22 Mei 2012

Jus bernilai RM80,000 dirampas

1 Rejab 1433H. [MOD] -

DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Dungun menyerbu sebuah premis perniagaan dekat sini kerana disyaki menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.

Ketua Cawangan KPDNKK Dungun, Ahmad Mahmood berkata, serbuan kira-kira jam 3 petang oleh sekumpulan pegawai KPDNKK itu dilakukan pihaknya berikutan satu aduan mengatakan premis berkenaan menjadi pusat aktiviti perniagaan jualan langsung satu produk kesihatan tanpa menggunakan lesen jualan langsung yang sah.

Ahmad berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui 80 kotak berisi beberapa botol produk kesihatan ‘jus delima’ yang dikatakan menjadi produk utama aktiviti terbabit.

“Kita terpaksa merampas semua produk tersebut untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah.

“Jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai hampir RM80,000 pada harga pasa-ran,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai operasi terbabit dekat sini.

Menurut Ahmad, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung 1993, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: