapan jabatan polis dan perisikan, dan menubuhkan satu badan penyiasat persekutuan yang berkecekapan tinggi, yang khusus untuk menyiasat kejadian serangan ganas. Orang awam berharap rancangan ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

2,000 Pelancong China yang Terkandas di Thailand Balik ke Tanah Air

Sehingga petang tadi, kira-kira 2,000 orang pelancong China yang terkandas di Thailand balik ke tanah air dengan menaiki kapal terbang carter China.

Syarikat Penerbangan Antarabangsa China dan Syarikat Penerbangan Southern China hari ini masing-masing menghantar sebuah kapal terbang ke Thailand untuk menjemput kira-kira 600 orang pelancong China termasuk pelancong dari Hong Kong, Macau dan Taiwan.

Naib Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Hong Kong hari ini mengumumkan bahawa Syarikat Penerbangan Cathay Pacific akan menghantar sebuah kapal terbang ke Thailand esok untuk menjemput balik kira-kira 380 orang pelancong Hong Kong yang terkandas di negara itu.

Menurut jangkaan, masih terdapat lebih seribu orang pelancong China yang terkandas di Thailand

30 November 2008

MB Perak berada di Pulau Pangkor 2 hari

LUMUT, 29 Nov :-Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat menjejak kaki ke Pulau ini setelah 9 bulan diamanahkan sebagai Menteri Besar Perak, demikian antara ucapan YAB Menteri Besar Perak, Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin dalam kuliah Maghrib di Masjid Teluk Raja Bayang di Pulau pangkor di sini malam ini.

Dalam lawatan ke Pulau Pangkor ini YAB Menteri Besar telah diaturkan beberapa program utama iaitu pada jam 5.30 petang tadi telah diadakan Program Hi Tea di Warung pak Usop di Sungai Pinang Besar yang di hadir oleh hampir 300 orang Melayu, Cina dan India.

Pada sebelah malam pula YAB Menteri Besar memenuhi jemputan AJK Masjid Pangkor untuk memberi kuliah Maghrib yang dihadiri oleh 100 orang penduduk setempat.



"Apalah salahnya kita sama-sama mengajak orang yang kita pimpin, di rumah, di pejabat dan saya sebagai Menteri Besar yang diamanahkan untuk meningkatkan perlaksanaan solat" tegasnya.

Ir. Nizar juga menyatakan kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dilakukan di dunia ini, kerana itu kita mesti melaksanakan amnah ini sebaik mungkin takut kelak kita akan rugi.


Bagi Ceramah di Dataran Pangkor Pasir Bogak pihak penganjur membaris MB dengan ADUN Titi Serong yang dihadiri oleh lebih 300 orang pendengar.

Dalam ucapannya Drs. Khalil menumpukan ucapannya dalam bahasa Mandarin sebagai meraikan kehadiran kaum Cina yang agak ramai.

Antara kupasan yang diberikan ialah tentang keyakinan kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS telah berubah di kalangan kaum India dan Cina. Putar belit yang dinyatakan selama ini telah tidak dipercayai oleh dua bangsa tersebut.

Menteri Besar mengupas tentang dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan termasuk mengadakan Takaful kifalah yang memperuntuk RM 1000 kepada warga emas 65 tahun ke atas yang meninggal dunia.

"Adakah dakwaan akan hura hara dan hara huru yang didakwa bila kita menang dan memerintah benar" tanya Menteri besar.

Ir. Nizar juga menyatakan kekesalannya dengan sikap Perak FM yang tidak menyiarkan dan memberi peluang kepada nya untuk bercakap.

Kedua-dua penceramah juga mnegupas tentang kezaliman ISA yang wajib ditolak orang rakyat termasuk di Pulau Pangkor.

Program terakhir ialah pada 30 November YAB Menteri Besar akan menyampaikan Kuliah Subuh di Surau Teluk Gedung yang dijangkakan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat.

Kehlian Kelab Penyokong PAS melebihi 30,000 orang.

Jumlah keahlian Kelab Penyokong PAS sekarang telah melebihi angka 30,000 orang. Jumlah terbanyak ialah dari kaum India sebanyak 58 % dan selebihnya dari Kaum Cina, dan sedikit dari kaum Sikh , Siam dan Iban diSerawak.Demikian kenyataan dari Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan ,Sdr. Vincent Lee dalam Dialog Bersama komuniti Non-Muslm sempena Kempen Jom sertai Pas anjuran PAS Temerloh pagi ini.

Program yang diadakan di hadapan Pejabat PAS Kawasan Temerloh menampilkan Panel Dialog iaitu Naib Presiden PAS , Ust. Ahmad Awang, Pesuruh jaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat, Ust. Abdul Ghani Shamsudin, ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim, dan Pengerusi kelab Penyokong PAS Negeri Pahang, N. Balasubramaniam.

Vicent Lee juga menjelaskan tidak ada sebab orang Cina dan India takut kepada PAS kerana PAS lah yang mempunyai pengalaman memerintah yang lama khususnya di Kelantan.

Tegasnya di Kelantan tidak ada halangan kepada orang Cina untuk mengamalkan budaya dan adat mereka masing-masing. Contohnya di Kelantan lah letaknya patung Buddha yang terbesar di Malaysia. Di Jalan kebun Sultan Kota Bharu orang Cina menjual daging “kerbau pendek” dan teh cina dengan terbuka.

“jangan tuan-tuan percaya dengan dakwaan saya kerana Kelantan bukannya jauh dan boleh pergi ke sana untuk melihat sendiri” katanya.

ADUn Titi Serong berceramah di Temerloh Pahang.

TEMERLOH, 29 Nov :- Ceramah Perdana PAS Kawasan Temerloh diadakan dalam keadaan cuaca yang baik menampilkan penceramah terdiri dari Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang, AJK PAS Pusat, Ust. Ghani Shamsuddin, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pahang, N. Balasubramaniam.

Ceramah tersebut diadakan di Darul Amin bagi memperjelaskan berbagai isu termasuk keanggotaan Kelab Penyokong PAS dalam parti.

ADUN Titi Serong dalam ceramahnya menjelaskan perkembangan persidangan DUN yang lepas yang telah meluluskan Bajet 2009 serta Usul Mansuh kan ISA.

Menurut Setiausaha Sekateriat Program Pemerkasaan PAS Kawasan Temerloh, Ustaz Fairuz Hisham Nordin, ceramah perdana dibuat bagi mengisi program lawatan kerja pimpinan PAS Pusat melalui Lajnah Permerkasaan PAS Pusat ke Kawasan Temerloh melibatkan pimpinan Kelab Penyokong PAS

Hadir sama dalam program tersebut ialah ADUN Sri Semantan, YB. Syed Hamid bin Syed Muhammad dan YDP Kawasan Temerloh, Ust. Abdul Rahim bin Abd. Latif.

29 November 2008

Ahli Parlimen Kuala Terengganu meninggal dunia.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang tadi seperti yang disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom petang ini.

Beliau merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut.

Difahamkan Razali, 59, rebah ketika bermain badminton di institut itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, beliau menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf.

Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi. Allahyarham mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi.

Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.

Allahyarham menghadiri sesi permukiman dua hari bagi pemimpin Umno Terengganu di situ yang bermula hari ini.

Alimuddin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong, Pahang.

Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima
anak.

Malaysiakini difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu malam ini.

Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu.
Bernama.

Khatib Jumaat masih ramai yang tidak layak ?

Minggu lepas saya sembahyang jumaat di mesjid jamik Kubu Gajah. Disebabkan saya kena berada di Ipoh jam 3.00 petang jadi tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa sembahyang Jumaat dalam perjalanan ke Ipoh. Seingat saya sudah beberapa jumaat tidab baca khutbah didalam kawasan sendiri kerana kebetulan tugas luar pada hari tersebut.

Semasa dimesjid itu alangkah kecewanya bila mendengar khutbah yang dibaca oleh seorang khatib yang saya nilai telah mengagalkan matlamat Jumaat di wajibkan pada setiap minggu seorang mukmin.

Tujuan Jumaat adalah untuk menjadi tempat mendidik ummah paling kurang seminggu sekali. Mahu tidak mahu kita kena mengaji dalam bahasa mudahnya. Sebab itulah Jumaat terdiri dari dua komponen utama iaitu khutbah dan solat 2 rakaat. Semuanya wajib dengan syarat dan rukunnya.

Saya tidak dapat bayangkan medium yang begitu penting disalah gunakan oleh orang yang tidak berkelayakan berada di sana. Suatu masa dulu zaman ulama Dahri yang bermegah dimimbar tanpa ada kelayakan yang sebenarnya. Kalau Dahri menyelewang aqidahnya, khatib yang sedemikian menyeleweng dari segi kedudukannya. Dia tidak selayaknya berada disitu.

Sekadar melepaskan geram sesudah sembahyang saya bertanya beberapa orang yang sembahyang bersama, dia kata khatib itu orang lama yang setahunya dari dulu telah jadi khatib. Persoalannya kenapakah dia sanggup berada disitu dengan ketidak layakannya.

Hari ini saya dalam perjalanan ke Pahang untuk suatu program PAS. Perkara sama berlaku lagi. Sekali ini di Mesjid jamek Sungkai. Disebabkan saya pernah berada di situ pada tahun 1992 semasa baru balik belajar di Indonesia lalu saya arahkan pemandu peribadi untuk singgah disana sembahyang Jumaat sesuai dengan jam ditangan.

Semasa dia membaca khutbah, saya teringat inikah imam yang pernah saya tegur pada tahun 1992 semasa saya sembahyang disitu, cuma sekarang mesjid baru, tahun 1992 mesjidnya dibangunan lama ditapak berlainan.

Bayangkan menyebut nama surah Al Ash pun tidak betul dan tersasul dengan "watawasau bil sabr" dulu. dan membaca beberapa hadits dengan sebutan yang jauh lari dari lahjah Arab.

Sesudah sembahyang saya menemui seorang petugas mesjid yang mengenali saya dan bertanya siapakah imam itu dan beliau mengesahkan itulah imam yang saya tegur pada 14 tahun lepas.

Sungguh tidak bertanggungjawab dia masih dalam tahap lama dimimbar jumaat. Sedangkan orang datang untuk mendapatkan ilmu dan suatu fardhu yang sangat bermakna setiap minggu kerana diwajibkan secara berjemaah.

Adun PAS nafi desak Tuan Guru Nik Aziz berundur cepat

KUALA LUMPUR, 27 Nov - Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat hari ini menafikan wujudnya desakan dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS supaya Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

Malahan, beliau yang juga Adun Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am PAS itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama lagi.

"Sepatutnya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di Kota Bharu.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam, yang "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Adun PAS di Kelantan memintanya berbuat demikian.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, Adun PAS Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok Guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

Adun Tawang, Hassan Mohamood berkata isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan Adun PAS kerana mereka akan menyokong Tuan Guru Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan Adun PAS. _sumber harakahDaily

MB seru graduan ceburi bidang asas tani

SUNGAI SIPUT, 27 Nov - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyeru anak-anak muda terutama graduan dan lepasan institut pengajian tinggi di negeri ini supaya menyertai sektor asas tani.

"Kerajaan bersama agensi-agensinya seperti Mardi, Sirim, Mara dan pihak swasta akan menyediakan pelbagai bantuan keperluan asas teknikal demi menjayakan program tersebut," katanya di Pelancaran Agrofest 2008 Hari Peladang, Penternak, Nelayan di Ladang Inforternak di Kuala Kangsar petang semalam.

Nizar ketika berucap di depan 30,000 orang pengunjung semalam menyatakan, dalam usaha intensif kerajaan ke arah itu klinik-klinik bimbangan usahawan sempena Agrofest 2008 akan diadakan untuk memberi peluang kepada graduan dan usahawan muda menimba ilmu pengetahuan serta pelbagai maklumat ke arah menyertai industri usahawan asas tani.

"Pada peringkat awalnya program klinik ini akan mendedahkan mengenai kursus bidang keusahawan industri dan asas tani dengan dipolopori oleh Unit Perancang Ekonom Negeri Perak," tegasnya.

Tegas Nizar, Unit tersebut akan mengetuai sektor berkenaan dengan memberikan tumpuan positif bagi mewujudkan pekerjaan industri asas tani.

"Pengembelingan sedemikian itu bukan sahaja dapat mengukuhkan ekonomi negeri ini malah dapat mengurangkan pergantungan bahan tersebut dari luar, malah ia akan membolehkan kita dalam masa terdekat mengekspot lebihan hasil produk pertanian, penternakan dan nelayan keluar negara pula," hasratnya.

Nizar, kemudiannya menyampaikan hadiah-hadiah kepada Peladang Jaya Lelaki, Rosli Ismail dari Pertubuhan Peladang Kawasan Parit Buntar, Peladang Jaya Wanita, Sharifah Abdul Rahman dari Batu Kurau dan Peladang Muda Jaya 2008, Zulsami Ismail dari Kuala Kurau. - mns_HarakahDaily

28 November 2008

Raya Haji 8 Disember.

KUALA LUMPUR, 27 Nov :-Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah hari Khamis mengisytiharkan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh Malaysia ditetapkan Isnin, 8 Dis.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijjah, 1429 Hijrah ialah pada 29 Nov 2008 Masihi.

"Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijjah) bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 8 Dis," menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.
Warga Cina Islam mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua pengunjung, maaf zahir batin.