04 November 2011

Isu AUKU: Nazri Boleh Dikenakan Tindakan Hina Mahkamah

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Param: Nazri hampir menghina mahkamah

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa penghakiman mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 belum muktamad dan ia kekal sebagai undang-undang, menghampiri tindakan menghina mahkamah.

“Apa yang dibuat adalah keputusan majoriti bukan orbiter dictum (semata-mata pendapat mahkamah),” kata bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berhubung Kebebasan Hakim dan Peguam, Datuk Param Cumaraswamy.

“Sebagai orang terpelajar dalam bidang undang-undang, Nazri sepatutnya mengetahui perkara ini. Ataupun Nazri jahil undang-undang?” soal Param yang adalah juga seorang peguam veteran dan bekas presiden Majlis Peguam.

“Nazri, sebagai jurucakap kerajaan tidak sepatutnya membuat kenyataan seumpama itu kerana beliau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan itu,” katanya memberi amaran.

Nazri membuat kenyataan itu di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat Jawatankuasa kementeriannya - yang memberikannya imuniti.

KELAB GREENBOC/-

Semua agama di dunia tidak izin hubungan sejenis: Dr Hasan

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Semua agama di dunia ini tidak menghalalkan hubungan sejenis seperti ditegaskan dalam agama Islam dan sebarang usaha mewujudkan budaya itu seperti program Seksualiti Merdeka perlu dihalang semua pihak.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infras-truktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, semua pihak terutama umat Islam tidak wajar melibatkan diri dengan sebarang program Seksualiti Merdeka.

Menurutnya, umat Islam perlu menentang penganjuran program ini kerana bertentangan dengan norma-norma semula jadi manusia.

“Mereka insan yang mempunyai jiwa agama tidak kisah sama ada Kristian, Buddha atau Hindu, namun mana-mana agama di dunia tidak mengizinkan hubungan sejenis, kalau tidak dibenarkan mengapa banyak pihak yang beragama melawan arus.

“Saya minta Suhakam, Majlis Peguam dan teman lain balik ke pangkal jalan, kalau kita sudah tersilap jalan, kita akan bawa beratusan atau jutaan orang untuk memilih jalan tersebut,” katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Seminar Islam Semasa Perubatan Alternatif (Amalan dan kepercayaan berdasarkan prinsip-prinsip Islam) di Hotel De Palma, Shah Alam.

Hasan turut meminta pucuk pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat bersama membanteras gejala keruntuhan akidah berkait dengan program yang menyuarakan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual daripada diteruskan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menghindari masalah sebegini dengan mempergiatkan program yang mampu mempertingkatkan akidah umat Islam di Selangor, antaranya, menerusi penganjuran kuliah Subuh dan Maghrib setiap minggu.

Ketika ditanya mengenai konsert Elton John yang di bantah Pemuda Pas, Hasan berkata, kehadiran penyanyi itu hanya akan menyemarakkan aktiviti tidak bermoral.

“Elton John juga ada kaitan kerana beliau tergolong dalam kumpulan terbabit. Kedatangan beliau menyemarakkan aktiviti dengan pasang colok, simbah minyak, api.

“Oleh yang demikian, saya amat menyokong usaha Pemuda Pas membuat demonstrasi dan apa jua tindakan untuk bantah konsert ini,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Obama, Angela jadi tokoh paling berkuasa di dunia

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

NEW YORK: Barack Obama menduduki tempat teratas dalam senarai Tokoh Paling Berkuasa Dunia 2011 dikeluarkan majalah Forbes, semalam.

Presiden Amerika Syarikat itu menjadi pilihan Forbes ekoran kematian pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, dan diktator Libya, Muammar Gaddafi.

Obama mengambil alih kedudukan pernah diisi Presiden China, Hu Jintao, pada tahun lalu.

Canselor Jerman, Angela Merkel, kekal menjadi wanita paling berkuasa apabila berada di kedudukan keempat senarai berkenaan.

Tempat kedua diisi Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin, yang akan bertanding untuk jawatan presiden negara itu tidak lama lagi, manakala Hu jatuh ke tangga ketiga. Menurut Forbes, AS kekal sebagai negara paling berkuasa di dunia berdasarkan kepada aspek ekonomi yang besar dan paling inovatif, selain kekuatan ketenteraannya.

Senarai itu diumumkan ketika kadar sokongan terhadap Obama merosot di AS ketika dia bergelut menangani isu pengangguran dan kelembapan ekonomi. - Reuters

Hidung dedah rahsia

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SEGAMAT: Pada 26 Ogos lalu, seorang lelaki mendakwa menemui seorang bayi ditinggalkan di depan sebuah pasar raya di bandar ini dan Selasa lalu, dia ditahan selepas siasatan polis mendapati suspek adalah bapa bayi malang itu.

Tindakan bijak pegawai penyiasat kes yang meminta lelaki berusia 21 tahun itu untuk menyerahkan sampel asid deoxyribonucleic (DNA) selepas mendapati hidung bayi serta lelaki terbabit serupa akhirnya berjaya membongkar penipuan berkenaan.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, hasil ujian DNA dilakukan Jabatan Kimia diperoleh pihaknya Selasa lalu, suspek terus ditahan di kediamannya di Felda Selancar untuk membantu siasatan.

“Kami menahan suspek yang bekerja sendiri pada jam 10 pagi, dia tidak mengakui melakukan kegiatan terkutuk itu, tetapi keputusan DNA membuktikan sebaliknya.


“Kami berhempas pulas menyelesaikan kes ini kerana tidak puas hati dengan sikap mereka yang membuang bayi, syukur kerana tindakan bijak pegawai penyiasat dibantu dengan pegawai juga anggota lain berjaya membongkar penipuan itu,” katanya, semalam.

Pada masa sama, menurut Majid, pihaknya turut menahan teman wanita suspek yang berusia 18 tahun yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Genuang, kerana disyaki melahirkan bayi perempuan berkenaan.

Hasil siasatan awal, remaja perempuan terbabit mengaku melahirkan serta membuang bayi itu di depan pasar raya berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 kerana membuang bayi, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, pada tarikh berkenaan, seorang lelaki mendakwa menemui bayi di dalam kotak diletakkan di depan pasar raya berkenaan pada jam 5 pagi ketika mahu bersahur.

Lelaki berkenaan kemudiannya mendakwa membawa pulang bayi itu ke kediamannya untuk dibersihkan dan diberikan pakaian baru sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat

Bayi itu kini ditempatkan di pusat jagaan Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang untuk tempoh dua tahun sementara menunggu tindakan susulan.

METRO/-

Balasan anak derhaka

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KANGAR – Seorang pemuda dipenjara lima bulan selepas tidak mampu membayar denda sebanyak RM2,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengugut ibu kandungnya sendiri.

Mohd. Hafzal Mohd. Din, 29, berasal dari Kampung Batu Bertangkup, Padang Besar didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas ibunya pada 28 Oktober lalu mengikut kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Mohd. Hafzal dikatakan cuba memukul ibunya yang sedang bersiap untuk berniaga dengan gitar kerana enggan memberikan pemuda itu wang RM250 seperti yang dimintanya.

Bagaimanapun, tindakan itu sempat dihalang oleh bapanya yang kebetulan berada di rumah ketika kejadian.

Ekoran itu, ibunya bertindak melarikan diri ke rumah jiran dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis kerana ketakutan. Mohd. Hafzal diberkas dua jam selepas insiden berkenaan.

KOSMO/-

4 maut, 57 cedera di lombong batu arang China

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

BEIJING: Empat pelombong manakala 57 yang lain terperangkap apabila batu di lombong batu arang meletus secara mengejut di tengah-tengah China, Khamis (waktu tempatan).

Agensi Berita Xinhua, berkata 75 pelombong berada di dalamnya apabila kemalangan di lombong batu arang di bandar Sanmenxia di petang Khamis berlaku. Hanya 14 pekerja berjaya melepaskan diri. - AP

Kelantan salur RM400,000 pada SKMK

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 3 Nov: Kerajaan Kelantan sekali lagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan apabila memperuntukkan RM400,000 kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK).

Ini ekoran syarikat pengendali pengangkutan awam itu telah menyampaikan hasrat untuk memberhentikan operasi di 17 laluan dalam negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, SKMK yang ditubuhkan pada 24 Februari 1947 itu telah banyak menabur jasa kepada rakyat negeri ini dalam soal penyediaan pengangkutan awam.

Namun, ujarnya kerana kenaikan harga minyak dan pelbagai kos termasuk penyelenggaraannya, SKMK telah melahirkan hasrat tersebut kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri melalui keputusan mesyuarat kerajaan telah diberi taklimat sebanyak dua kali oleh SKMK dan kita amat memahami permasalahan ini dan kita tahu sekiranya mereka memberhentikan perkhidmatan, maka ia akan menyukarkan pergerakan rakyat terutamanya pelajar sekolah,” ujar beliau pada sidang media selepas meraikan pemain The Red Warriors bertempat di Dewan Teratai hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan telah bersetuju pada peringkat awal untuk menyelamatkan SKMK dari memberhentikan perkhidmatannya dengan membantu dari segi kewangan dan ia akan dibantu bermula pada bulan November ini sebanyak RM100,000 dan akan diteruskan selama empat bulan.

Menurutnya lagi, sekiranya SKMK memberhentikan perkhidmatannya ia akan memberi implikasi besar kepada rakyat bawahan.

Justeru, katanya kerajaan akan bekerjasama dengan pengurusan SKMK untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal pengangkutan bas bagi membincangkan langkah pemulihan operasi syarikat tersebut yang dipengerusikan oleh Exco negeri, Mejar Datuk Mohd Anizam Abdul Rahman.

Sementara itu, bagi memberi penghargaan kepada pasukan bola sepak The Red Warriors, kerajaan telah memperuntukkan RM84,000 kepada semua pemain dan pegawai pasukan yang disampaikan sendiri Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

HARAKAHDAILY/-

Hampir 2.5 juta jemaah sudah tiba di Mekah

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PULUHAN ribu jemaah Islam bersolat di Masjidilharam di Mekah, Arab Saudi kelmarin.

MEKAH - Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan hampir 2.5 juta jemaah islam telah berhimpun di bandar ini sebelum ibadat haji yang berlangsung selama lima hari.

Musim haji itu akan bermula pada Sabtu ini.

Pihak berkuasa telah menggerakkan kira-kira 100,000 anggota keselamatan dan pertahanan awam bagi memastikan kelancaran musim haji bagi mengelak insiden kematian.

"Kami akan menggerakkan semua cara untuk menghalang sebarang kerosakan ke atas jemaah atau terhadap mana-mana kumpulan jemaah," kata Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef bin Abdul Aziz.

Beliau dilantik menjadi Putera Mahkota pada Selasa lalu.

Putera Nayef membuat kenyataan itu semasa melakukan pemeriksaan ke atas persediaan musim haji kelmarin. - Agensi

Misteri orang minyak Bentong

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali (tengah) melakukan rondaan bersama penduduk Ketari di Bentong, Pahang, malam kelmarin.

BENTONG – Lebih 10,000 penduduk di 20 kampung dan taman perumahan di kawasan Ketari di sini mendakwa hidup mereka kini diganggu satu lembaga hitam seakan-akan orang minyak.

Lembaga itu dikatakan mengganggu gadis bawah umur sejak dua minggu lalu selain membuat kacau di kampung itu.

Imejnya menyerupai lelaki bertubuh kecil yang dipercayai mengamalkan ajaran ilmu hitam itu turut didakwa memecah masuk beberapa lagi rumah sekitar Ketari.

Ekoran kejadian itu, para penduduk taman perumahan dan kampung menggerakkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi mengawasi dan memburu suspek.

Salah seorang anggota SRS dari Kampung Bukit Piatu, Muhamad Zulfadzli Zulkifli, 22, mendakwa dia bersama rakan pernah terserempak dengan lembaga hitam itu beberapa hari lalu ketika melakukan rondaan.

“Kami ternampak satu lembaga hitam berada di atas bumbung salah sebuah rumah dan kami mengejar sehingga ke tepi sungai tetapi gagal apabila dia berjaya menyeberangi sungai tersebut.

“Kemudian, lembaga itu mempersendakan kami sebelum menghilang diri dalam semak apabila menyedari beberapa rakan kami cuba menyeberangi sungai untuk menangkapnya,” ceritanya di sini semalam.

KOSMO/-

Mahasiswa kini bebas berpolitik

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SERDANG – Mahasiswa kini bebas berpolitik dengan keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu bahawa Seksyen 15 (a) Akta Universiti (Auku) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu peruntukan 15(5)(a) sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

“Boleh, dengan sendirinya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin, Naib Presiden MCA Gan Peng Siew dan UKM4 di Hotel Mines Wellness di sini semalam.

Kenyataan tersebut disokong oleh Khairy

Mereka juga meminta agar pihak kerajaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama mereka menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 15 AUKU dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik dibawa Datuk Seri Najib Razak.

sinar harian/-

Jejak tempat nenek bermanja

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

PERTEMUAN BERMAKNA...Sasha (tiga dari kanan) dan Romy (empat dari kanan) diraikan kedatangan mereka oleh keluarga angkat Natrah di Kampung Mak Cili Paya, Kemaman, semalam.

CHUKAI: “Nenek (Natrah Maarof) tidak pernah menceritakan kisah silamnya kepada cucu-cucunya. Hanya ibu yang rajin bercerita mengenai kisah dia di Malaysia.

“Semua diceritakan ibu membuatkan saya sentiasa ingin datang ke negara ini dan kini saya amat gembira apabila hasrat itu terlaksana.” Demikian kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah atau nama sebenarnya, Maria Bertha Hertogh yang dibawa oleh Tourism Malaysia (TM) Terengganu ke negeri ini untuk melihat tempat pernah didiami neneknya lebih 60 tahun lalu.

Menerusi program dinamakan Building Bridges (BB) dilaksanakan dengan kerjasama TM di The Hague, Belanda, Sasha bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dijadualkan berada di negeri ini selama empat hari bermula semalam.

“Sukar diceritakan bagaimana perasaan saya apabila dapat melihat kawasan yang pernah didiami nenek satu ketika dulu,” katanya.

Dua bersaudara itu semalam dipertemukan dengan Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat kepada Natrah di kediamannya di Kampung Mak Chili Paya di sini.

Sasha, anak kepada pasangan Carolein Van Gastel dan Jan Van Gastel berkata, dia dan Romy hanya dimaklumkan mengenai pertemuan dengan Rokayah kira-kira seminggu sebelum berlepas ke negara ini.

“Sejak itu, pelbagai gambaran bermain di fikiran saya dan berasa amat gembira apabila dilayan dengan mesra,” katanya yang terharu dengan layanan keluarga Rokayah.

Seperti Sasha, Romy, anak kepada pasangan Frans dan Carla Wolkenfelt, turut berkongsi perasaan gembira dengan pertemuan dengan Rokayah serta keluarganya.

“Sebelum ini, saya hanya melihat keindahan dan keunikan Malaysia melalui pembacaan, Internet dan (cerita) ayah. Namun, program ini peluang keemasan untuk saya lebih mengenali keluarga angkat nenek di Malaysia walaupun kami tidak pernah bersua muka.

“Lebih membuat saya terharu, layanan mereka berikan terhadap saya dan Sasha. Mereka amat mesra dan melayan kami seolah-olah pernah bertemu sebelum ini.

“Walaupun pertemuan hanya sekitar empat jam, ia meninggalkan banyak kenangan manis. Malah, layanan mesra yang mereka berikan kepada kami membuatkan saya faham mengapa nenek begitu dekat dengan budaya dan adat Melayu,” katanya yang menggemari makanan pedas di Malaysia.

Bagi Rokayah pula, pertemuan dengan dua cucu Natrah adalah satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini.

“Saya tidak menyangka akan bertemu semula dengan waris Natrah dan selama ini menganggap perhubungan dengan keluarga Natrah sudah terputus,” katanya.

Rokayah, anak kedua daripada lapan beradik, adalah anak kepada Kamariah yang menjadi adik-beradik angkat dengan Natrah ketika wanita Belanda itu dibesarkan Che Aminah Mohamad di Terengganu pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Menurut Rokayah, pertemuan itu sememangnya tidak dijangka apatah lagi selepas ketiadaan ibu saudaranya (Natrah) yang meninggal dunia pada 9 Julai 2009.

“Saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan berkesempatan bertemu dengan tiga generasi dalam keluarga Natrah sendiri.


“Jika diikutkan, tidak banyak kenangan antara saya dan Natrah apatah lagi ketika itu saya masih kecil. Namun, ikatan kekeluargaan yang ada menyebabkan rasa kasih dan sayang itu tidak pernah putus.

“Bayangkan, saya hanya bertemu Natrah pada 1998 iaitu selepas 46 tahun kami terpisah. Ia satu pertemuan yang penuh bermakna sebelum dua anak Natrah, Carolein dan Silvia bersama pasangan masing-masing melawat kami awal Januari lalu.

“Kini, tanpa disangka dua cucunya pula datang. Lebih membuatkan saya tersentuh apabila memandang wajah Sasha yang mirip neneknya (Natrah),” katanya yang juga pesara guru.

Menurutnya, kehadiran dua gadis remaja itu seakan-akan rahmat dan hadiah bermakna sempena sambutan Aidiladha, Ahad ini.

“Pertemuan bukan saja mengeratkan hubungan dua negara tetapi ikatan kekeluargaan yang tidak terputus walaupun berlainan agama dan budaya.

“Apa yang diharapkan, hubungan kekeluargaan ini akan berkekalan. Malah, saya turut menyimpan hasrat untuk melawat keluarga Natrah di Belanda,” katanya.

metro/-

Kelantan beri RM85 ribu kepada Red Warriors

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU,: Di atas keperihatinan serta sokongan penuh kepada pasukan bolasepak Kelantan, kerajaan negeri hari ini memberikan RM85 ribu untuk diagihkan kepada semua pemain dan pengurusan The Red Warriors.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir exco negeri Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman di jamuan makan meraikan pemain hari ini.

Sementara itu rombongan The Red Warriors pula diketuai oleh Pengurus Pasukan yang juga Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO ketika menyampaikan ucapan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perjalanan pasukan The Red Warriors.

Walaupun tahun ini gagal ke final Piala Malaysia, namun kejayaan memiliki dua piala iaitu Piala Presiden dan Piala Liga Super sudah cukup memberangsangkan.

“Saya berharap pemain yang menerima sumbangan ini menjadikannya sebagai perangsang untuk meneruskan perjuangan dalam musim akan datang”ujar beliau.

Abdul Fattah juga berkata sebelum ini kerajaan hanya bercadang untuk memberi RM60 ribu tetapi di atas keperihatinan Menteri Besar Tuan Guru , peruntukkan tersebut ditambah menjadi RM84 ribu dan sumbangan peribadi sebanyak RM1 ribu dari Tuan Guru disumbangkan kepada tabung kebajikan pemain.

Sementara itu Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata Islam tidak pernah melarang mana-mana umatnya menyertai sukan atau dikenali sebagai Riadah.

“ Dalam Islam, kita boleh lakukan apa sahaja namun ia ada batas-batas tersendiri dan dalam bersukan juga ada batasannya,oleh itu saya berharap pemain The Red Warriors ini sentiasa mematuhi kehendak agama agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak elok”ujar beliau.

Nik Aziz juga mengimbau kembali yang beliau pernah bermain bolasepak di zaman era penjajahan Jepun lagi dan sehingga kini kenangan tersebut masih segar.

“ Saya amat meminati sukan bola sepak ni, sebab tu saya sanggup hadir menonton sendiri perlawanan di peringkat akhir ketika Kelantan layak dulu” ujar beliau.

Bagi Pengurus pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim pula ketika ditemui berkata sumbangan kerajaan negeri kepada pemain ini adalah satu lagi tanda keperihatinan kerajaan kepada sukan bolasepak Kelantan.

“Saya yakin dengan sumbangan yang pemain terima hari ini, mereka akan lebih bersemangat lagi pada musim hadapan dan diharapkan kerajaan akan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan demi pembangunan sukan bolasepak negeri ini,” katanya.

harakahdaily/-

PAS sokong tuntutan Bersih bukan Ambiga

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Nov: PAS menegaskan sokongan parti itu terhadap Datuk S Ambiga hanyalah terhadap isu yang dibawanya terutama mengenai tuntutan Bersih baru-baru ini, tetapi bukanlah sokongan ke atas batang tubuhnya.

Oleh itu, PAS tetap tidak bersetuju malah menentang keras pendirian Ambiga terhadap hak asasi manusia yang diperjuangkannya mengenai seksualiti termasuk sokongannya terhadap program Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh pihak-pihak terbabit baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, perkara itu perlu difahami oleh kesemua pihak dan tidak sepatutnya disalah anggap sejajar dengan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan untuk menegakkan Islam di tanah air.

"Dalam hubungan ini, saya sememangnya bersetuju dengan kenyataan dan pendirian Dewan Ulamak PAS yang menentang penganjuran Pesta Seksualiti Merdeka dan sebarang aktiviti seks luar tabie melibatkan lesbian dan gay," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan kontroversi Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu (Bebas), Zulkifli Noordin mengenai sokongan PAS ke atas Ambiga, sedangkan Ambiga jelas menyokong Pesta Seksualiti Merdeka atas alasan hak asasi manusia.

Menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Zulkifli ketika mencelah ucapannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, sejak dulu sokongan PAS terhadap seseorang bergantung kepada isu, bukan ke atas batang tubuh seseorang dan ia tidak terkecuali dengan Ambiga.

Menurutnya, sokongan PAS dalam isu Bersih yang dibawa oleh Ambiga sesuai dengan tuntutannya yang selaras dengan perjuangan PAS, tetapi dalam isu seksualiti yang membawa sokongan Ambiga terhadap Pesta Seksualiti Merdeka berbeza sama sekali.

"Dalam isu Pesta Seksualiti Merdeka, PAS tidak menyokong Ambiga kerana isu tersebut ternyata bertentangan dengan perjuangan PAS," tegasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam perkara perjuangan hak asasi manusia oleh pihak-pihak terbabit, ada perkara yang diterima oleh PAS dan ada pula yang ditolak oleh parti itu.

Katanya, penolakan PAS terhadap sesuatu perkara melibatkan hak asasi manusia itu berdasarkan sebab-sebab tertentu selaras dengan dasar perjuangannya dan parti itu tetap mempunyai hujah mengenai perkara itu.

Begitu juga, tegasnya, dengan penolakan PAS terhadap aktiviti seks luar tabie dan perzinaan tetap mempunyai hujahnya kerana ia diharamkan dalam Islam dan amalan itu bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan serta mengundang kemusnahan individu terbabit, keluarga dan masyarakat

Sungguhpun begitu, beliau menyarankan agar pihak-pihak terbabit mengambil langkah lunak terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti haram itu untuk menyedarkan mereka supaya kembali menjalani hidup dengan cara normal.

"Tapi kalau kita guna undang-undang sahaja ke atas mereka, takut nanti mereka akan menjalani aktiviti bawah tanah. Ini pasti lebih merumitkan untuk diatasi," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyarankan kerajaan agar turut menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan zina dikategorikan sebagai jenayah, setelah liwat diletakkan sebagai jenayah di bawah Seksyen 377.

Beliau juga mendesak kerajaan agar mengambil pendirian tegas mengutuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah Syria terhadap rakyatnya sehingga menyebabkan kematian ratusan ribu orang awam di negara itu.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (kiri) menegaskan bahawa dewan itu sama sekali tidak akan menyokong apa sahaja langkah yang bertentangan dengan nilai fitrah manusia.

Penganjuran program itu dilaporkan oleh akhbar perdana kelmarin dipromosikan melalui laman sesawang www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Kebebasan ada peraturannya, memang manusia diberikan kebebasan menyuarakan pandangan tetapi hendaklah di dalam kerangka yang dibenar dan tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia” kata beliau yang juga Adun Manir, Terengganu.

“Namun Dewan Ulamak PAS menyeru supaya golongan seperti ini diubati sehingga dapat hidup bersama masyarakat secara fitrah dan bukannya memberikan pengiktirafan yang tidak akan menyelesaikan masalah, Dewan Ulamak melihat dari sudut penyelesaian masalah iaitu golongan ini mesti diubati dan bukannya meneruskan masalah,” ujar beliau lagi.

harakahdaily/-

Kelantan serah poster ucapan Tun Razak di parlimen

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 4 Nov: Pemimpin Kerajaan Kelantan akan ke Parlimen pada 10 November ini untuk membawa poster ucapan pemimpin terdahulu termasuk Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak berhubung royalti petroleum bagi mengingati ulang tahun ucapan allahyarham pada 12 November 1975.

Kunjungan yang akan disertai anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Parlimen, Gegar termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa akan menyerahkan himpunan risalah Tun Abdul Razak serta beberapa pemimpin lain kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Husam pada sidang media semalam memberitahu, risalah tersebut mengandungi ucapan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Yaacob, Pengerusi Pertama Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain agar pimpinan kerajaan Persekutuan hari ini sedar Kelantan berhak mendapat royalti petroleum.

“Memandangkan hari Sabtu Parlimen tidak bersidang, jadi kita memilih hari yang paling hampir dengan tarikh tersebut, iaitu 10 November untuk menyerahkan risalah serta amanat ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang berhubung perkara itu,” ujarnya.

Husam berkata, risalah atau poster tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri tidak hadir.

“Sekiranya kedua-duanya tidak ada, risalah tersebut akan diserahkan kepada mana-mana menteri atau timbalannya,” ujarnya.

Sehubungan itu juga, menurutnya himpunan kata-kata rasmi pimpinan terdahulu yang terkandung dalam risalah itu akan diedarkan kepada orang ramai pada hari berkenaan.

Antara yang terkadung dalam risalah itu ucapan Tun Abdul Razak pada tahun 1975, ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang dalam sidang Dewan Rakyat ketika itu menyebut mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai sama ada kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Selain itu, risalah tersebut turut mengisi ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam yang menyokong kerajaan berhak mendapat hasil royalti petroleum.

harakahdaily/-

Ribuan piket seluruh negara bantah pindaan Akta Kerja

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Piket besar-besaran anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 bermula di seluruh negara bermula petang tadi.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 200 pekerja daripada pelbagai kesatuan sekerja dan juga parti-parti politik berhimpun di hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut.

Sejak kira-kira jam 5 petang, ahli kesatuan mula berhimpun.

Turut hadir, adalah beberapa pemimpin Pakatan dan PSM. Antara mereka ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Turut memberi sokongan adalah beberapa wakil rakyat, termasuk Wong Ho Leng dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Pekerja membentangkan hampir 10 kain rentang membantah pindaan akta kerja itu.

Mereka juga membawa plakad yang tertulis "Jangan Gadai Hak Pekerja" dan "Menteri Tipu Pekerja".

Mereka melaungkan "Henti Pindaan", "Turun Menteri", Tarik Balik Pindaan Akta" dan "Hidup MTUC" beberapa kali.

Tindakan itu menarik perhatian orang ramai yang memerhatikan piket itu dari kawasan yang berdekatan.

Di Pulau Pinang, hujan yang mencurah tidak menghalang kira-kira 1000 orang daripada berhimpun bagi menyatakan sokongan mereka kepada MTUC.

Pekerja berbaris di jalan utama menuju Prai dan juga membanwa sepanduk yang tertera mesej yang hampir sama.

Hujan di Pulau Pinang

Sebaik hujan yang mula reda 40 minit kemudian, peserta himpunan semakin ramai.

Hadir bersama adalah penyokong Pakatan Rakyat yang datang dengan payung.

Setiausaha MTUC Pulau Pinang, KVeeriah berkata pihak pekerja membidas pindaan yang disifatkan tidak bertanggungjawap terhadap pekerja.

Katanya, undang-undang tersebut akan mengesahkan pekerja kontrak yang akhirnya menyebabkan majikan daripada mengabaikan hak pekerja.

Di Melaka, seramai 400 orang berhimpun secara aman.

Perhimpunan yang diadakan bermula jam 5.15 petang tadi itu, turut mewakili seramai 426,000 pekerja di negeri ini.

Setiausaha Kesatuan Sekerja Malaysia negeri Melaka, Azlan Tajuddin berkata, pihak kerajaan seharusnya memandang berat terhadap tuntutan itu demi nasib rakyat negara ini pada masa depan.

“Kami meminta pindaan ini ditarik balik kerana ia bukan sahaja untuk masa depan kami tetapi masa depan anak cucu kita dikemudian hari,” katanya.

Lupa sumbangan swasta

Di Petaling Jaya, kira-kira 90 ahli MTUC mengadakan piket di depan Wisma Kesatuan Sekerja.

Piket ini diketuai setiausaha agung MTUC, Halim Mansor.

Ia bermula jam 5.10 petang tadi dengan peserta memegang sepanduk bagi menyatakan bantahan terhadap pindaan akta berkenaan.

Antara ungkapan yang tertera ialah "Martabatkan Pekerja Swasta", "Kerajaan Lupa Sumbangan Swasta" dan "Pindaan Akta Kerja 1955 Rampas Hak Pekerja."

Lokasi lain yang terbabit dengan demo meliputi Seksyen 15, Shah Alam; Teluk Panglima Garang; Jalan Barat, Petaling Jaya; Bukit Raja, Klang; Sungai Choh, Rawang; Lebuh Raya Persekutuan; Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur; Prai, Pulau Pinang; dan Jalan Bukit Beruang, Melaka.

Padang Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan; depan bangunan MTUC Negeri Perak; padang Masjid Negeri di Kuantan, Pahang; depan Pusat Dagangan Kota Bharu, Kelantan; Jalan Skudai, Johor; Mergong, Kedah; Kuching, Sarawak; serta jalan menuju ke Wisma Merdeka, Sabah.

Antara bantahan pindaan Akta Pekerjaan 1955 ini adalah mengenai kontraktor tenaga kerja yang diwujudkan dan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan apabila Akta Pekerjaan 1955 ini digubal dulu.

MTUC menegaskan dengan pindaan itu kedudukan pekerja menjadi tidak tetap dan tiada jaminan pekerjaan, selain mendapat kadar gaji yang sama tanpa kenaikan atau bonus, termasuk faedah lain.

malaysiakini/-