22 Mei 2012

Pondok dalam kebun jadi port jual dadah

1 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA BERANG – Seorang lelaki berumur 42 tahun dari Kampung Kuala Menjing menjadikan pondok dalam kebun getah sebagai ‘port’ urus niaga pengedaran dadah.

Bagaimanapun, kegiatan itu mengundang padah apabila dia ditangkap polis ketika leka menunggu pelanggan dalam serbuan Ops Tapis Narkotik jam 5.30 pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, ketika serbuan, suspek yang dikenali dengan panggilan Apin itu bersendirian di kebun getah milik keluarga lelaki berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek berjaya menemui satu bungkusan plastik berwarna hijau cerah dalam poket sebelah kanan seluar mengandungi tujuh tiub straw panjang diikat dengan gelang getah biru.

“Setiap satu straw panjang tersebut berisi 10 biji pil merah disyaki dadah jenis pil kuda,” katanya di IPD Hulu Terengganu, semalam.

Mohd Rosli berkata, pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati dalam bungkusan plastik tersebut turut terdapat satu bungkusan plastik lut sinar berisi 27 tiub straw pendek yang setiap satunya berisi satu biji pil warna merah juga disyaki dadah.

“Jumlah keseluruhan pil berwarna merah yang ditemui adalah 97 biji dengan angga-ran nilai berjumlah hampir RM3,000.

“Kesemua barang kes dirampas dan suspek juga akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek yang masih bujang dan bekerja sendiri itu juga positif dadah.

Dia dipercayai mulai terlibat dengan kegiatan pe-ngedaran dadah kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd Rosli berkata, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak kurang dua tahun penjara tetapi tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan tiga hingga sembilan kali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: