28 September 2012

Penyelam tanda ikan jerung paus di Galapagos

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



KEPULAUAN GALAPAGOS, Equador – Pihak Taman Negara Galapagos, Yayasan Charles Darwin dan Universiti California melaksanakan operasi penandaan ikan paus jerung di sekitar kepulauan ini.
Beberapa penyelam daripada tiga organisasi tersebut melekatkan penanda elektronik ke sirip spesies ikan terbesar di dunia itu.

Penanda elektronik tersebut dihubungkan dengan sebuah satelit bagi memudahkan lokasi ikan tersebut dikesan.

Projek berkenaan bertujuan untuk memudahkan saintis-saintis memahami proses migrasi spesies itu secara lebih mendalam pada peringkat tempatan, serantau dan global. 

Kepulauan Galapagos yang merupakan milik Equador terletak di Lautan Pasifik timur, sekitar 972 kilometer ke barat pantai negara berkenaan di rantau Amerika Selatan. – Agensi

Penipuan Pilihanraya Semakin Parah - SAMM Desak Bubarkan SPR Sebelum Bubar Parlimen

Nama pelik abjad istimewa 'apostrophe' 
12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) terus membongkar sebuah lagi penipuan dan persediaan untuk menipu secara besar-besaran oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 
Unit Pengesan Penipuan SPR (UPPSPR) sebuah sayap SAMM yang ditubuhkan dalam Rapat SAMM Kebangsaan yang lalu telah berjaya mengesan satu perkembangan tidak sihat telah diusahakan oleh jabatan-jabatan kerajaan untuk menutup kerja kotor SPR yang bertujuan mengekalkan kuasa regim Barisan Nasional. 
Berikut adalah penemuan baru yang berkaitan, membuktikan SPR bukan sahaja tidak melaksanakan salah satu daripada lapan tuntutan BERSIH iaitu membersihkan senarai pengundi, malah SPR didapati berusaha lebih gigih untuk memastikan regim terus berkuasa apabila berganding bahu dengan JPN;
1. Nama pelik dalam carian senarai pengundi yang tertulis hanya sebuah abjad istimewa 'apostrophe' telah ditemui selain daripada ribuan nama pelik yang didedahkan sebelum ini, tidak lagi boleh diusul periksa dalam sistem carian kad pengenalan dalam laman web JPN. Lihat keratan di bawah untuk kes terbaru nama abjad istimewa 'apostrophe' yang dikesan dalam sistem carian SPR;
2. Cubaan UPPSPR untuk mendapatkan nama sebenar pemilik no kad pengenalan '781220135703' yang juga penama abjad istimewa 'apostrophe', dalam laman web yang disediakan JPN menemui jalan buntu apabila laman asal sistem pencarian telah diubah. Sistem carian kad pengenalan sebelum ini yang beralamat URL "http://www.jpn.gov.my/semakic/" - memaparkan nama dan status apabila dimasukkan nombor kad pengenalan tetapi URL laman tersebut gagal ditembus. Lihat contoh carian di bawah, ia adalah carian pada bulan Ogos 2011 ketika menemui nama pelik yang mempunyai 2 nombor kad pengenalan;
Sistem carian yang lama mempunyai ruangan nama
Alamat URL sistem carian yang lama gagal ditembus

3. Namun demikian, UPPSPR mendapati JPN telah menukar sistem carian baru di alamat URL "http://semakan.jpn.gov.my/semak_kpt/" yang tidak memaparkan nama pemilik kad pengenalan setelah nombor KP dimasukkan. Perubahan yang dilakukan JPN seolah-olah dirancang untuk menggagalkan sebarang usaha untuk mengesan penipuan SPR. Ia jelas satu langkah ke belakang apabila saki baki ketelusan sebelum ini dinafikan sama sekali. Lihat laman yang diperbaharui dalam gambar di bawah;
Laman baru, apabila dimasukkan nombor IC, hanya tertulis status permohonan
4. Perkembangan ini sangat membimbangkan selain menggambarkan sebuah kerjasama hebat telah terjalin di antara SPR dan JPN untuk mengambus penipuan pilihanraya. 
Justeru itu, SAMM mendesak agar JPN tampil menjawab apakah alasan dan tujuan mengubah sistem carian daripada yang lebih telus terperinci seperti sebelum ini kepada sistem carian yang menyembunyikan nama pemegang kad pengenalan.
SAMM melihat penemuan terbaru nama abjad istimewa 'apostrophe' membuktikan SPR tidak pernah berusaha membersihkan senarai pengundi sepertimana yang dituntut sejak tahun 2006. Ribuan nama pelik yang tidak dijustifikasi malah disusahkan lagi pencariannya dalam sistem carian JPN, berpuluh ribu nombor KP yang ada dalam senarai pengundi SPR tetapi tiada dalam sistem pangkalan data JPN, beratus ribu pengundi berada dalam kategori satu alamat diduduki ratusan pengundi pelbagai bangsa, semua ini masih tidak dibersihkan lagi oleh SPR dan tiada usaha konstruktif ke arah pembersihan senarai pengundi.
Apalagi yang boleh diharapkan dari SPR yang semakin hari semakin mengarut? Desakkan terhadap timbalan dan pengerusi SPR yang dikenalpasti sebagai ahli Umno supaya segera meletakkan jawatan tidak diendahkan. Jawatan tertinggi SPR sepatutnya diserah kepada individu lebih layak yang tidak menyertai mana-mana parti politik.
SAMM juga melihat SPR sebagai badan yang tiada kredibiliti lagi selain tidak berintegriti dalam memastikan ketelusan menjalankan kerja-kerja pengurusan pilihanraya. Rakyat yang mengimpikan demokrasi sudah hilang kepercayaan terhadap SPR. 
Dengan ini, SAMM mendesak keras agar SPR dibubarkan terlebih dahulu sebelum parlimen dibubarkan. SAMM menyeru rakyat seluruh negara, NGO dan NGI bersama bergerak mendesak SPR dibubarkan. Tekanan hebat harus diberikan kepada SPR supaya menyerahkan tanggungjawab menjaga perihal pilihanraya kepada badan lain yang lebih profesional dan punya integriti dalam menjalankan tanggungjawab.
Ayuh semua, gerakan mendesak SPR dibubarkan sebelum parlimen Malaysia dibubar harus diperhebat demi menjamin demokrasi dan masa depan negara.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Siling tunggu masa runtuh

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Siling tunggu masa runtuh
Keadaan siling yang tidak selamat.
 
FELDA TEMENTI – Kejadian siling yang hampir runtuh di Tabika Kemas, dekat sini membimbangkan ibu bapa terutama yang menghantar anak-anak mereka ke sini.

Seorang penjaga, Wan Hamadan Wan Ad Habibi, 32, berkata, dia bersyukur kerana siling itu tidak runtuh atas kanak-kanak dan tiada yang tercedera namun sudah tentu ibu bapa trauma dan risau terhadap keselamatan anak masing-masing.

Menurutnya, bangunan itu sudah terlalu lama dan perlu dinaik taraf segera bagi mengelak kejadian seumpama ini berlaku lagi.

“Saya percaya pihak pengurusan sudah mengambil tindakan segera untuk kerja membaiki syiling itu tetapi saya mewakili ibu bapa lain minta ia diganti keseluruhannya.

“Keselamatan anak-anak juga bergantung kepada fasiliti yang ada dalam dan luar bangunan tabika ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Hamdan berkata, bangunan yang berusia lebih 30 tahun itu sewajarnya dinaik taraf termasuk membaiki agar tabika yang turut roboh.

“Bukan itu sahaja, kawasan ini juga terdedah dengan kehadiran binatang liar seperti monyet yang berisiko mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak.

“Kalau boleh, saya minta pihak berkaitan selesaikan masalah ini segera sebelum berlaku kecederaan kepada kanak-kanak tersebut,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menghubungi Penyelia Pra-Sekolah Kemas, Manila Abd Latif untuk mendapat penjelasan mengenai perkara ini.

Menurutnya, pihaknya sudah dimaklumkan perkara itu dan membuat permohonan peruntukan untuk kerja baik pulih di tabika tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihaknya masih menunggu peruntukan tersebut

SINAR HARIAN/-
12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Sao Paulo - Sebuah mahkamah Brazil pada Selasa (25/9/2012) melarang sebuah filem anti-Islam yang menelurkan protes keras di seluruh dunia Muslim dan memberi YouTube masa 10 hari untuk menarik trailer filem tersebut dari laman webnya, lansir Al Arabiya.

Keputusan oleh mahkamah negeri di Sao Paulo, rumah bagi pendatang masyarakat Timur Tengah, berlaku beberapa jam selepas Presiden Brazil, Dilma Rousseff mengecam "Islamophobia" di negara-negara Barat dalam pidato di PBB.

Tuntutan terhadap filem kontroversi tersebut dibawa oleh sebuah kumpulan Muslim Brazil, Kesatuan Kebangsaan Islam, terhadap pemilik Youtube, Google Inc untuk menerbitkan di internet sebuah video yang telah menyerang Islam.

Dalam keputusannya, Hakim Gilson Delgado Miranda mengatakan kes ini menyandingkan "kebebasan bersuara" dan keperluan untuk melindungi individu atau kelompok masyarakat dari tindakan yang mungkin menghasut diskriminasi agama.

Ini bukan kali pertama mahkamah Brazil melawan Google. Sebelumnya mahkamah pilihan raya memerintahkan penangkapan eksekutif Google yang paling senior di Brazil selepas syarikat gagal untuk menghapuskan video di YouTube yang menyerang calon walikota tempatan.

Cabaran undang-undang menggariskan soalan yang lebih luas mengenai tanggung jawab Google untuk kandungan yang dimuat naik pihak ketiga ke laman webnya, seperti video anti-Islam yang mengejek Nabi Muhammad salallahu alaihi wa sallam dan mencetuskan gelombang protes di dunia Muslim.

Lima belas orang terbunuh di Pakistan selama demonstrasi atas video tersebut pada minggu lalu.

Orang-orang yang terlibat dalam filem amatur yang telah diposting di YouTube, mengatakan bahawa itu dibuat oleh seorang lelaki California berusia 55 tahun, Nakoula Basseley Nakoula.

KELAB GRENNBOC/-

Wajib ke tadika, sekolah agama

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
  
BANDAR SERI BEGAWAN: Setiap kanak-kanak Islam, berusia antara tujuh dan 15 tahun dan tinggal di Brunei Darussalam, diwajibkan dihantar ke sekolah tadika dan sekolah rendah agama.

Ia sebahagian daripada Peraturan wajib Pendidikan Islam 2012 yang ditekankan oleh Sultan Brunei dalam ucapannya pada sambutan Hari Guru, baru-baru ini. Peraturan itu akan dilaksanakan bermula 1 Januari, tahun depan.

Ia turut menekankan kewajipan pendidikan agama untuk kanak-kanak yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2006, dan sekurang-kurangnya seorang dari ibu atau bapa adalah rakyat atau penduduk tetap negara ini.

Perkara ini didedahkan semalam oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman.

Perintah itu turut membawa maksud semua kanak-kanak perlu memenuhi syarat untuk masuk ke tadika atau sekolah rendah agama. Pendidikan agama bermaksud, menurut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Peraturan itu juga menggariskan tanggungjawab wajib ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka di sekolah agama pada 1 Januari untuk penggal sekolah dan memastikan kanak-kanak itu boleh terus bersekolah sepanjang tempoh pendidikan agama itu.

Ibu bapa yang gagal berbuat demikian dianggap melakukan kesalahan dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi BND$5,000 (RM12,514) atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kanak-kanak perlu menghadiri sekolah agama untuk tujuh atau lapan tahun.

Mohamad berkata, kementerian bersedia melaksanakan perintah itu dan memerlukan kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak untuk program itu berjaya.

Katanya, ia juga selaras dengan falsafah negara iaitu Kesultanan Melayu Islam. - Brunei Times

Selera terbantut, rambut lekat pada biskut

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Selera terbantut, rambut lekat pada biskut
 
Rambut ditemui melekat pada biskut yang dinikmati dua sahabat ketika minum petang.
 
KUALA LIPIS - Keceriaan dua sahabat menikmati minum petang terbantut apabila seorang daripada mereka menemui rambut dalam makanan yang dibeli itu.

Hainul Asida Suyarno, 29, berkata, ketika itu dia bersama seorang rakan sekerja sedang menikmati biskut yang dibeli di sebuah pasar raya di Raub dan menemui sehelai rambut melekat pada biskut itu.

“Sudah menjadi kebiasaan saya bersama rakan sekerja menikmati makanan di tempat kerja kami di Kechau Tui.

“Namun, kelmarin kami dikejutkan dengan penemuan rambut dalam biskut yang dimakan menyebabkan selera kami terbantut apabila melihat rambut melekat pada biskut itu,” katanya di sini, semalam.

Hainul berkata, dia bersama rakannya kecewa dengan kejadian terbabit dan minta pengusaha kilang biskut terbabit mengutamakan kebersihan.

“Walaupun harga biskut yang saya beli ini tidak mahal namun pihak pengusaha kilang perlu menitikberatkan hal berkaitan kebersihan dan kualiti produk yang mereka keluarkan.

“Jenama biskut ini terkenal di seluruh negara dan saya adalah seorang pelanggan setia produk keluaran kilang itu namun kejadian seperti ini menyebabkan saya serik untuk beli produk dari kilang itu,” katanya.

Hainul berkata, pihak berkaitan juga perlu lebih kerap memantau kilang yang mengeluarkan produk makanan agar pengusaha kilang sentiasa peka aspek kebersihan.

SINAR HARIAN/-

Kisah Benar!! Pulang Ke Rumah Setelah 3 Hari Dikuburkan

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Penduduk Padang digegarkan dengan peristiwa aneh kerana ada seorang datuk berusia 75 tahun sudah dikubur boleh hidup kembali.

Datuk tersebut bernama Faizal (75). Dia dikuburkan pada Sabtu 15 Januari lalu pukul 15.00 ptg. namun pada hari Isnin 18 Januari pada pukul 15.30 ptg tiba-tiba dia pulang ke rumah.

Faizal tiba di rumah dengan dihantar oleh tentangganya. Keluarga yang sedang mempersiapkan majlis doa tahlil lari ketakutan melihat datuk itu pulang dihantarkan tetangga.

Afrizon (35), anak Faizal bercerita, ketika ayahnya pulang orang yang datang ke rumah ingin membaca doa bersama langsung lari ketakutan.

“Mereka takut kerana ayah kan sudah dimakamkan tiga hari lalu,” katanya pada okezone Kejadian bermula, ketika Afrizon melihat di media ada mayat tak dikenal di rumah mayat RSUP dr Djamil Padang yang ditemukan di Lubuk Alung, Kabupaten Padang Pariaman.

“Saya melihat gambar mayat itu mirip bapak saya, dan pada Sabtu kira-kira pukul 02.00 saya datang ke hospital itu dan memeriksa keadaan mayat tersebut, ciri-cirinya mirip dengan bapak saya,” tuturnya.

Ciri-ciri yang meyakinkan mirip dengan bapaknya itu pelipis kiri ada bekas goresan luka, pergelangan tangan kirinya ada jejak patah tulang, serta di celah-celah jari manis dan jari tengah ada peluru yang masih tertanam dan sudah menyatu dengan dagingnya.

Sementara bahagian dada ada bekas tembakan peluru dan begitu juga di perut ada bekaspembedahan. “Begitu pula wajahnya dan rambutnya mirip dan pakaian yang dikenakan juga sangat mirip, membuat saya percaya bahawa itu bapak saya,” katanya.

Pihak hospital juga tidak memiliki identiti mayat yang ditemukan polis itu, kemudian pada Sabtu g Afrizon bersama saudara lain mendatangi hospital itu untuk memeriksa kembali dan mereka setuju bahawa itu ayah mereka.

“Pada pukul 14.30 ptg mayat dimandikan dan langsung dikafani serta dibawa ke rumah. Pukul 15.00 ptg mayat yang sudah sampai di rumah langsung di kebumikan di tanah kelurgayang tak jauh dari rumah,” ulasnya. -okezone

Cinta hingga ke mati

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



TIMMS dan isteri, Valerie. 
PASANGAN itu ketika muda.
 
PASANGAN itu ketika muda.

GLOUCHERSTER: Seorang lelaki pekak dan buta bertindak menggantung diri selepas kematian isterinya akibat sakit jantung.
Seorang koroner diberitahu, Stewart Timms, 63, dan isteri, Valerie, 68, yang bisu dan pekak, adalah pasangan dedikasi yang sentiasa hidup saling bantu-membantu.

Tetapi selepas Valerie meninggal dunia di rumah mereka di Andoversford, Gloucestershire, suaminya menggantung diri, beberapa meter dari mayatnya, kata Timbalan Koroner Gloucestershire, David Dooley.
Dooley merumuskan, Timms, pembuat kabinet, membunuh diri dan isterinya, mati akibat penyakit biasa.

Pasangan itu mempunyai dua anak dan lapan cucu. Mayat mereka, kedua-duanya berpakaian tidur, ditemui 16 Jun lalu oleh anak mereka, Emma Scott yang datang untuk menziarah.

Mereka dilihat bersama dua atau tiga hari sebelum penemuan itu.
Dalam kenyataannya, Emma berkata, ibu bapanya berkahwin selama 38 tahun.

“Mereka amat menyanyangi satu sama lain. Mereka jarang bertengkar. Menjelang kematian mereka, ibu bapa saya tidak pernah bertengkar. Mereka sentiasa bantu satu sama lain,” katanya.

Menurut Emma, bapanya pernah cuba menggantung diri 24 tahun lalu selepas diberitahu dia akan buta. Bagaimanapun, Timms tidak bercakap apa-apa baru-baru ini atau sebelum kematiannya.

Katanya, apabila tiba di rumah ibu bapanya, tidak ada orang yang menjawab ketukannya pada pintu rumah, menyebabkan dia cuba masuk menerusi pintu belakang, tetapi ia berkunci.

Dia melihat anjing bapanya, Arnie dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas ternampak kesan najis di lantai.

Dia meminta bantuan jiran pasangan itu, Adrian Stoner yang memanjat rumah berkenaan.

Stoner kembali dan memberitahu bapanya menggantung diri.

“Saya seterusnya diberitahu, ibu saya juga sudah ditemui dan disahkan mati,” kata Emma.

Dia yakin kematian ibu bapanya tidak berkait dan mereka tidak membantu satu sama lain untuk membunuh diri. - DM

Mahkamah benar kes Mohamad Sabu digantung

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


PULAU PINANG: Mahkamah Sesyen Pulau Pinang membenarkan permohonan Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu agar kes pendakwaan ke atasnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Ini ekoran bantahan yang dibuat oleh beliau melalui peguamnya  berikutan tindakan Pendakwaraya yang hanya mendakwa beliau tetapi tidak mendakwa akhbar Utusan Malaysia yang juga membuat kesalahan yang sama.

Mohamad Sabu didakwa ekoran ceramahnya mengenai kes Bukit Kepong.

Perbicaraan sebelum ini mendedahkan, saksi utama pendakwa iaitu orang yang membuat laporan polis terhadap Mohamad Sabu mengaku dia tidak mendengar ceramah Mohamad Sabu.

Dia mengaku membuat laporan polis berdasarkan laporan Utusan.

Ekoran itu, beliau meminta mahkamah menggugurkan dakwaan ke atas Mohamad.

Peguam Mohamad Hanipa Maidin hari ini memohon Mahkamah Sesyen menggantung perbicaraan hari ini kerana pihaknya ingin memohon kepada Mahkamah Tinggi agar mempertimbangkan persolan kenapa Utusan tidak didakwa dalam kes ini.

Ini kerana menurut Seksyen 501 Kanun Keseksaan, mana-mana akhbar yang menerbitkan berita fitnah boleh didakwa.

Jelas hanya Mohamad Sabu didakwa tetapi akhbar Umno itu tidak didakwa.

Hanipa memohon agar Mahkamah Sesyen membenarkan perkara ini dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana hanya mahkamah itu yang berkuasa untuk menilai hal ini di bawah Seksyen 30 (1) Akta Mahkamah Kehakiman.

Ekoran itu, Hakim Ikmal Hishan setuju dengan permohonan dan tarikh 16 Oktober ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Selain Hanipa, Mohamad Sabu diwakili oleh Aminudin Zulkifli dan Nashar Khan.

Pendakwaraya pula dibuat oleh Tuan Yusaini Amir dan Tuan Suhaimi.

harakahdaily/-

Morsi kepada PBB: Syria adalah tragedi era ini

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


(Mohamed Morsi berkata dalam ucapan sulungnya di PBB bahawa rakyat Timur Tengah tidak lagi akan bertolak ansur dengan pemerintahan diktator)

NEW YORK: Mohamed Morsi, berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pemimpin pertama Mesir yang dipilih secara demokratik, menyifatkan perang Syria sebagai "tragedi era ini" di mana seluruh dunia bertanggungjawab ke atasnya - dan menuduh rejim Assad "membunuh rakyat siang dan malam".

Presiden Morsi mengajak dunia untuk menggantikan rejim dengan kerajaan demokratik yang mewakili semua etnik dan agama, tetapi perlu dilakukan tanpa campur tangan tentera luar.

Sebaliknya, beliau menegaskan inisiatif diplomatik baru yang dimulakan oleh Mesir, Turki dan Iran, dan menyeru negara-negara lain untuk menyertainya.

Sebelum membincangkan konflik Syria, Morsi berkata PBB perlu membuat keutamaan menangani nasib rakyat Palestin, mengatakan bahawa ia adalah "memalukan" untuk resolusi PBB yang berturut-turut mengenai penjajahan Israel di wilayah Palestin tidak pernah dikuatkuasakan.

"Buah-buah maruah dan kebebasan mesti dikekalkan hampir dengan rakyat Palestin," katanya.

Dalam ucapan sulungnya di perhimpunan agung PBB, Morsi berkata rakyat Timur Tengah tidak akan lagi bertolak ansur dengan pemerintahan diktator, mereka juga tidak akan bertolak ansur dengan negara-negara yang tidak menandatangani perjanjian pengawalan senjata nuklear (NPT), secara jelas merujuk kepada Israel, yang dengan senjata nuklearnya memberikan mereka kuasa monopoli di rantau itu.

Beliau menyuarakan sokongan kepada persidangan yang dianjurkan oleh PBB yang berakhir hujung tahun ini untuk menjadikan Timur Tengah sebagai rantau yang bebas daripada senjata pemusnah besar-besaran. Israel telah menolak gesaan itu.

Morsi juga menegur Iran, mengatakan bahawa semua negara perlu menunjukkan sifat aman oleh program nuklear mereka untuk memuaskan hati jiran-jiran mereka. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata bahawa Iran tidak bekerjasama dalam siasatan mereka.

Penilaian Morsi berkenaan masalah di rantau ini berbeza dengan apa yang disampaikan oleh presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, yang memberi fokus kepada tema agama dan tidak menyebut berkenaan program nuklear Iran, yang merupakan tumpuan ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu - dan juga dalam masyarakat antarabangsa yang lebih luas.

Setiausaha Luar Britain, William Hague, baru-baru ini menggesa Kesatuan Eropah untuk mengetatkan lagi sekatan yang sudah sedia ketat ke atas Iran, kerana keengganan Iran untuk tunduk kepada tuntutan majlis keselamatan PBB supaya menghentikan pengayaan uranium.

Ucapan Ahmadinejad adalah tidak mudah difahami seperti kebiasaannya untuk satu sesi PBB dan hanya sekali merujuk kepada Israel, apabila beliau mengecam apa yang beliau panggil sebagai "hegemoni keangkuhan" kuasa-kuasa dominan di dunia, dan berkata “ancaman berterusan dari Zionis yang tidak bertamadun yang akan mengambil tindakan tentera terhadap bangsa kami adalah satu contoh yang jelas realiti pahit ini ".

Tiada diplomat Amerika di persidangan ketika ucapan Ahmadinejad kerana Washington melihat ucapan pemimpin Iran mengenai Israel awal minggu ini sebagai menyakitkan hati.

Britiain dan kebanyakan negara Eropah yang lain telah menghantar wakil junior, yang tidak berjalan keluar memboikot seperti yang telah dilakukan mereka sebelum ini.

Dalam ucapannya, Morsi berkata Mesir akan "berdiri teguh" menentang keganasan anti-Amerika yang telah melanda dunia Islam dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang telah dicetuskan oleh kemunculan video menghina Nabi, yang telah diterbit oleh Nakoula Basseley, warga Amerika- Mesir beragama Kristian Koptik.

Tetapi Morsi juga mendakwa bahawa penyebaran video itu adalah sebahagian daripada "kempen tersusun" yang didorong oleh Islamofobia. Dalam kenyataan yang nampak seperti menikam balas ucapan Barack Obama berkenaan kebebasan bersuara, Morsi berkata bahawa kebebasan bersuara tidak sepatutnya merangkumi hak untuk menghina agama berjuta-juta manusia.

harakahdaily/-

Kejamnya kerajaan Selangor... [Tengok]

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

 

Kejam sungguh kerajaan negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat neh...
Kejam sehingga sanggup MENDERA rakyat Selangor sehinggakan nikmat rakyat sendiri untuk membayar bil air dah tak dak... (...)
 
harakahdaily/-

BR1M kedua meningkat kepada RM1,000?

NONE12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia bukan hanya menantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500, tetapi mengharapkannya nilainya digandakan menjadi RM1,000 atau lebih dalam pengumuman belanjawan petang ini.

Lebih banyak imbuhan dan 'gula-gula' itu dijangkakan ekoran pendekatan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, kata Lim dalam kenyataannya semalam.

"Najib tidak boleh salahkan sesiapa kecuali dirinya sendiri. Belanjawan tahunan yang dibentangkan di Parlimen sudah menjadi acara tahunan Santa Klaus," kata Lim yang juga anggota Parlimen Ipoh Timor.

"Ini semua kerana dia tidak dapat membuat keputusan dan takut terhadap pilihan raya umum ke-13, menyebabkan dia menukar 42 bulan pemerintahannya kepada kempen pilihan raya yang berpanjangan dan tidak berkesudahan."

Lim berkata, kerajaan pimpinan BN melalui wakilnya di pelbagai peringkat sudah memberikan gambaran lebih banyak imbuhan dan gula-gula akan diberikan, termasuk BR1M dalam pilihan raya.

Jangkaan itu, termasuk kemungkinan BR1M diperluas untuk meliputi pendapatan isi rumah yang sebelum ini tidak layak untuk bantuan itu.

"Jika pembayaran BR1M kali kedua tidak lebih sekali ganda daripada bayaran terdahulu RM500 atau gagal memberi manfaat kepada 4.2 juta isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000, Najib, Umno dan BN patut jangkakan tindak balas buruk daripada rakyat Malaysia," katanya.

malaysiakini/-

Bajet 2013: Ringan beban rakyat atau bajet p'raya

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini bakal dinilai oleh rakyat sama ada benar-benar mahu meringankan beban rakyat untuk jangka masa panjang atau sekadar bajet pilihan raya.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, rakyat sedang menanti dengan harapan bahawa bajet kali ini memberi tumpuan khusus kepada perkara-perkara yang membebani mereka khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara pengumuman yang ditunggu-tunggu rakyat katanya termasuk penghapusan tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) penghapusan cukai aksais kenderaan dan tidak melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Bajet 2013 kali ini harus menekankan perkara yang dirasai oleh rakyat.

"Pemansuhan tol, penurunan harga petrol, itu semua memberi kesan berantai kepada penurunan kos hidup rakyat di negara ini dan itulah yang sedang dirunggu-tunggu," katanya kepada Harakahdaily.

Bajet 2013 akan dibentangkan Perdana Menteri di parlimen jam 4 petang ini dan akan disiar secara langsung melalui steten televisyen perdana.

Biarpun difahamkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk kali kedua akan diumumkan dalam bajet itu hari ini, namun harapan rakyat tetap kepada penyelesaian masalah pokok seperti bebanan tol, harga minyak dan cukai aksais kenderaan.

Berhubung perlaksanaan GST pula, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ianya boleh dielak jika kerajaan BN menghentikan budaya rasuah, penyelewengan, ketirisan dan salah guna kuasa.

"Selagi masalah-masalah itu membelengu pentadbiran kerajaan BN, selagi itu hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi akan terbantut," katanya.

Sebab itu katanya, Pakatan Rakyat menampilkan belanjawan alternatif dengan tema Ekonomi Rakyat Negara Berkat, mencerminkan fokus penyelesaian utama adalah kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat.

Ianya termasuk penghapusan tol, menurunkan harga minyak, menurunkan harga kenderaan dan juga memperkenal undang-undang anti monopoli supaya kegiatan ekonomi tidak hanya dikuasai syarikat kroni.

harakahdaily/-

1,000 jemaah haji wanita Nigeria terkandas di Jeddah

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



ABUJA - Kerajaan Arab Saudi telah menolak kemasukan lebih 1,000 jemaah haji wanita dari negara ini kerana tidak ditemani oleh lelaki atau mahram masing-masing, kata beberapa pegawai Nigeria kelmarin.
Semua wanita itu mulai tiba di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, Arab Saudi Ahad lalu jelas satu laporan yang dikumpul oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan Nigeria yang mengawal selia jemaah haji Nigeria ke Mekah.

"Apabila ditanya oleh pegawai Suruhanjaya Haji Kebangsaan, mereka diberitahu bahawa jemaah haji itu ditahan kerana tiada mahram," kata laporan yang diserahkan kepada wakil jawatankuasa hal ehwal luar Nigeria.

Kira-kira 171 jemaah haji wanita itu pulang ke Nigeria menerusi satu penerbangan kelmarin.
"Mereka tidak diusir, sebaliknya dihantar pulang oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan kerana malu dengan pihak berkuasa Arab Saudi," kata jurucakap suruhanjaya, Umar Bala kepada agensi berita AFP.
Satu perbincangan dua hala sedang dijalankan di antara para pegawai kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu itu, tambah beliau.

Katanya, seramai 1,000 jemaah haji wanita masih terkandas di lapangan terbang sama. - AFP

Hikmah sebalik hijab

12 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



SEBAIK sahaja kelibat penyanyi Shila Amzah muncul di balai ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang Rabu lalu, dia disambut dengan kerlipan sinaran kamera daripada para jurugambar yang sedia menantinya.

Suasana bertambah meriah dengan jeritan daripada peminatnya yang turut berkumpul di KLIA petang itu demi untuk mengucapkan tahniah atas kejayaannya di China pada 20 September lalu.

Bergelar juara pertandingan nyanyian yang julung-julung kali diadakan untuk mencari bintang Asia baharu iaitu Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China merupakan pencapaian terbesar oleh gadis berusia 22 tahun itu.

Kata Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah yang mula memakai hijab sejak 1 Ramadan lalu, kerja kerasnya selama ini berbaloi.

Keputusan nekadnya untuk memakai hijab mempunyai hikmah sebaliknya apabila dia dinobatkan sebagai juara pertandingan berprestij itu.

"Saya mula masuk pertandingan nyanyian sejak umur lapan tahun lagi. Sejak itu, saya tidak pernah berhenti bekerja keras untuk mengukir nama supaya dikenali sebagai penyanyi. Namun, sebesar mana pengorbanan dan usaha yang dibuat sebelum ini, hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja saya memakai hijab, keyakinan diri semakin bertambah dan pelbagai rezeki datang tanpa diduga. Sebelum ini sukar untuk membuat semua orang memberi fokus kepada saya seorang.
"Mungkin ini adalah nikmat serta hikmah yang diberi Allah di sebalik keputusan saya untuk berhijab. Saya bersyukur dengan rezeki yang diberi dan berjanji pada diri untuk melakukan sesuatu yang lebih baik," ujarnya sewaktu ditemui di KLIA.

Shila merupakan satu-satunya peserta yang memakai hijab dalam pertandingan itu. Akuinya, pada mulanya dia berasa sedikit bimbang dengan penerimaan masyarakat di sana tentang imejnya.
Layanan kelas pertama

Namun, sangkaannya meleset kerana dia lebih mudah dikenali berbanding peserta negara lain. Semuanya kerana hijabnya itu.

"Memakai hijab membataskan genre lagu yang boleh saya bawakan. Saya tidak boleh menari jika hendak dibandingkan dengan peserta negara lain. Saya juga mempunyai kebimbangan pada peringkat awal berhubung penerimaan masyarakat di sana dengan imej saya.


SHILA AMZAH bakal mengembangkan kariernya ke China.


"Bagaimanapun sangkaan saya meleset apabila mereka menerima imej berhijab dengan baik, malah memberi layanan kelas pertama terhadap saya. Tidak wujud langsung perasaan seperti disisihkan kerana saya rasa seperti berada di Malaysia.

"Disebabkan hijab saya yang berwarna-warni, ia memudahkan penonton mengenali saya dengan mudah. Selepas pertandingan, sewaktu bersiar-siar, orang di sana kenal dan tahu nama saya kerana di sana jarang untuk melihat wanita berhijab berwarna-warni seperti saya," tutur anak penyanyi ND Lala itu lagi.

Sambung Shila, ramai juga orang di sana mempersoalkan mengapa dia perlu memakai hijab sedangkan mereka telah menonton videonya tanpa hijab di laman perkongsian video YouTube sebelum itu.

"Selepas saya terangkan sebabnya dan kenapa perlu memakai hijab, mereka faham dan menerima kehadiran saya sama seperti peserta negara lain. Sebulan sebelum masuk bertanding, saya tanya kepada penasihat pertandingan, Ong Peng Chu, bolehkah saya masuk kerana saya telah bertukar imej.

"Jawapannya cukup mudah, katanya, juri serta penonton yang hadir hanya ingin dengar suara dan persembahan saya bukannya untuk melihat rambut saya. 

"Selepas mendengar penjelasannya, saya berkeyakinan untuk bertanding tetapi tiada langsung perasaan yang saya akan menjadi juara," ucapnya yang ditemani ibu bapa dan Ong Peng Chu sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Pengalaman manis

Bercakap mengenai pertandingan itu, Shila yang menewaskan 12 peserta di peringkat akhir selepas berjaya memukau sembilan orang juri daripada sembilan buah negara yang berbeza memberitahu, kemenangan tiada langsung dalam fikirannya.

Ini kerana pihak media di China menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada peserta negara berkenaan Chang Shilei yang mendapat tempat kedua.

"Memang tidak jangka langsung sebab bila semua orang kata Chang Shilei sangat bagus dan bakal menjadi juara, secara automatik saya tahu yang saya tidak akan menang. 

"Setiap kali sebelum membuat persembahan, bapa saya akan pesan, jangan fikir untuk menang tetapi fikir seperti saya sedang lakukan persembahan untuk penonton.

"Jadi, saya tidak tertekan sangat. Mungkin itu faktor yang menyebabkan saya memang, sebab saya tiada tekanan. Selain itu pengalaman menyertai pelbagai pertandingan sebelum ini juga banyak membantu saya menguatkan mental," katanya yang melakukan persiapan selama sebulan.

Bercakap mengenai pemilihan lagu pula, Shila yang sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi antarabangsa memberitahu, setiap lagu merupakan pilihannya bersama bapanya dan Ong Peng Chu.

Menyanyikan lima buah lagu secara keseluruhannya iaitu Set Fire To The Rain (lagu dendangan asal Adele) dan Forever Love (Wang Lee Hom) untuk peringkat saringan pertama dan kedua.


Sementara untuk peringkat akhir Shila memukau juri dengan menyanyikan tiga buah lagu iaitu Gemilang (Jaclyn Victor), Grenade (Bruno Mars) dan lagu popular penyanyi terkenal di China, Na Ying yang berjudul Zheng Fu

"Asian Wave boleh dikatakan seperti Olimpik dunia muzik. Semua peserta yang bertanding bukannya penyanyi amatur sebaliknya sudah mempunyai kejayaan di negara masing-masing. Penting untuk peserta menyanyikan lagu yang terbaik pada setiap peringkat.

"Jika gagal memuaskan hati juri, anda akan terus disingkirkan. Saya pilih lagu yang saya sudah biasa dan suka tetapi lagu Zheng Fu merupakan lagu yang dicadangkan oleh Ong Peng Chu.

"Lagu itu merupakan lagu paling popular di sana, kalau saya tidak menyanyi dengan baik kesannya pasti buruk tetapi selepas latihan selama sebulan, saya berjaya menyebut setiap perkataan dengan tepat," luahnya yang belajar bahasa Mandarin sejak tadika sehingga usia lapan tahun.
Eric Moo

Impak kemenangannya sebagai juara, Shila ditawarkan kontrak dana pembangunan kerjaya di China oleh Shanghai Media Group (SMG) sebuah syarikat media terbesar di China sebanyak RM5 juta yang akan dikongsikan bersama pemenang tempat kedua Chang Shilei (China) dan ketiga, Huo Jun (China).
Selepas kontrak itu ditandatangani, Shila akan melebarkan sayapnya ke China kerana antara perancangan yang telah dirancang pihak SMG seperti penerbitan album, konsert jelajah dan sesi promosi ke seluruh China.

"Tawaran yang diterima daripada pelbagai pihak di sana memang banyak tetapi saya harus memilih dengan bijak.

"Selepas saya tandatangani kontrak, saya akan terbang ke China untuk majlis tandatangan kontrak dan pada 17 November depan saya diundang sebagai penyanyi jemputan untuk konsert jelajah penyanyi Eric Moo di Beijing. Eric Moo merupakan penyanyi kelahiran Malaysia tetapi terkenal di China," tutur Shila.

Namun ujar Shila: "Nampaknya saya akan semakin sibuk dan banyak menghabiskan masa di China selepas ini. Namun, Malaysia tetap di hati saya kerana untuk pasaran China, mereka hanya akan menerbitkan album dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris sahaja. 

"Album bahasa Melayu, sudah tentu saya akan rakamkan di Malaysia tidak mungkin saya akan tinggalkan Malaysia. Saya pasti akan berulang-alik.

Tinggalkan Sharnaaz 

Kejayaan Shila itu telah menutup mulut segelintir pihak yang meragui dengan bakatnya sebelum ini. Ungkap Shila: "Memang sebelum ini ada pihak yang pandang sebelah mata dengan bakat saya tetapi bapa saya pesan supaya jangan membalas dengan lisan sebaliknya saya harus balas dengan kejayaan.

"Saya pegang kata-kata bapa saya dan bekerja keras, Alhamdulillah, jika tidak kerana pengalaman perit pada masa lalu, saya tidak akan menjadi kuat serta berdiri seperti hari ini," tuturnya. 

Disoal bagaimana pula dengan cinta hatinya, pelakon Sharnaaz Ahmad yang akan ditinggalkan di Malaysia sementara dirinya akan terbang ke China.

Tersenyum dan terdiam sebentar, kata Shila: "Saya dan Sharnaaz baik-baik sahaja, malah ketika pertandingan berlangsung, saya selalu menghubunginya ketika di belakang pentas. Dia seorang yang sangat menyokong kerjaya saya, begitu juga dengan keluarganya.

"Sokongan keluarga dan Sharnaaz yang membuatkan saya terharu dan cukup tenang. Saya tahu, Sharnaaz antara orang paling gembira dengan kejayaan saya. 

"Walaupun selepas ini kami akan sibuk dengan kerjaya masing-masing, saya harap semua orang dapat doakan yang terbaik buat kami."

kosmo/-