22 Mei 2012

Kata mansuh tapi tahanan tertakluk perintah ISA

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Aneh tapi benar! Biarpun ISA dimansuhkan, tahanan di bawah akta itu masih tertakluk kepada perintah yang diputuskan sebelum akta itu dimansuhkan.

Kuasa untuk membebaskan tahanan masih tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri seperti yang termaktub dalam Fasal 32 bahagian Pemansuhan dan Kecualian Akta Kesalahan Keselamatan 2012 yang baru.

Perkara ini jugalah yang dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu meskipun ISA dimansuhkan, Rang Undang-Undang baru tersebut tidak menjejaskan penahanan orang yang ditahan, kecuali perintah itu dibatalkan Menteri Dalam Negeri.

Berasaskan kuasa seorang menteri inilah, enam tahanan ISA bertindak melancarkan mogok lapar bermula 12 Mei lalu, dan berakhir tujuh hari selepas itu, 18 Mei 2012.

Tindakan tersebut dilakukan bagi menuntut pembebasan segera mereka dari Kem Tahanan Kamunting setelah ISA dimansuhkan.

Sehubungan itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak agar Menteri Dalam Negeri membebaskan semua tahanan ISA dengan segera tanpa syarat.

Tegas mereka, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien bertanggungjawab menyebabkan mangsa ditahan tanpa hak membela diri dan dikurung di Kamunting sehingga memakan masa yang begitu lama.

"Beliau juga ‘berkuasa’ dan berautoriti penuh untuk membatalkan sebarang perintah arahan di bawah ISA dan membebaskan tahanan bila-bila masa tanpa menunggu perintah tersebut tamat.

"Walaupun perintah tahanan boleh diteruskan tetapi bukankah lebih berperikemanusiaan dan menghormati hak asasi manusia dengan mereka dibebaskan apabila ISA dimansuhkan?" soal Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Penyelaras Suaram, Syukri Razab dalam kenyataan bersama kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, GMI dan Suaram turut mengulangi tuntutan agar kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi untuk menyemak semula kes penahanan ISA.

Suruhanjaya itu, tambah mereka perlu membawa pihak yang terlibat dengan penganiayaan dan penderaan ke muka pengadilan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: