22 Mei 2012

Rampas dadah hampir RM1j

1 Rejab 1433H. [MOD] -

TEMERLOH - Polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM800,000 dalam satu serbuan dilakukan pada jam 3.30 petang kelmarin di sebuah rumah di Jalan Semantan Indah 2, Taman Semantan Indah, Mentakab.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, dalam serbuan hasil maklumat awam itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan menjumpai beg hitam di atas lantai dalam sebuah bilik.

Menurutnya, setelah pemeriksaan rapi, polis menjumpai satu paket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.78 gram serta paket plastik ketulan daun kering disyaki ganja seberat 0.68 gram.

“Semua dadah dianggarkan bernilai RM800,000. Polis turut menjumpai sepucuk pistol automatik tiruan bersama dua bungkusan peluru besi tiruan,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohd Nor berkata, polis turut merampas satu botol kaca diubah suai sebagai alat menghisap dadah dan RM2,560 yang disyaki hasil jualan dadah.

Menurutnya, ujian saringan awal ke atas lelaki yang beralamat di Jementeh, Johor itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis menahan lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: