22 Mei 2012

Drogba akui akan tinggalkan Chelsea

1 Rejab 1433H. [MOD] -

PARIS: Bintang bola sepak Ivory Coast, Didier Drogba memberitahu rakan sepasukannya dalam Chelsea bahawa dia akan meninggalkan kelab yang baru menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama ini kerana tidak mahu hanya diletakkan di bangku simpanan.

Majalah bola sepak France Football hari ini melaporkan mengenai masa depan pemain berusia 34 tahun itu yang menjaringkan gol penyamaan di minit terakhir sebelum Chelsea menang dengan sepakan penalti terakhir yang diambilnya bagi menumpaskan Bayern Munich, Sabtu lalu.

Majalah itu memetik Drogba bahawa dia memberitahu akan meninggalkan Chelsea kepada rakannya-rakannya ketika sesi perarakan trofi di atas bas tanpa bumbung selepas hari menjulang piala berprestij itu.

“Kita (Drogba dan rakan sepasukan) tidak akan bersama musim depan," kata Drogba yang dipetik majalah itu.

“Oleh kerana saya ambil keputusan untuk keluar, saya mahi memberitahunya di depan mereka.

"Ketika itu sukar untuk menyatakannya. Mereka membuatkan saya menangis. Meskipun sudah tiga tahun saya mahu meninggalkan kelab ini, saya mengakui amat sukar untuk meninggalkan kelab ini.

“Namun saya tidak mahu hanya duduk di bangku pemain simpanan menonton rakan yang lain bermain ketika kelab ini akan mengumpulkan kami dengan pemain baru," katanya.
Media England mengaitkan Drogba akan menyertai kelab China, Shanghai Shenhua, yang mana bekas rakan sepasukannya dalam Chelsea, Nicolas Anelka menjadi pemain yang juga jurulatih di kelab itu. - AFP

Torres kecewa disisih, mahu bincang masa depan di Chelsea

1 Rejab 1433H. [MOD] -

PENYERANG Chelsea, Fernando Torres yang tidak berpuas hati dengan sikap pengurusan The Blues apabila beliau tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama final Liga Juara-juara mahu mengadakan perbincangan bersama kelab itu bagi menentukan masa depannya, yang didakwa samar sejak akhir-akhir ini.

Pada perlawanan itu, Torres sekadar dimasukkan sebagai pemain gantian, menggantikan Salomon Kalou ketika permainan berbaki enam minit.

Dalam satu kenyataan disiarkan BBC dan media Sepanyol, Torres dipetik berkata, keputusan pengurus sementara Chelsea, Roberto Di Matteo amat mengecewakan beliau sepanjang kariernya sebagai pemain.

"Bagi saya keputusan itu amat mengecewakan. Malah saya juga tidak berpuas hati dengan sikap Di Matteo yang tidak memilih saya antara lima pemain dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan itu.

"Saya merasakan cara layanan mereka terhadap saya dalam kelab itu sangat teruk," kata Torres.

Justeru itu katanya, perbincangan ini untuk menentukan nasibnya menjelang kempen baru musim depan bagi memastikan pengurusan tidak membelakangkan beliau untuk beraksi sebagai pemain kesebelasan utama.

"Saya mahukan kepastian. Musim depan saya mahu mainkan lebih banyak peranan terutama dalam perlawanan penting.

"Malah mereka juga perlu kotakan janji ketika memujuk saya untuk keluar dari Liverpool," tegas Torres.

Torres menyertai Chelsea dengan harga RM248 juta sekali gus menjadikannya sebagai pemain termahal di England.

Namun sejak menyarung jersri The Blues, Torres dilihat tidak beraksi cemerlang sehingga menjejaskan tempatnya dalam kesebelasan utama dalam skuad Chelsea.

Sinar Harian

BERSIH 3.0: Suhakam adakan siasatan awam

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengumumkan akan menjalankan siasatan awam berhubung dakwaan penggunaan kekerasan tidak sepatutnya oleh pihak polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0.

Dalam satu kenyataan, Suhakam berkata ia memutuskan untuk menjalankan siasatan awam tersebut setelah membuat pertimbangan yang serius.

Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi b Haji Abdul Majid dan Pesuruhajaya Detta Samen.

Manakala terma rujukan siasatan awam tersebut adalah:

1. Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas perhimpunan pada 28 April 2012;

2. Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan:

i.Bagaimana pelanggaran itu terjadi;
ii. Apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut; dan
iii.Individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.

3. Untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Ia adalah panel yang sama yang menjalankan siasatan awam terhadap BERSIH 2.0.

"Keputusan ini mengambil kira pemantauan Suruhanjaya semasa kejadian pada 28 April 2012 dan beberapa faktor lain yang berkaitan, termasuk penyerahan aduan, laporan dan memorandum daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional, serta ahli-ahli masyarakat sivil yang lain kepada Suruhanjaya berhubung dengan perkara itu, yang mana semua telah menggesa agar satu siasatan bebas dijalankan ke atas kejadian tersebut," Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam.

"Suruhanjaya ingin, tetapi tidak lagi boleh menunggu, pemakluman terma rujukan Panel Bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan kerana masih belum dimuktamadkan.

"Walau apapun siasatan yang akan dijalankan oleh Panel tersebut, adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya untuk menjalankan Siasatan Awam sepertimana mandat yang terkandung dalam Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

malaysiakini/-

Mogok lapar merebak ke Mesir

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Mogok lapar untuk menuntut hak dan keadilan yang diperjuangkan oleh tahanan Palestin kini telah merebak ke Mesir.

Seramai 141 individu di negara itu ditahan sejak dua minggu lalu, telah nekad mogok lapar kelmarin sebagai protes terhadap penahanan mereka dan kemungkinan untuk menghadapi dakwaan daripada pemerintah tentera.

Aktivis, Salma Abdel-Gelil berkata, kesemua tahanan itu akan meneruskan mogok lapar sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

“Mereka mahu dibebaskan dan tidak mahu dibicarakan di tribunal tentera. Lebih ramai tahanan akan menyertai mogok lapar selepas pusingan pertama pilihan raya presiden pada minggu ini,” menurutnya.

Mogok lapar tersebut turut disertai ratusan aktivis lain di luar penjara bersama salah seorang calon presiden, Khaled Ali yang juga menentang perbicaraan terhadap 300 tahanan itu.

Kumpulan aktivis tersebut turut menyatakan kebimbangan bahawa pemerintah tentera akan terus menggunakan tribunal tentera untuk membicarakan orang awam kerana ia didakwa menyekat perbezaan pendapat dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sinar Harian

Kes bunuh wanita Perancis: Kesan air mani pada tilam

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Ahli kimia, Nor Aidora Saedon, 39, yang juga saksi ketiga kes pembunuhan pelancong warga Perancis, Stephanie Foray memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa terdapat kesan darah dan air mani pada tilam yang diserahkan kepada jabatannya tahun lalu untuk ujian DNA.

Menurutnya, barangan lain yang dikemukakan termasuk bantal, baju lengan panjang, tilam kecil, selendang, paip air, tuala dan sebuah beg kain yang turut dikemukakan hanya terdapat kesan kotoran dipercayai darah.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib, pakar dalam forensik DNA itu berkata, sebanyak 36 barang dihantar ke Jabatan Kimia oleh Lans Koperal Mohd Nor Rahmat pada Ogos tahun lalu untuk dianalisis.

“Sebanyak 30 barang bukti diserahkan pada 12 Ogos manakala enam lagi dihantar tiga hari kemudian manakala satu resit dikeluarkan bagi semua barang itu sebelum semuanya disimpan dalam bilik sejuk,” katanya.

Nor Aidora hadir memberi keterangan pada perbicaraan Asni Omar, 37, yang didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman antara jam 8 malam, 10 Mei hingga jam 12 tengah hari, 12 Mei tahun lepas.

Beliau berkata, antara barang lain yang dikemukakan kepada jabatannya untuk dianalisis termasuk botol minuman keras jenama Malibu yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan bagaimanapun botol tersebut tidak terdapat kesan darah.

“Turut diserahkan beberapa barangan lain termasuk, berus gigi, pisau pencukur, pakaian dalam dan selipar,” katanya.

Nor Aidora berkata, dia menjalankan ujian profil DNA kepada barangan itu sebelum satu laporan dikemukakan kepada pihak polis.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Mariana Yahya manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib, Nor Azizah Mohamad dan Farahah Ahmad Nazri.

Tertuduh diwakili lima peguam, Mohammad Hisham Abdul Rahim, , Kamaruddin Ibrahim, Noor Adilah Zarian, Haranay Suraya dan Datuk Ng See Teong.

Perbicaraan kes tersebut akan disambung hari ini.

Sinar Harian

Pasangan tidak serik, dua kali dicekup khalwat

1 Rejab 1433H. [MOD] -

AMPANG - Sepasang kekasih yang tidak serik berkhalwat dan kes tangkapan mereka masih dibicarakan di Mahkamah Syariah sekali lagi dicekup oleh penguat kuasa agama di sebuah rumah, di Taman Chempaka pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, seorang perempuan berusia 22 tahun dan teman lelakinya berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, sepasukan anggota penguat kuasa mengetuk pintu rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit kemudian.

“Manakala teman wanitanya yang hanya berkemban berlari ke bilik dari ruang tamu untuk memakai pakaian.

“Kami menemui coli dan seluar pendek milik wanita itu di atas katil yang diletakkan di ruang tamu rumah sewa pasangan tersebut dan kondom di atas lantai.

Menurutnya, pasangan itu menyerahkan sijil nikah yang diragui berikutan tiada cop pengesahan dari pejabat agama.

“Lelaki yang sudah berkahwin itu melakukan kesalahan kerana berpoligami tanpa kebenaran dan sanggup bernikah bersama teman wanitanya di sempadan Thailand,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pasangan itu pernah ditangkap berkhalwat pada jam 1 pagi, tiga minggu lalu di kediaman sama.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

AS: Kami sedia pindah tahanan

1 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Tentera Amerika Syarikat sedia memindahkan tahanan di Guantanamo ke negara asal, jika mereka tidak lagi memberikan ancaman kepada Amerika Syarikat.

Jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Todd Breasseale berkata, kerajaan AS bersedia menerima jaminan daripada kerajaan sesebuah negara yang rakyatnya sedang ditahan di Guantanamo.

“Kami tidak merancang menahan seseorang individu itu lebih lama daripada diperlukan, tetapi kerajaan negara berkenaan perlu memberi jaminan mereka akan mengambil langkah sepatutnya jika rakyat mereka dipindah keluar daripada tahanan.

“Ini kerana kami faham ancaman yang diberikan tahanan-tahanan ini mungkin berubah seiring peredaran masa dan ancaman yang diberikan mereka boleh dikurangkan melalui program sesuai,” katanya dalam jawapan kepada Sinar Harian.

Breasseale berkata, Pentagon mempunyai mekanisme penilaian bagi memastikan AS hanya menahan mereka yang memberi ancaman kepada negara itu dan tidak boleh dipulihkan.

Bagaimanapun, Breasseale enggan menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan Mohd Farik Amin dan Mohd Nazir Lep dipindahkan kerana menurutnya, ia bercanggah dengan polisi tentera AS.

Pentagon turut menekankan tahanan Guantanamo ditahan di bawah Kebenaran Penggunaan Kuasa Tentera, seperti termaktub di bawah undang-undang antarabangsa semasa konflik bersenjata.

“Penahanan semasa perang telah lama diiktiraf sebagai sah di bawah undang-undang antarabangsa dan tahanan di Guantanamo adalah mereka yang berterusan memberi ancaman kepada kami.

“Dan kami akan terus menahan individu ini bagi memenuhi tanggung­jawab domestik dan antarabangsa AS,” katanya.

Menurut Breasseale, terdapat 169 tahanan yang masih berada di Guantanamo.

Sejak 2002, lebih 600 tahanan dipindah keluar dari Guantanamo selepas Amerika mendapat jaminan keselamatan dan layanan berperikemanusiaan daripada negara yang menerima mereka.

Agency

Maut dikelar depan ibu

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KLUANG - Seorang remaja bukan hanya maut dikelar sahabat baik, malah lebih tragis lagi apabila insiden itu berlaku depan mata ibunya sendiri.

Dalam kejadian itu, Nurul Amin Muhamed Ishak, 22, (gambar kecil) seorang buruh kasar, mati serta-merta di tempat kejadian di Jalan Sentosa di sini akibat pendarahan pada leher setelah dikelar dengan pisau.

Menurut ibunya, Saemah Mogeri, 43, sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, mangsa yang mesra dipanggil Abang mahu membawa dia bersemuka dengan dua sahabat baiknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden rumah mereka dipecah masuk minggu lalu.

“Dua sahabat baik Abang ceroboh rumah kami Selasa minggu lepas dan cuba mencabul kehormatan saya dan adik perempuannya. Disebabkan itu, Abang marah dan mahu bersemuka dengan mereka demi mempertahankan maruah kami.

“Abang berjanji bertemu dengan mereka di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) berdekatan dengan rumah jam 8.30 malam. Disebabkan jarak rumah kami dengan kompleks itu hanya 150 meter, arwah ajak saya pergi bersamanya,” katanya.

Saemah berkata, apabila dua sahabat baik anaknya tiba di lokasi yang dijanjikan dengan menaiki motor, Abang segera meminta penjelasan mengapa mereka tergamak melakukan perkara tersebut kepada keluarganya.

“Ketika arwah sedang bercakap, secara tiba-tiba salah seorang sahabat baiknya itu pergi ke motosikal lantas mengambil pisau sebelum meluru mengelar leher arwah dari depan.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tergamam dan mampu menjerit nama Abang. Ketika itu darah membuak-buak keluar daripada leher arwah.

“Saya hampir pitam melihat kejadian tidak diduga itu, namun masih sempat mendakap mangsa yang kemudian terkulai layu. Pakaian saya habis dibasahi darah arwah,” katanya.

Menurut Saemah, akibat panik, dua sahabat anaknya itu terus melarikan diri, manakala beberapa pemuda yang berada di dalam kompleks sukan berkenaan bergegas keluar sejurus mendengar jeritannya dan segera memanggil polis serta ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya akan memberi kenyataan rasmi dalam sidang media, hari ini.

Sinar Harian

Rais Jangan Ukur Panjang Saja, Lilit Pun Kena Ukur Juga

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Nampaknya si pembakar jambatan, Rais Yatim terus mencari alasan untuk menolak Bersih 3.0 dan cuba memperkecil-kecilkannya. Bukan saja untuk Bersih 3.0, Bersih 2 dulu pun beliau telah membuat arahan kepada pegawainya supaya membuat laporan negatif. Salah satu aspek ianya dari segi jumlah yang hadir pada himpunan berkenaan.

Kalau tidak silap (ada saya catat dalam blog) arahan diberikan Rais seperti mana didedahkan salah seorang pegawainya, Rais arah supaya laporan dibuat senegatif yang boleh. Angka kehadiran Bersih 2 yang disebut ketika itu sekitar 6,000 sahaja, walhal dalam hitungan rawak saya yang hadir sekitar 65,000 walaupun ada pihak mendakwa lebih 100,000.


Rais Jantan@Yatim
Kali ini hal yang sama berlaku. Rais sekali lagi menumpukan kepada jumlah yang hadir. Kali ini angka yang dikutip agak besar berbanding dengan Bersih 2 iaitu sebanyak 27,270 orang. Angka ini seperti spesifik dan tulen. Sumber itu dikutip Rais dari laporan Bernama? Apa itu Bernama? Iya adalah agensi kerajaan. Bernama maksudnya "Berita Nasional Malaysia", agensi rasmi kerajaan.
Untuk memperkuatkan hujah itu Rais memadankan dengan angka disebut oleh BBC iaitu sebanyak 25,000. Mungkin Rais meminta Bernama memberi angka saguhati kepada Bersih sebanyak 2,270 orang. Mungkin tambahan angka itu Rais mengutipnya dari Utusan Malaysia.

Menurut Rais angka itu lebih tepat daripada angka yang diperbesar-besarkan Anwar Ibrahim di luar negara. Menurut gemburan Anwar lebih 300,000 yang hadir pada himpunan Bersih 3.0. Rais mendakwa angka disebut itu dibuat melalui sistem blok fotografi dan bukan agak-agakan minda sahaja. Iya lebih tepat. Saya nak tanya apakah atau gambar manakah yang diukur dan apakah ia dibuat dari semua dimensi atau hanya di Jalan Raja saja. Rais kalau benar dan jujur jangan ukur dari sekeping gambar saja tetapi semua gambar. Dalam hal ini kalau hendak ukur jangan panjang saja, tetapi lilit pun kena ukur juga.

Biarlah Rais hendak kata apa dan memberi kredit berapa jumlah yang hadir. Tidak kisah. Dalam hal ini mungkin jumlah kehadiran tidak berapa penting, tetapi impak dari Bersih itu yang penting. Sampai hari ini topik Bersih belum dilupakan. Di mana-mana orang bercakap dan kejayaan itu menyebabkan ada yang mahu agar diadakan Bersih 4.0. Kalau Berih gagal kenapa kerajaan terus sibuk sampai menubuh panel penyiasat khas untuk menyiasat Bersih. Siasatan itu lebih terarah untuk mengambil tindakan ke atas penganjur Bersih.

Jika Bersih 3.0 tidak ada kesan dan membimbangkan UBN untuk apa ia disiasat. Tujuan siasatan ialah untuk menyekat acara itu di masa akan datang. Rakyat umum tahu akan maksud dan tujuan siasatan ini, apakah Rais bebal mengenainya. Tidak... kerana itu beliau cuba negatifkan Bersih dan cuba memberi gambaran dari berbagai sudut bahawa Bersih gagal.

Begitu juga dengan tukang kempen Umno sudah kehabisan akal sehingga diberi akal itu oleh Rais dengan memberi angka yang 'sebenar' yang menghadiri Bersih untuk berdepan dengan orang ramai. Usaha itu nampaknya gagal dan orang awam tidak mempercayai. Sebabnya mudah, gambaran akan jumlah kehadiran itu diberikan oleh tv dan media penjilat bontot, telah dipadam ataupun diperbetulkan oleh foto dan you tube bebas yang kini berselerakan dan tersebar luas dalam internet. Wartawan tidak bertauliah memberi laporan lebih jelas dan adil mengenai Bersih berbanding dengan wartawan yang menggantungkan kad media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia.

Inilah bahaya media baru kerana ia tidak dapat menyembunyikan sesuatu yang cuba disorot atau dipaling pentingkan cerita sebenar. Media baru akan menjawab pembohongan dan penipuan yang cuba dilakukan orang seperti Rais Yatim itu. Media baru tidak tolol dan 'bundak' seperti media penjilat buntut kerana media baru tidak ada tuan atau pun orang yang mengawal dan memegang tangan mereka dari menyatakan yang benar.

Sedikit tip untuk Rais kalau Umno masih terus mahu menipu rakyat dengan manipulasi berita oleh media usang, tutuplah kebebasan media baru ini. Selagi ia dibuka maka selama itulah Rais akan kehilangan akal, idea dan akan lenguh mulut untuk memusing cerita kepada rakyat. Cakap-cakap Rais hanya menghabiskan air liur saja.

Seperkara lagi kenapa Rais beriya-iya untuk membilang para himpunan Bersih. Kenapa tidak dikira juga berapa ramai yang hadir pada sambutan hari ulang tahun Umno 11 Mei lalu. Rais sepatutnya membetulkan angka di majlis itu bukannya Bersih. Berapakah yang telah di skan oleh Rais berdasarkan blok fotografi di stadium Bukit Jalil itu. Apakah kehadirannya sama ramai dengan penonton yang memenuhi stadium semasa perlawanan bola antara Kelantan dengan Same Darby?

Rasanya lebih baik kalau Rais memberi figure di stadium itu daripada memperkecilkan figure di himpunan Bersih. Tidak ada guna juga Rais menghitung jumlah mereka yang datang hendak duduk dan bantah tetapi tidak menghitung sama yang datang di stadium Bukit Jalil yang diangkut dengan bas dan lori termasuk juga kanak-kanak yang belum khatan. Ataupun kehadiran di Bukit Jalil tempoh hari tidak payah menggunakan apa-apa sistem untuk membilangnya kerana ia boleh dibilang dengan menggunakan kedua belah tangan dan kaki Rais serta memimjam sebelah tangan Mahathir Mohamad saja?

Ternyata tindakan Rais itu menggambarkan tindakan orang yang gelisah, yang resah dan yang bimbang. Kalau Umno khasnya Rais berada dalam keadaan selesa, beliau tidak kalut dengan jumlah himpunan Bersih. Beliau tidak payah kutip angka-angka dari laporan agensi yang dia terlebih dahulu mengajar melaporkan demikian. Dalam hal ini Rais menipu dirinya sendiri dua kali dalam satu masa. Apakah sifat itu sebagai bijaksana atau bodoh?

Apabila Rais terus bermain kata-kata dan cuba merendahkan Bersih dan mengurangkan rasa cemas rakyat dengan mengecilkan angka itu maka jelas sekali Umno ketakutan dan kehilangan akal untuk menjawab kepada rakyat. Paling jelas lagi yang Umno takut gara-gara Bersih yang berjaya dan gara-gara himpunan di Bukit Jalil tidak berjaya menyebabkan ketua Rais, Ha Najib Razak masih terkapai-kapai sama ada hendak membubar Parlimen atau pun tidak.

Buktinya... kalau Bersih tidak berkesan masakan akan ada senanam tungging punggung di hadapan rumah Ambiga oleh Melayu belum tamadun dan juga masakan ada orang yang bodoh berniaga burger di rumah Ambiga. Fahamlah kita kenapa orang Melayu rugi dalam perniagaan kerana mereka menjalankan aktiviti perniagaan sekecil dan mudah burger pun di tempat yang salah. Ertinya kerugian yang didakwa sesetengah peniaga di Masjid India semasa Bersih 3.0 dulu bukan kerana adanya demonstrasi itu tetapi kerana kebodohan mereka dalam perniagaan.

Semoga esok atau lusa Rais akan mengeluarkan perangkaan mengenai jumlah kerusi yang bakal diperolehi UBN dalam pilihan raya akan datang dan berapa buah negerikah yang akan dapat dimenangi UBN. Semoga... Bukankah begitu Mat, Mat mana? Mat Maslan lah siapa lagi. [wm.kl.6:47 am 22/05/12]

Harakah Daily

Bekas Timbalan Residen Miri sertai PAS

1 Rejab 1433H. [MOD] -

MIRI: Sekarang ini adalah musim untuk golongan professional, selebriti, dan juga bekas pengawai kerajaan menyertai PAS.

Kalau di Perak bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai PAS dan di Miri Sarawak pula seorang bekas pegawai kerajaan merangkap bekas Timbalan Residen Miri juga telah menyertai PAS baru-baru ini.

Sempena lawatan Pimpinan Tertinggi PAS Pusat ke Sarawak, bekas Timbalan Residen Miri, Haji Johari Bujang telah menyerahkan borang keahlian kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada Majlis Hi-Tea di rumahnya di Luak baru-baru ini.

Beliau semasa Pilihanraya DUN Sarawak yang lepas bertanding di DUN Lambir atas tiket SNAP namun beliau tidak menjadi ahli SNAP.

Dalam ucapannya, Johari Bujang menyebut bahawa sebelum ini beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik walaupun sebelum ini pernah bertanding di DUN Lambir dalam Pilihanraya DUN Sarawak tahun lepas atas tiket Parti SNAP.

Menurutnya lagi, beliau membuat keputusan untuk menjadi ahli PAS setelah sedar dan yakin akan prinsip perjuangan PAS serta begitu tertarik dengan kseungguhan PAS khususnya PAS Kawasan Miri dalam usaha membawa perubahan serta pembelaan kepada nasib rakyat.

Beliau ingin bersama-sama berada di dalam PAS bagi menyumbang secara langsung kepada perjuangan rakyat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, Ketua Penerangan PAS Sarawak M Azwani, Ketua Pemuda PAS Sarawak M Arifiriazul Paijo dan setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri, Yeo Kian Leong.

Acara sederhana tersebut menunjukkan yang PAS telah diterima oleh semua golongan masyarakat.

Pada sebelah malam, Datuk Mahfuz Omar bersama rombongan PAS Miri melawat rumah panjang Empading di Sg Bakas.

Penduduk di rumah panjang tersebut menyambut dengan baik dan memberi sambutan hangat kunjungan rombongan PAS pada malam itu.

PAS Miri memberi sedikit buah tangan sebagai tanda hormat atas kunjungan ke rumah panjang tersebut dan juga memberi penerangan tentang kunjungan serta matlamat perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat.

Dalam rumah panjang tersebut terdapat 2 orang OKU (Orang Kurang Upaya) salah seorang dari OKU tersebut, Idai ak Entebang mengadu kepada PAS bahawa beliau tidak menerima BR1M, E-Kasih dan juga bantuan dari kebajikan masyarakat.
"Kita minta pihak yang berkenaan agar dapat membantu Idai ak Entebang tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik kerana beliau juga golongan yang kurang upaya yang sepatutnya dapat menerima sumbangan dari wang pembayar cukai.

"Kita ingin mengingatkan pihak yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan masyarakat agar dapat menjalankan tugas mereka dengan adil untuk semua, jangan disebabkan mereka ini tidak sehaluan dengan fahaman kita maka kita meminggirkan mereka ini tanpa balas kasihan," kata Jofri Jaraiee.

Harakah Daily

Abby Abadi Bukan Nak Sertai Pas

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Abby Abadi, pelakon terkenal mengesahkan bahawa kemunculannya di Pentas Himpunan Pemuda Islam Rhu Rendang, di Pantai Rhu Muda, Marang beberapa hari lalu bukan bermakna dia menyertai Pas.

Melalui akaun twitter miliknya, Abby meluahkan rasa kecewa dengan pihak yang membuat cerita dan menyebarkan kononnya dia akan menyertai parti PAS tidak lama lagi.

Abby menafikan pekara itu dengan sekeras-kerasnya.

Sebalik, Abby menjelaskan, dia telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai hijrah dirinya ke arah yang lebih baik.

Twitter di atas adalah Twitter Abby yang menjelaskan dia tidak akan menyertai PAS.

Apapun tahniah kerana Abby berani ke pentas Pas.

Harakah Daily

Ikuti kisah bagaimana 4 artis ini mula bertudung

1 Rejab 1433H. [MOD] -

1. Catriona Ross..

~Semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai lalu.

Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.

Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.

"Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah.

"Sepanjang perjalanan, saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Terharu dan rasa istimewa apabila Allah buka pintu hati saya. Memang sebelum itu pernah terfikir untuk menutup aurat tetapi teragak-agak untuk melaksanakannya.

"Esoknya di rumah, saya gelisah dan rasa serba tak kena. Asyik terfikir untuk memakai tudung dan malamnya saya tidak boleh tidur. Kebetulan pula suami tiada di rumah kerana bertugas di luar Kuala Lumpur, jadi tiada tempat untuk saya mengadu," katanya sambil menghela nafas panjang.

Pagi Jumaat (16 Julai lalu), berjam-jam pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sephia ini menyelongkar almari mencari hijab namun kecewa apabila yang ada hanya selendang.

Dia kemudian menghubungi teman karibnya untuk meminjam tudung. Terkejut dengan permintaan itu, temannya mengajak Cat ke butik untuk belikan beberapa helai tudung. Selesai membuat pembayaran, hijab yang dihadiahkan temannya itu terus disarungkan di kepala.

"Sejak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung Insya-Allah saya akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Itu prinsip yang saya pegang sejak kecil.
"Apabila pulang ke rumah, suami menyambut saya di muka pintu dan dia terkejut dengan perubahan itu. Dia bertanya adakah saya benar-benar serius. Selepas berkongsi apa yang saya alami dalam tempoh 48 jam itu, dia ternyata gembira dengan keputusan saya.

"Banyak nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya dan apa yang saya mohon selama ini dalam doa dimakbulkan. Masih segar dalam ingatan, selepas terbabit dalam nahas jalan raya, saya tidak putus-putus berdoa supaya boleh berjalan semula dan doa itu Allah perkenankan.

"Kemudian, ada suara sumbang bercakap saya tak boleh hamil kerana mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu tetapi Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah saya bunting pelamin. Jadi, nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan?

"Saya nekad bertudung kerana tidak mahu terus menerus buta hati. Jiwa saya bagai disiat-siat ketika mendapat hidayah dalam butik itu. Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan itu adalah seru daripada Allah.
"Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham," kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.

2. Irma Hasmie..

~“Alhamdulillah, sudah sampai masa untuk saya bertudung, sukar nak jelaskan mengapa saya ambil keputusan secepat ini, tetapi ini semua kerja Tuhan, dan bila sudah sampai seru-Nya, saya hanya menerima.

“Kalau boleh, saya tidak mahu cerita saya bertudung terlalu diberi perhatian sebab takut disalahertikan niat sebenarnya, walaubagaimanapun saya yakin lambat laun semua orang akan mengetahui juga.

“Saya bersyukur dan gembira dengan kehidupan saya sekarang, saya lebih tenang dan lebih banyak belajar. Tiada siapa yang memaksa saya tampil begini, semuanya berlaku secara natural. Alhamdulillah, setelah dua minggu pulang ke Malaysia, ramai yang menerima baik niat saya ini,” jelas Irma akui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia Irma. Irma akui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia

Berdoa di Mekah
Mengerjakan umrah bersama ibu dan adiknya, jelas Irma, dia mengambil kesempatan itu untuk berdoa sebanyak yang mungkin.

“Satu perkataan yang dapat saya gambarkan tentang Mekah adalah Subhanallah. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci ini.

“Memang seronok berada di sana, saya dapat lihat sendiri betapa hebat dan ajaibnya ciptaan Tuhan. Saya memang tidak mahu melepaskan peluang untuk berdoa, macam-macam doa saya minta.

“Slma 29 tahun saya hidup dibumi ini, saya mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan, diberi rezeki dan jodoh yang baik,” jelas Irma yang turut memohon ditenangkan hati setiap masa.

3. Abby Abadi...

~“Takut juga kalau terjadi senario sekejap pakai dan sekejap buka tudung. Tetapi alhamdulillah, dua hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur, di depan Kaabah, saya nekad untuk bertudung sekali gus berdoa semoga Tuhan tetapkan iman saya untuk kekal begini buat selama-lamanya. Segala-galanya dipermudahkan.

“Saya juga berharap perubahan ini tidak akan menjadi masalah atau beban kepada orang sekeliling.Apatah lagi hal bertudung ini sering diperkotak-katikkan, terutama apabila ia membabitkan individu yang memilih kerjaya seni untuk mencari rezeki,” katanya sambil memberitahu, sekalipun sudah bertudung, kerjaya seni tetap berjalan seperti sedia kala.

Mengenai kesempatan indah menunaikan umrah buat kali pertama itu, ibu kepada Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, ini bersyukur kerana kembara dan ibadatnya di sana berjalan lancar. Bahkan secara tidak langsung, Abby ke sana seperti membawa hatinya yang lara.
Kata Abby, jika diikutkan, sebelum ini dia memang memasang azam untuk ke Tanah Suci, tetapi mungkin serunya belum tiba ketika itu.Ada saja halangan yang tiba, termasuklah visa yang dimohon tidak dapat diluluskan

.“Namun syukurlah, kali pertama menjadi tetamuNya, kesihatan saya di sana senantiasa baik. Saya juga sempat menunaikan umrah sebanyak tiga kali, mencium batu Hajarul Aswad dua kali, dapat menyentuh Kaabah, memasuki Raudhah dan banyak lagi. Perasaan berada di sana juga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan saya teruja akhirnya digerakkan juga ke Tanah Suci Makkah selain Madinah
.
“Saya juga tak terkilan sekalipun sebelum ke sana, tawaran berlakon datang mencanak.Hampir lima ke enam tawaran berlakon saya terima, tetapi terpaksa saya tolak secara baik kerana pihak produksi tidak dapat menunggu. Tetapi saya tak ralat dan percaya rezeki tetap ada, insya-Allah.

4. Diana Amir...

~“Saya ambil keputusan ini kerana saya sudah beberapa kali sejak tiga bulan yang lalu diberi petanda dan mimpi buruk tentang hari kiamat.

“Dan mimpi-mimpi tersebut juga mengingatkan saya tentang kematian yang semakin hampir dan perkara itu sering membelenggu hidup saya beberapa bulan kebelakangan ini,”

“Saya tak tahu kenapa perkara itu berlaku kepada saya, mungkin Allah ingin memberi petunjuk dan saya menceritakan semuanya kepada seorang rakan. “Namun selepas itu rakan saya yang berhijrah lebih awal daripada saya,”

“Saya tahu saya masih lemah terutamanya mengenai hal-hal agama, disebabkan itu saya ambil peluang untuk bertemu dengan Irma Hasmie untuk mendapatkan nasihat dia.

“Ketika buat keputusan tersebut saya terus berjumpa David Teo untuk meminta pendapat dia tentang lakonan dan kerjaya saya selepas ini, “Biarpun dia tidak menjanjikan apa-apa, namun saya yakin rezeki adalah ketentuan Allah,”

“Irma juga membawa saya berjumpa dengan Wardina Saffiyah untuk mendapatkan tunjuk ajar dan sokongan mereka,”


Alhamdulillah... ^_^ /FB Ana

Harakah Daily

Kata mansuh tapi tahanan tertakluk perintah ISA

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Aneh tapi benar! Biarpun ISA dimansuhkan, tahanan di bawah akta itu masih tertakluk kepada perintah yang diputuskan sebelum akta itu dimansuhkan.

Kuasa untuk membebaskan tahanan masih tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri seperti yang termaktub dalam Fasal 32 bahagian Pemansuhan dan Kecualian Akta Kesalahan Keselamatan 2012 yang baru.

Perkara ini jugalah yang dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu meskipun ISA dimansuhkan, Rang Undang-Undang baru tersebut tidak menjejaskan penahanan orang yang ditahan, kecuali perintah itu dibatalkan Menteri Dalam Negeri.

Berasaskan kuasa seorang menteri inilah, enam tahanan ISA bertindak melancarkan mogok lapar bermula 12 Mei lalu, dan berakhir tujuh hari selepas itu, 18 Mei 2012.

Tindakan tersebut dilakukan bagi menuntut pembebasan segera mereka dari Kem Tahanan Kamunting setelah ISA dimansuhkan.

Sehubungan itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak agar Menteri Dalam Negeri membebaskan semua tahanan ISA dengan segera tanpa syarat.

Tegas mereka, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien bertanggungjawab menyebabkan mangsa ditahan tanpa hak membela diri dan dikurung di Kamunting sehingga memakan masa yang begitu lama.

"Beliau juga ‘berkuasa’ dan berautoriti penuh untuk membatalkan sebarang perintah arahan di bawah ISA dan membebaskan tahanan bila-bila masa tanpa menunggu perintah tersebut tamat.

"Walaupun perintah tahanan boleh diteruskan tetapi bukankah lebih berperikemanusiaan dan menghormati hak asasi manusia dengan mereka dibebaskan apabila ISA dimansuhkan?" soal Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Penyelaras Suaram, Syukri Razab dalam kenyataan bersama kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, GMI dan Suaram turut mengulangi tuntutan agar kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi untuk menyemak semula kes penahanan ISA.

Suruhanjaya itu, tambah mereka perlu membawa pihak yang terlibat dengan penganiayaan dan penderaan ke muka pengadilan.

Harakah Daily

FGVH: Kerajaan jangan campur urusan S'jaya Sekuriti

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) memberi amaran kepada kerajaan agar tidak campur tangan dalam urusan Suruhanjaya Sekuriti mengendalikan isu Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, Anak tidak teragak-agak untuk mengheret Suruhanjaya Sekuriti ke mahkamah sekiranya badan itu didapati "dipaksa mengikut telunjuk perdana menteri".

Anak sebelum ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti berhubung borang tawaran pinjaman bank yang diedarkan kepada peneroka sedangkan badan itu belum meluluskan “Prospektus Penyenaraian FGVH'.

"Biarlah Suruhanjaya Sekuriti membuat pertimbangan secara profesional, berdasarkan bukti dan hujah yang dikemukakan.

"Kami beri amaran, kerajaan khususnya perdana menteri jangan campur tangan dalam dalam urusan suruhanjaya sekuriti.

"Kami tak teragak-agak mengheret Suruhanjaya Sekuriti ke mahkamah jika 'dipaksa ikut telunjuk perdana menteri," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau mendakwa pihaknya mendapat maklumat wujudnya 'tangan ghaib' yang cuba mempengaruhi keputusan Suruhanjaya Sekuriti berhubung borang pinjaman pembelian saham FGVh oleh tujuh bank yang terlibat.

Anak dalam pada itu akan menyerahkan memorandum kepada Bank Negara Rabu ini bagi mendesak Bank Negara menarik balik borang tawaran saham yang diedarkan kepada peneroka.

"Kita mohon perhatian serius supaya borang-borang yang dikeluarkan oleh tujuh bank tersebut dapat ditarik balik serta merta," katanya.

Katanya, borang tersebut seolah-olah ingin menipu peneroka apabila dikeluarkan dalam Bahasa Inggeris dan tidak difahami peneroka.

Harakah Daily

Nazmi ikat kontrak kelab Portugal hingga 2015

1 Rejab 1433H. [MOD] -

PEMAIN bola sepak negara, Nazmi Faiz Mansor, 17, dilaporkan telah menandatangani kontrak bersama kelab Portugal, Beira-Mar sehingga Jun 2015.

Nazmi Faiz melalui Twiter rasminya, NazmiFaiz2112 berkata:

“Insya-Allah saya akan melalukan yang terbaik dan saya akan menjadikan rakyat Malaysia bangga dan syukur alhamdulillah... saya mahu ucapkan terima kasih kepada keluarga dan peminat-peminat saya yang terus menyokong saya."

Nazmi Faiz sebelum ini bersama empat pemain dari negara lain menjalani ujian pemilihan sebelum dipilih sebagai pemain untuk kelab liga divisyen satu itu.

Sinar Harian