25 Oktober 2012

Mahathir sahkan 'perjanjian syaitan' Umno dan MCA

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


(Dr Mahathir sahkan 'perjanjian syaitan' antara Umno dan MCA)

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, penyataan beliau tentang wujudnya 'perjanjian syaitan' antara Umno dan MCA disahkan tidak sampai 24 jam selepas ianya didakwa.

Ia tidak lain dan tidak bukan disahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya di Universiti Malaya semalam.

"Semalam, saya secara terbuka mengatakan pemimpin MCA dan UMNO telah membuat 'perjanjian Syaitan' supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu.

"Ia dibuat dengan keyakinan bahawa politik yang sedemikian satu-satunya cara untuk mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Menurut Lim Kit Siang, beliau menjangkakan pemimpin Umno dan MCA serta propagandis-propagandis mereka menafikan kewujudan perjanjian jahat itu lalu cuba melarikan tumpuan daripada 'perjanjian syaitan' tersebut.

"Apa yang paling tidak saya jangkakan pendedahan saya tentang 'Perjanjian Syaitan' di antara UMNO/MCA disahkan dalam tempoh 24 jam dengan gaya penuh wibawa dan cara yang benar-benar melondehkan hipokrasi dan muslihat Umno serta MCA.

"Hanya seorang sahaja mampu melakukan tindakan sedemikian iaitu Tun Dr. Mahathir dan itulah yang beliau lakukan semalam," kata Kit Siang (gambar kanan).

Pada sidang media semalam di simposium 'Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan kelestarian' Universiti Malaya, Mahathir mengakui bahawa 'pendirian tidak bertolak ansur' MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan 'menakut-nakutkan' komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam.

“Dia (MCA) bertujuan untuk menakutkan orang Cina, bukan orang Melayu atau Islam ...Tujuan MCA nak takutkan orang Cina supaya tak sokong DAP.

"Tapi dulu pun MCA tak pernah bantah bila kita isytihar negara ini negara Islam dan kita akan amal nilai-nilai dan ajaran Islam," kata Mahathir.

Pengesahan Mahathir terhadap “Perjanjian Syaitan” Umno dan MCA supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu bagi mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional seharusnya diberi perhatian serius dan dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua rakyat Malaysia, kata Kit Siang.

Dalam 'Perjanjian Syaitan' mereka, pemimpin UMNO akan terus membisu tidak kira apa juga pembohongan yang disebarkan MCA untuk “menakut-nakutkan orang Cina”.

Ia termasuklah penipuan yang pemimpin Umno sendiri tahu ia tidak berasas seperti fitnah MCA bahawa PAS dan Islam membenarkan bukan Islam dirogol atau PAS dan Islam akan membawa Malaysia kembali ke “zaman gelap”.

Begitu juga pemimpin MCA akan terus membisu walaupun mereka tidak mempercayai pembohongan dan penipuan UMNO 'untuk menakut-nakutkan kaum Melayu', bahawa DAP mahu mendirikan Negara Kristian dan menghapuskan Raja-Raja Melayu serta mendirikan Republik, kata Lim.

Menurut Li, dia teringat kepada komenter di sebuah blog milik seorang pakar bedah semalam berkenaan Perhimpunan Agung MCA ke-59, beliau menyimpulkan:

“Perhimpunan Agung MCA telah memaku keranda mereka kerana bagi kebanyakkan rakyat Malaysia, MCA tidak lagi relevan, begitu juga Gerakan, MIC dan juga UMNO.
"Kematian parti berasaskan kaum ini mungkin ada hikmahnya kerana kita memerlukan parti berbilang kaum untuk maju di dalam dunia yang semakin global dan penuh persaingan.”

Bagi beliau, ini merupakan cabaran terbesar buat semua rakyat Malaysia pada PRU13, sama ada kita mahu bergerak sebagai rakyat Malaysia dengan visi yang penuh harapan dan optimis bahawa Malaysia akan bersatu tanpa mengira kaum, agama, kelas atau kawasan.

"Ia sebagai jaminan terbaik supaya negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain atau kita mahu membiarkan diri kita tersangkut di dalam politik yang korup dan kebencian antara agama dan antara kaum, melalui pembohongan dan penipuan yang hanya akan menjerumuskan negara kepada kemusnahan," katanya.

Bagi beliau, Pakatan Rakyat berjuang untuk meyatupadukan rakyat Malaysia bagi bergerak maju ke arah masa depan bersama sementara Barisan Nasional pula mahu terus berjuang dengan taktik “pecah dan perintah” di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama supaya terus memperhambakan diri kepada kepentingan-kepentingan Umno-putra dan kroni-kroni mereka.

"Biarlah parti-parti berasaskan kaum ini menemui ajal pada PRU13. Pakatan Rakyat berjuang untuk masa depan manakala Barisan Nasional melambangkan masa lalu!" tegasnya.

harakah/-

Pengesan kamera AES

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



DEY MACHA!!!
HARI NI RAMAI YANG AKAN BALIK KAMPUNG
SAMADA GUNA LEBUHRAYA ATAU PUN JALANRAYA
JANGAN JADI HANTU RAYA
HARAP BERDISIPLIN SENTIASA
KAH! KAH! KAH!

INI ADA SATU APLIKASI
UNTUK SMARTPHONE ANDROID
NAMANYA AES DETECTOR
GUA DAH UJI APLIKASI NI
TENGOK SCREEN CAPTURE KAT ATAS TU
MEMANG BAGUIH SEBAB DIA BAGI ALARM
KALAU ADA KAMERA SEKITAR 1 KM
DARI KENDERAAN KITA
JADI SEMPAT LA KITA SLOW DOWN
IKUT HAD LAJU YANG HALAL
SELAMAT LA DARI KENA SAMAN
KAH! KAH! KAH!

APLIKASI NI BUKAN SAJA BOLEH GUNA KAT LEBUHRAYA
KAT JALAN LAMA,JALAN BANDAR SEMUA BOLEH
CUMA SIAP SEDIA DENGAQ ALARM SAJA
KAH! KAH! KAH!

KALAU GUNA HP SILA KE GOOGLE PLAYSTORE,KEMUDIAN SEARCH AES DETECTOR
KLIK KAT IKON MACAM KAT BAWAH NI:

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA KE BLOG AES DETECTOR

harakah/-

200 demo bantah Chua Soi Lek di depan Wisma MCA

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Lebih 200 umat Islam hari ini berhimpun secara aman  di hadapan Wisma MCA, Jalan Ampang, bagi membantah kebiadaban Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menghina agama Islam.

Mereka yang terdiri daripada perbagai latar belakang termasuk wakil NGO Islam hadir bagi menyatakan rasa tidak senang mereka dengan sikap MCA yang tidak berhenti-henti menghina agama Islam.

Himpunan hari ini adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Ulamak PAS Pusat. Ia hanya dirancang semalam oleh mereka dan berkumpul di sana hari ini.

Mereka membawa sepanduk dan poster mengecam tindakan pemimpin MCA itu yang didakwa tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam.

Ianya berikutan kenyataan Soi Lek yang menyerang Islam habis-habisan dan secara berterusan.

Terbaru, beliau mendakwa negara yang melaksanakan hudud adalah negara yang paling tinggi gejala rasuahnya.

Sementara itu, PAS turut menggesa Soi Lek memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas kata-kata penghinaan yang telah dikeluarkan beliau.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang turut mengetuai himpunan itu berkata, pihaknya juga akan membawa isu itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja dalam masa terdekat.

"Kita mendesak supaya MCA memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan kita akan bawa isu ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Bagi kami, kalau MCA nak belajar Islam, jangan belajar dengan Umno, tapi belajar dengan PAS," katanya kepada wakil media.

Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban Soi Lek yang seolah-olah buta mata dan hati sanggup menghina agama Islam kerana kepentingan politik.

"Allah sudah sebut jangan sekali-kali engkau menghina berhala orang lain, tetapi MCA pula mengajar masyarakat lain supaya biadap kepada Islam," katanya sambil diikuti laungan takbir.

Beliau menyeru orang Melayu agar menolak MCA dan Umno dalam pilihan raya akan datang.

Seramai lima orang dilihat masuk menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil MCA di perkarangan pejabat pergerakan itu.

Selain Ustaz Idris, turut mengiringi semasa penyerahan itu termasuklah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Exco Pemuda Adram Musa serta Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Turut serta dalam bantahan itu, pengarah, penerbit dan juga pelakon terkenal Adam Hamid serta bekas pelakon terkenal siri Gerak Khas, Abby Abadi.

Sementara itu Khairul Faizi melahirkan kekecewaan apabila rombongan mereka untuk menghantar memorandum kepada Soi Lek hanya diterima oleh Setiausaha Kerja Pemuda MCA.

"Bukan itu sahaja, kami hanya dilayan di hadapan tangga bangunan ini , hari ini beliau sudah buktikan beliau biadap," katanya dalam sidang media selepas selesai berhimpun.

Bahkan katanya, jika MCA tidak memohon maaf kepada umat Islam negara ini dalam masa satu minggu pihaknya akan mengadakan himpunan yang lebih besar dari hari ini.

"Kami sanggup gadai nyawa kami demi Islam," tegasnya sambil menyifatkan MCA parti yang wajar ditolak oleh rakyat dalam PRU-13 kerana mengamalkan sikap perkauman yang melampau.

Himpunan yang berlaku hampir sejam itu turut mencuri perhatian awam dengan laungan takbir, hidup Islam, hancur kezaliman, berulang kali oleh peserta yang hadir.

harakahdaily/-

Jambatan Belukar: Rakyat dinafikan hak pembangunan

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendedahkan beberapa kelemahan ketara kerajaan negeri Sarawak di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak, kami merasa kesal dan kecewa atas kelemahan-kelemahan yang seharusnya dapat dielakkan.

Antara kelemahan kerajaan negeri yang harus diambil perhatian serius ialah kelewatan projek pembangunan kemudahan asas, kegagalan kerajaan negeri menjalankan projek di bawah peruntukan yang disediakan, kelemahan ketara dalam bantuan kebajikan kepada rakyat miskin dan kelemahan pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan negeri.

Saya mengambil contoh kegagalan kerajaan negeri menjalankan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Peruntukan khas RM1 billion gagal dibelanjakan oleh kerajaan negeri dengan baik, sedangkan peruntukan ini berbentuk ‘once off’ dan tiada projek sambungan dalam Rancangan Malaysia ke 10.

Daripada 31 projek pembangunan yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-9, hanya 14 projek yang telah dijalankan (45.2%) setakat 31 Disember 2010, manakala 17 lagi projek gagal disiapkan. Hanya RM271.07 juta dibelanjakan, (46.3%) oleh kerajaan negeri. Ini bermaksud, rakyat Sarawak terlepas peluang menikmati pembangunan bernilai RM314.39 juta. Nilai pembangunan ini tidak lagi dapat diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Rakyat Sarawak dinafikan hak pembangunan disebabkan kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan projek pembangunan di negeri ini. Harus dinyatakan di sini, kebanyakan projek di bawah peruntukan khas ini ialah projek jalan raya dan jambatan, yang merupakan antara infrastruktur paling asas sebuah negeri membangun.

Saya juga kesal dengan pendedahan Jambatan Batang Strap, Seri Aman yang dibina ‘ke belukar’ tanpa jalan raya yang menyambungkannya. Ini suatu kelucuan dan pembaziran wang rakyat sebanyak RM20 juta. Dewan Pemuda PAS Sarawak menggesa kerajaan negeri untuk mengambil langkah serius dalam pengurusan projek pembangunan, dan tidak hanya melepaskan batuk di tangga.

Saya juga ingin menyatakan kebimbangan dengan penemuan audit mengenai bantuan rakyat miskin. Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mempunyai data yang lengkap mengenai jumlah sebenar rakyat miskin di negeri ini.

Bantuan yang diberikan sejak 10 tahun dahulu tidak dikaji semula, walaupun peningkatan sara hidup yang ketara. Bantuan ini sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan negeri memandangkan masih ramai rakyat Sarawak yang hidup dalam kemiskinan terutama daripada golongan kurang upaya dan golongan emas.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Sarawak, kami mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih proaktif, dengan mengumpul sebanyak mungkin data daripada NGO-NGO, sukarelawan dan parti-parti politik yang terlibat secara langsung dengan masalah rakyat. Dewan Pemuda PAS Sarawak sendiri, mempunyai banyak pengalaman membantu rakyat miskin di seluruh Sarawak dan kami tiada masalah untuk berkongsi maklumat dengan JKM.

Pengurusan Jabatan-jabatan kerajaan juga masih boleh dipertingkatkan. Paling mengejutkan, pendedahan mengenai Jabatan Muzium negeri yang masih kekurangan infrastrukur asas, hingga menyebabkan artifak-artifak berharga bakal musnah.

Kelemahan-kelemahan asas lain seperti pengurusan kontrak, pengurusan projek dan kewangan Jabatan-jabatan kerajaan perlu diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri. Ambillah contoh kerajaan negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Kelantan yang mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara atas kecekapan pengurusan mereka.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Sarawak, saya menggesa langkah pembaikan yang bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan dan mengambil serius saranan Laporan Ketua Audit Negara ini.

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak.

Adakah RM40 juta untuk Umno Sabah wang haram?

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan  Rakyat menuntut enam penjelasan daripada Umno Sabah, khususnya Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman berhubung skandal RM40 juta.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata enam persoalan itu perlu diperjelaskan ekoran penafian ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini.

Bercakap kepada media di parlimen, semalam, Shamsul berkata Rahman yang menyifatkan dakwaan  Pakatan Rakyat itu sebagai 'imaginasi' hanya berterusan mengelirukan rakyat, sedangkan ia hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai skandal tersebut.

Shamsul berkata sejak 2009 hingga 2012, tiada penafian dilakukan Musa mahupun Umno Sabah, sebaliknya  terpaksa menunggu hingga tiga tahun.

Beliau berkata pihaknya pernah mengemukakan laporan rasmi Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) berhubung penahanan rakyat Malaysia, Michael Chia yang disyaki membawa wang haram di dalam mata wang Singapura berjumlah 16 juta dollar Singapura bersamaan RM40 juta.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pembuktian yang kredibel dapat dilakukan Umno Sabah bahawa RM40 juta tersebut merupakan dana Umno Sabah.

"Adakah mereka bersedia untuk diaudit secara professional untuk membuktikan penafian mereka tersebut boleh diterima?" soal beliau.

Selain itu, Pemuda Pakatan Rakyat turut mempersoalkan apakah wujud kebarangkalian wang tersebut merupakan wang haram yang dialirkan kepada Umno Sabah, mengapa rakyat Sabah terus tertindas dengan tajaan dan sumbangan yang begitu banyak untuk Sabah.

Malah, layanan berbeza ke atas Musa berbanding kes melibatkan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, kata Shamsul perlu dipersoalkan.

Justeru, Pemuda Pakatan Rakyat mendesak agar Umno Sabah, khusus Musa menjawab secara berfakta, berbanding mengatakan Pakatan Rakyat berimaginasi untuk mencemarkan reputasi Musa.

Turut serta pada sidang media tersebut, ahli parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen; ahli parlimen Rasah yang juga Pengerusi Kebangsaan DAPSY, Anthony Loke.

harakahdaily

Selamatkan segera etnik Rohingya sebelum terlambat

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Union of World  Rohingya Organzation - UWRO (Kesatuan Organisasi Rohingya Seduia ) mendesak semua organisasi antarabangsa UN, OIC, EU dan ASEAN mengambil tindakan segera ke atas perkembangan terbaru yang berlaku di Arakan, Myanmar.

Perkembangan terkini telah menunjukkan pembunuhan, pembakaran ribuan rumah dan serangan bertalu-talu yang amat dahsyat masih berlaku di serata Arakan. Oleh kerana itu badan-badan antarabangsa tidak mempunyai pilihan lain melainkan  menempatkan tentera pengaman untuk mengawal keganasan dengan serta-merta.

Gerakan ‘ethnic cleansing’ yang dijalankan sudah mencapai tahap maksima. Kerajaan Myanmar mengambil kesempatan untuk meneruskan dasar mereka untuk menghapuskan etnik Rohingya Muslim di Arakan.

Presiden Thein Sein berjaya mengaburkan mata dunia dengan berjanji untuk mencari penyelesaian bagi konflik ini ketika berucap dalam perhimpunan agung PBB yang lalu.

Laporan membuktikan keganasan yang dilakukan di kawasan minoriti Muslim terutama di Arakan terus giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Myanmar tempatan sejak 21 Oktober.

Ketika pemenang anugerah Nobel Suu Kyi disanjung , beliau nampak buntu dan tidak bersuara, adalah tidak rasional bagi organisasi bertaraf dunia seperti UN dan negara-negara ahlinya untuk berpeluk tubuh apabila jelas isu "ethnic cleansing" yang berlaku ini dibiarkan.  Walhal  suatu angkara kejam terus menerus dilakukan terhadap kaum Rohingya  oleh pihak berkuasa di bawah perkenan badan pemerintahan Myanmar itu sendiri.

Laporan yang diterima daripada perkampungan Kyauktaw and Maungdaw , menunjukkan seramai 150,000 penduduk hilang tempat tinggal dan kini terkandas di kem-kem pelarian di sekitar lapan buah kawasan dalam Arakan sejak lebih daripada empat bulan yang lalu.

Hampir sejuta penduduk yang terdiri daripada Rohingya, Kaman dan muslim Rakhine yang lainnya bukan sahaja terus terperangkap malah terpaksa hidup dalam ketakutan dek kerana ancaman yang mereka terima saban hari.

Situasi terbaru melaporkan pekan Taht Minbya dan Mrauk U adalah antara kawasan yang paling teruk dimusnahkan. Rumah-rumah milik Rohingya muslim di kampung Yainetay (Zula Fara)  di pekan Mrauk U dan kampung Nagara Pauktaw di pekan Minbya habis musnah dibakar.

Ada sumber dalaman dari Arakan  yang melapurkan pihak tentera dan polis tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menghentikan kekejaman oleh kaum Rakhine dan mereka maseh menghalau penduduk muslim keluar dari kampung.

Melalui kerjasama UWRO kami telahpun menerima laporan yang menggambarkan jumlah serangan yang kian meningkat. Kesemua laporan diteliti mengikut tarikh, masa, lokasi dan nama mangsa. Sebahagian daripada laporan adalah seperti berikut:

1) Kampung Parein yang mempunyai lebih daripada 500 buah rumah musnah terbakar pada 22 Oktober.

2) Paiketay Rwa (perkampungan nelayan) yang mengandungi sekitar 300 buah rumah, 50 daripadanya dibakar pada 21 Oktober.

3) Tharak Rwa di kampung Pann Mraung yang mempunyai hampir 190 rumah di dalam kawasan yang didominasi orang Rakhine, telah habis rentung  dibakar pada 22 Oktober; dan

4) Kampung Sudaine Rwa turut dibakar dan kesemua rumah rentung dibakar pada 22 Oktober

Untuk kedua-dua bandar tersebut, sumber menyatakan anggaran kematian menghampiri 100 orang, namun buat masa ini lebih daripada sepuluh yang dijumpai mati termasuk 3 orang Rakhine.

Di bandar Kyaukpyu, dua buah masjid, Anauk Paikseik (kampung nelayan barat) dan Arashi Quarter telah diserang.

Kini, penculikan, penyiksaan and rampasan harta Rohingya oleh orang Rakhine berkembang di seluruh Arakan yang turut dibantu oleh pihak polis dan sami-sami.

Rumah-rumah orang Rohingya, Kaman dan Rakhine Muslim yang berada di kampung Parien di bandar Mrauk U dan Paiketay Rwa (perkampungan nelayan), Tharak Rwa di kampung Pann Mraung, kampung Sudaine Rwa di bandar Minbya semuanya diserang dengan teruk.

Situasi di Yangon juga tidak dapat dipastikan memandangkan sami-sami telah menyebarkan risalah-risalah yang menyalahkan orang-orang Islam yang didakwa mendominasi perniagaan, pembangunan dan kepimpinan. Sumber maklumat mengesahkan ratusan sami-sami palsu bersedia untuk menyerang orang Islam di bandar Mingaladon dan Tinngangyuan.

Di samping Myanmar kini menikmati pengiktirafan dari negara-negara membangun kerana kononnya ia telah mengubah polisi dari penindasan ke atas rakyatnya sendiri. Namun Presiden Thein Sein masih sewenang-wenangnya meneruskan pelan penghapusannya terhadap etnik Rohingya.

Walaupun diplomat PBB, Nambia dan Quintana baru sahaja mengunjungi Myanmar untuk meninjau krisis ini, PBB tetap membiarkan situasi ini berterusan dan sekadar merujuk kepada boneka Pengurusan Hak Asasi Manusia Myanmar untuk membuat siasatan lanjut.  Sehingga hari ini masih tiada apa-apa usaha yang dijalankan untuk menghentikan kekejaman yang berlaku.

Krisis semasa ini mendesak OIC dan PBB untuk mengambil tindakan segera. Tiada kunjungan diplomatik setakat ini yang mampu meredakan krisis yang berterusan di Myanmar.

Kami menyeru Tentera Pengaman Khas  PBB diwujudkan segera dan dihatar segera ke Myanamr demi melindungi komuniti Rohingya.

Pengumuman baru-baru ini oleh ketua Muslim di Yangon yang menyatakan keputusan untuk tidak melaksanakan Qurban mencerminkan keterdesakan dan kerumitan yang dihadapi oleh Muslim di Myanmar.

Oleh itu, kami menyeru Muslim di seluruh dunia untuk menunjukkan sokongan kepada orang Rohingya dan mendesak OIC untuk menghantar delegasi khas pada hari Raya Aidul Adha dan menuntut Kerajaan Myanmar untuk melindungi orang Rohingya dari serangan yang berterusan ini.

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiusaha Agung MAPIM

Ghiyathudeen Abdul Salam
Setiausha Agung UWRO

Tersepit satu jam dihempap balak

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan pemandu lori balak yang tersepit dalam kemalangan di Bukit Tangga, Seremban semalam.

SEREMBAN – Seorang pemandu lori balak terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam akibat dihempap beberapa batang kayu balak yang terjatuh selepas kenderaan berat yang dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Pantai-Jelebu di Bukit Tangga di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku apabila lori yang dipandu mangsa yang belum dikenal pasti identiti bersama seorang kelindan, V. Radakrishnan, 48, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh lereng bukit laluan berkenaan.

Kelindan lori terbabit bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Difahamkan, lori balak berkenaan yang dalam perjalanan dari arah Jelebu menuju ke Seremban hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum melanggar lereng bukit terbabit.

Pegawai Operasi Kanan Bomba Seremban, A. Gonaselan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3 petang dan sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 3.27 petang.

Kosmo

Azizan kata beliau berjaya tadbir Kedah

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Azizan Abdul Razak
Azizan Abdul Razak 
 
ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau telah berjaya mentadbir Kedah tanpa banyak masalah dan berharap untuk terus mentadbir negeri ini sehingga pilihan raya akan datang.
  
"Syukur kerana saya dah pertahan Kedah tanpa sebarang kegagalan. Saya dapat ketuai bala tentera saya untuk memerangi musuh, musuh politik saya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
  
Azizan berkata Kedah juga merupakan negeri dikuasai pembangkang yang paling kurang "diganggu".
  
"Saya tengok surat khabar, di Kelantan, Selangor hampir setiap hari orang dok usik. Di Pulau Pinang dulu pun selalu. Saya takde masalah. Saya harap semua projek kerajaan negeri terlaksana dengan baik," katanya yang akan berusia 68 tahun esok.
  
Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan membina lebih banyak projek perumahan selain projek perumahan oleh kerajaan pusat yang merancang membina 2,000 rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu 1,000 di Changlun dan 1,000 lagi di Kota Setar.
  
"Di peringkat negeri BDB (anak syarikat kerajaan negeri Bina Darulaman Berhad) akan mula bina (rumah) di Sungai Petani dan Kuala Ketil. Di Pokok Sena pula oleh Seri Temin (satu lagi anak syarikat). Di Kubang Pasu pun ada tetapi lambat sikit kerana kita kena buat perancangan baharu," katanya. - Bernama

Haji Mabrur Bukan Marlboro

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Saya masih terngiang-ngiang kata-kata pembimbing haji ketika di Makkah tahun lalu, kalau tidak buat haji betul-betul yang dapatnya haji marlbaro bukan haji mabrur. Dengarnya kelakar tetapi setelah berada di tanah air sekarang, baru terasa benar kata-katanya.
 
Rupa-rupanya untuk dapatkan haji mabrur tidak semudah tuturan lidah. Banyak halangan dan rintangan yang perlu ditempuh. Ada latihan yang perlu dilalui dan ada ujian yang mesti diterima. Kalau semua itu dapat dikecapi dengan sempurna, peluang mendapat haji mabrur itu agak cerah.
 
Sebenarnya cabaran yang getir bagi jemaah haji ialah semasa berada di Mina untuk acara melontar tiga jamrah. Jemaah berasak-asak pada hari ke 10 Zulhijjah ke jamrah aqabah untuk membolehkan mereka melepasi tahallul awal. Waktu melontar disertakan doa:  
 
عَنْ زَيْدٌ أَبُو أُسَامَةَ   قَالَ : " رَأَيْتُ سَالِمَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ عُمَرَ ، اسْتَبْطَنَ الْوَادِيَ , ثُمَّ رَمَى الْجَمْرَةَ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ ، يُكَبِّرُ مَعَ كُلِّ حَصَاةٍ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُورًا وَذَنْبًا مَغْفُورًا وَعَمَلا مَشْكُورًا ، فَسَأَلْتُهُ عَمَّا صَنَعَ , فَقَالَ : حَدَّثَنِي أَبِي ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْمِي الْجَمْرَةَ فِي هَذَا الْمَكَانِ ، وَيَقُولُ كُلَّمَا رَمَى بِحَصَاةٍ مِثْلَ مَا قُلْتُ " .
 
Zaid Abu Usamah berkata aku melihat Salim bin Abdullah bin Umar memasuki Mina, kemudian dia melontar jamarat sebanyak tujuh biji batu kerikel, dia bertakbir setiap kali melontar; Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahumaj-‘alhuhajjan mabrura, wazamban maghfura wa amalan masykuran. Maka aku bertanya tentang apa yang dilakukannya. Dia berkata bapaku menceritakan bahawa Nabi SAW melontar jamarat di tempat ini, dan dia membaca setiap kali melontar seperti yang aku baca.” (Riwayat al-Baihaqi)
 
Hari ke 11 hingga ke 13 mereka masih berkampung di Mini untuk melengkapkan wajib haji. Ketiga-tiga jamarat; ula, wusta dan aqabah perlu dilontar setiap hari. Amalan yang sama akan dilakukan setiap kali melontar jamrah. Doa yang sama perlu dibaca. Namun siapa dalam kalangan jemaah haji yang dapat menghayati doa itu.
 
“Allah maha besar 2x, ya Allah jadikan lontaran itu haji yang diterima sebagai baik dan jadikan juga lontaran itu dosa yang diampunkan, dan jadikan juga lontaran itu sebagai amalan yang disyukuri.” Demikian maksud doa yang jemaah patut membacanya. Cuma persoalannya sewaktu membacanya apakah mereka faham.
Biasanya jemaah haji diajar supaya berniat merejam syaitan waktu melontar jamrah itu. Tetapi berapa banyak syaitan yang telah berjaya dilontar? Tidak salah kita niat begitu tetapi kalau kita niat mencampak dosa kita tentu lebih baik dan relevan. Kalau dosa kita berjaya dicampak ke dalam jamarat sudah tentu kebaikan dan pahala akan bertambah. Inilah yang dijamin Rasulullah dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ , أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةُ مَا بَيْنَهُمَا , وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةَ "
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Umrah ke satu Umarah menghapuskan dosa antara keduanya, dan Haji yang mabrur (baik) tiada baginya balasan kecuali syurga.” (Riwayat al-Hakim)
Saya percaya kalau semua jemaah haji dapat merealisasikan amalan di Mina sudah cukup untuk mendidik mereka menjadi orang yang baik di Tanah Haram dan di tanah air. Ini belum dicampur dengan amalan dan ujian semasa di Arafah dan Muzdalifah dan Kaabah. Ujian dan cabaran di tiga tempat masyair tersebut boleh menambah nilai haji mereka di sisi Allah.
 
 Ahmad Baei Jaafar/-

Jemaah haji mula bergerak ke Mina

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -




MEKAH – Lebih dua juta jemaah haji mula menunaikan ibadah haji yang secara rasmi bermula semalam selepas tiba di Mekah seminggu lalu.

Jutaan jemaah kini menuju ke Mina untuk bermalam sebelum menuju ke Arafah bagi menunaikan wukuf
Antara mereka termasuk 28,000 jemaah haji Malaysia yang mula bergerak ke Mina dan Padang Arafah untuk berwukuf esok.

Jalan-jalan utama di kota Makkah kini sesak teruk dengan kenderaan yang membawa jemaah haji dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah berkenaan. 

Pergerakan jemaah haji Malaysia bermula pada pukul 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) melalui perjalanan sejauh 20 kilometer.

Jemaah haji Malaysia menuju ke Mina dan Arafah dengan menaiki bas dengan perjalanan tersebut berakhir pukul 12 tengah malam tadi. 

Pengurus Media Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar berkata, 800 petugas Tabung Haji digerakkan secara berperingkat seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan persedian awal dilakukan bagi menerima ketibaan jemaah haji Malaysia.

Dalam pada itu, kebanyakan jemaah haji sudah mula menuju ke Mina pada malam kelmarin selepas selesai melakukan tawaf mengelilingi Kaabah.

Kerajaan Arab Saudi yang memberi keutamaan kepada keselamatan para jemaah telah mengerahkan beribu-ribu anggota keselamatan di Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi kelmarin memberitahu, kesemua jemaah haji bergerak ke Mina dengan lancar tanpa sebarang halangan. – Agensi

Kisah menarik gadis genit Cina peluk Islam

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Loo Jo Yee ketika ditemubual di TV Al-Hijrah..


Kisah Loo Jo Yee : Gadis Cina 17 Tahun Memeluk Islam.

Loo Jo Yee adalah seorang gadis berusia 18 tahun dari etnik Cina di Malaysia. Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Loo Jo Yee sebenarnya telah memeluk Islam ketika masih berusia 17 tahun. Disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula umur 18 tahun sahaja, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan tersebut sehingga umurnya mencecah usia 18 tahun sekarang.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang ini, seseorang muallaf sudah tidak perlu menukar nama kepada nama Islam, dan hanya perlu ber'binti'kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa. Maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.

1. Jo Yee mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam memeluk agama Kristian. Namun, untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam. Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar. Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

2. Jo Yee pernah disyaki menghidap penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda. Rakan-rakan Islam Jo Yee banyak memberi galakkan kepada beliau untuk cuba memohon doa kepada Allah Taala. Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan beliau terus mengucap 2 kalimah syahadah serta-merta. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Selepas bergelar muallaf, banyak dugaan yang Jo Yee terpaksa terima. Beliau dipulau rakan-rakan dan keluarga tercinta. Tapi, beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Beliau juga merasa terharu kerana telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun, sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga jauh tersasar. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

P/S: Orang bukan Islam pun boleh tertarik dengan Islam. Kenapa kita ni masih lalai dan jauh dari-Nya? Adakah kita hanya Islam sebab keturunan yakni Islam otomatik?
Nauzubillah..

harakah/-

Pelajar maut tengkuk patah ditindih rakan

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -



ALOR GAJAH – Perang mulut antara dua pelajar berlainan sekolah yang sering ejek-mengejek antara satu sama lain ketika menunggu dan menaiki bas sampai ke kemuncaknya apabila salah seorang daripada mereka mati selepas tengkuknya patah akibat ditindih dengan lutut semalam.

Kejadian pukul 2.30 petang di stesen bas Pulau Sebang, Tampin di sini itu mengakibatkan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Pulau Sebang, K. Saravannan, 14, maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin.
Ekoran itu, polis menahan dua pelajar masing-masing berusia 14 tahun empat jam kemudian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh. Sabit kesalahan, mereka boleh dihantar ke pusat tahanan Henry Gurney, Melaka untuk satu tempoh yang ditetapkan mahkamah.

Kedua-dua suspek merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansur Shah di sini. Kedua-dua sekolah itu terletak bersebelahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd. Rahman Jid berkata, pergaduhan tercetus apabila mangsa yang sedang melepak di tingkat satu bangunan itu sementara menunggu bas untuk pulang ke rumah ibu saudaranya di Rembia di sini didatangi dua suspek berkenaan.

Kosmo

Tangkap ular sawa tiga meter bawah kontena

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 
KUALA LUMPUR: Seekor ular sawa sepanjang tiga meter ditemui di bawah sebuah kontena di Jalan Khatib Koyan, Kampung Baru, di sini, Isnin lalu.

Reptilia berkenaan ditemui penduduk sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Penduduk, Rohany Mohd Darus, 71, berkata, sebelum ini haiwan liar seperti ular jarang dilihat di kawasan itu, bagaimanapun sejak beberapa projek pembangunan termasuk lebuh raya dibina di situ, haiwan berkenaan dipercayai cuba mencari perlindungan di kawasan kampung.

“Anak saya pernah tangkap tiga ular sawa dan digigit ketika cuba melawan reptilia itu,” katanya. Seorang lagi penduduk, Umar Hamid, 75, berkata, sejak kawasan itu didatangi spesis ular berkenaan, rumahnya tidak lagi diganggu tikus.

“Mungkin ular itu lari dari kawasan pembangunan dan mula ‘berkampung’ di sini kerana saya dapat lihat kesan lubang yang banyak di sepanjang tebing Sungai Bunus,” katanya ditemui semalam.

Pengerusi Jiran Wanita Rukun Tetangga Hujung Pasir, Maizan Ariff berkata, dia sering menerima aduan penduduk dan berpendapat ular terbabit bersarang di rumah seorang penduduk di situ.

“Kami temui kulit ular sawa di sebuah rumah penduduk namun tidak dapat melancarkan operasi menangkap ular itu bersama JPAM kerana pemilik tiada.

“Isnin lalu ular sepanjang tiga meter ditangkap di bawah kontena dan kejadian ini menyebabkan kami berasa tidak selamat kerana kawasan ini ramai kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM, Kolonel (PA) Mohd Yusoff Samad berkata, faktor kebersihan penting di samping kesedaran awam terhadap haiwan berkenaan.

“Orang ramai perlu bertenang jika terserempak ular dan segera hubungi pihak yang sepatutnya,” katanya.

metro/-

BN - Dari tanah kamu datang, kepada tanah kamu kembali

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Sebelum kita jawab Dato Najib- kita komen sedikit mengenai kenyataan Dr Mahathir. the man who can walk on water. setelah 55 tahun, dibawah pemerintahan UMNO, Dr Mahathir kata orang Melayu mengemis ditanah air mereka sendiri. Adakah keadaan demikian disebabkan oleh PAS, PKR dan DAP? Atau adakah keadaan orang Melayu itu disebabkan kesemulajadian mereka iu berbangsanya Melayu?

Mahathir akan mengatakan all of the above. Its in the genes. Melayu bodoh kata Dr Mahathir.

Keadaan orang Melayu jadi begini adalah disebabkan kepimpinan mereka. Dan hampir seluruh tempoh hidup orang Melayu dizaman moden ini, mereka diperintah oleh UMNO. Inginlah saya mengulangi apa yang pernah dinyatakan oleh Pendita Zaaba puluhan tahun yang lampau- seolah olah penulisan Zaaba menggambarkan apa yang akan dilakukan oleh UMNO

Maka keadaan kehidupan anak2 Melayu sekarang……mereka telah kena perabdikan dan kena picit dan perah dan ramas ditangan pemerintah2 nya –iaitu pemerintah2 daripada bangsa mereka sendiri.
Tidak syak lagi yang dimaksudkan oleh Pendita Zaaba ialah UMNO!.

Dr Mahathir tidak berhenti daripada membodohkan orang Melayu. Yang pegang kuasa ialah UMNO dan 22 tahun darinya di pegang oleh Dr Mahathir sendiri. Masa nya sudah tiba kita buangkan rasa sentimentalism terhadap UMNO yang telah merompak kekayaan negara dan melanun kekayaan negara. Yang kaya ialah Melayu terpilih.

Yang memegang kuasa ialah UMNO dan gerombolan penyamun BN. suatu hari dirumah Dato Najib , dia memberitahu saya Dr Mahathir menyamun kekayaan negara melalui projek lebuhraya, projek pelabuhan, projek IPP. Tun Musa Hitam berpendapat Dr Mahathir tidak ada perasaan malu bila menyatakan bahawa pemimpin negara ini korap dari yang paling atas sampai kebawah. Sedangkan yang memulakan budaya merasuah ialah Dr Mahathir sendiri. 

Tun Daim beritahu saya- sejarah akan menghukum Mahathir dari satu sudut sahaja, iaitu rasuah yang berluasa. History will judge Mahathir in the end on his record of incubating and nurturing rampant corruption. testimony Mahathir bahawa Ling Liong Sik tidak berupaya menipu negara adalah bahan ketawa. Tun Daim juga beritahu saya, macam mana kita mahu benteras rasuah, jika sogokan wang sudah menyampai kepada pemimpin yang tertinggi.

Segala masaalah dan malapetaka, rasuah, kegawatan ekonomi disebabkan oleh UMNO. Apa yang akan buat kita percaya yang gagal dibetulkan oleh UMNO selama 55 tahun, boleh ia lakukan dalam masa 5 tahun? UMNO tidak ada rekod untuk menyokong janji2 mereka. Yang mungkir janji ialah UMNO. Yang membuktikan mereka boleh memenuhi janji ialah semua negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat. Maka sayugialah rakyat menyokong Pakatan Rakyat dan membenamkan UMNO.

Rakyat Selangor umpamanya tidak pernah diberitahu bahawa kajian yang dijalankan oleh UM menunjukkan hanya 29% sahaja responden percaya BN boleh merampas balik Selangor. kenapa rakyat Selangor mahu mengembalikan negeri ini dalam tangan lanun dan perompak?

bukan kah UMNO yang menjalankan dasar ekonomi yang menyebabkan 40% dari penduduk negara ini mempunyai pendapatan kurang dari RM1500 sebulan? Dan 75% dari kumpulan tersebut ialah orang Melayu? 8 juta lebih Melayu mempunyai pendapatan kurang dari RM1500 dan itu adalah hasil dasar dan kepimpinan UMNO. Marilah kita sama sama menghantar semua lanun dan perompak ini ke Sungai Buloh dan jadikan mereka B1M!- Banduan 1 Malaysia.

Bukankah dasar ekonomi Najib yang disebutkan sebagai Model Ekonomi Baru itu sebenarnya adalah lanjutan dari dasar ekonomi penindasan Dr Mahathir? menindas majority orang Melayu dan mengayakan segelintir Melayu terpilih? Antara yang terpilih ialah anak Dr Mahathir sendiri yang kaya raya bahkan seorang dari nya boleh membina ruang pameran kereta Ferari bernilai RM20 juta. Orang yang buang tebiat akan meyebut seperti yang dinyatakan oleh Mahathir. dan Mahathir disertai oleh geng2 lama perompak negara seperti Sanusi Junid dan lain lain.

Nanti lah kita akan mengupas apa Dr Mahathir kata dalam artikel yang lain. Let us deal with the political invertebrate Najib Razak for now.

Dato Sri Najib kata orang Melayu benci dengan DAP. Kita boleh jawab awal dan tidak perlu tanya Tunku Aziz. Yang benci adalah mereka yang termakan dakyah UMNO. Yang benci ialah mereka yang berfikiran sempit. Pemimpin UMNO takkanlah menyukai parti yang akan membenamkan geng perompak nya. Yang membenci ialah mereka yang tidak faham politik dan lupa bahawa daripada 29 juta rakyat Malaysia, hampir 19 juta orang Melayu. UMNO ingat 16 juta orang Melayu yang lain itu, penakut dan bacul macam mereka.
Yang benci ialah mereka yang lupa, kalau 1 orang UMNO kecundang, ada 6 orang lagi Melayu yang terus hidup. Melayu tidak memerlukan UMNO.

Kenyataan Najib tidak mengherankan dan bukan nya sesuatu yang baru. Mustahil kita akan dengar Najib menyatakan perkara yang baik mengenai DAP. Pada pandangan Najib, DAP itu parti cauvinis cina. DAP mahukan negara repablik. DAP akan menguasai politik Malaysia. DAP mengkuda semua parti politik yang lain. Pendek kata, Najib mengulangi penceritaan lapuk dan basi terhadap DAP. Inilah standard pemikiran dari seorang pemimpin yang penakut dan kurang cerdik.

Apa yang tidak dikemukakan kepada rakyat Malaysia, ialah alasan2 rasional kenapa orang Melayu mesti membenci DAP. Najib tidak mampu berbuat demikian selain dari mengkakaktuakan apa yang dinyatakan oleh pecacai UMNO yang lain.

Bolehkah kita harapkan apa2 yang besar dan menakjubkan dari pemimpin yang penakut dan kurang cerdik?
Apabila saya ceramah, takkanlah saya hendak ceritakan kebaikan UMNO. Tentulah saya mengambil kesempatan mendedahkan keburukan pemimpin UMNO yang merugikan orang Melayu. Menyokong UMNO akan membawa bangsa Melayu rebah dan negara kita musnah. Menyokong UMNO bererti menyokong gerombalan pencuri dan perompak.

Maka, bila Najib bercakap, sudah barang tentu tidak ada apa2 baik untuk diberitahu mengenai DAP, PKR dan Anwar Ibrahim, serta PAS. Tapi, marilah kita dedahkan sebab2 sebenar Najib berkata demikian. Kita tidak perlu tanya apa2 dari Tunku Aziz. Biarkan Tunku Aziz dengan leteran kebangsawanan nya. Itu pun sebab utama Tunku Aziz keluar DAP- dia ada sense of over inflated importance. Bila perasaan demikian tidak dipedulikan atau tidak dilihat begitu penting, tergurislah hati aristokrat itu. yang lain dalam DAP tidak ada perasaan demikian. Kita tak kira itu semua.

Ketakutan. Ketakutan yang amat sangat menyebabkan Najib melatah seperti orang tidak siuman. Saban hari Najib melihat UMNO kian keseorangan. Gerakan berada diambang maut dengan 2 kerusi parlimen nya. MCA dengan 15 kerusi akan kecundang teruk. MIC dengan 3 kerusi nya hanya kerana ehsan UMNO. PPP ialah Parti Peminta Sedekah. UMNO dengan 79 kerusi nya pun dalam keadaan cemas. Kerana apa? Kerana undi dan sokongan cina berpindah kepada DAP. Undi orang Melayu berpindah kepada PAS. Undi golongan menengah pergi ke PKR.

Dimana datang sokongan untuk UMNO dan BN? ia datang dari warga negara segera- rakyat Bangla, Nepal, Myanmar, Cambodia. Inilah dia parti yang berjuang Hidup Melayu dan Agama, Bangsa dan Tanah Air. Akhirnya UMNO melacur maruah dan mengkhianati negara dengan menjual kerakyatan kerana mahu mengekalkan kuasa.

Najib melihat sokongan masyarakat Cina kepada nya merosot dengan teruk. Dan penyebab utama kemerosotan sokongan tersebut ialah DAP. Hari ini DAP telah menguasai 80-90% sokongan masyarakat Cina. Ini akan menyebabkan BN akan hilang lebih banyak kerusi dimana dalam kawasan parlimen itu ada sekurang kurangnya 40% orang Cina.

Najib juga tahu bahawa MCA sduah tidak terdaya menahan penghijrahan sokongan orang Cina.
Kedua, Najib tidak faham. Masakan orang kurang cerdik faham bahawa sokongan orang Cina bukan disebabkan chauvinism dan ekstremism. Orang Cina memperakui bahawa ini negara majority nya Melayu dan orang Melayu akan terus menguasai politik. Orang Cina bukan beroperasi atas chauvinism tapi menginginkan kerajaan yang telus, demokratik, menjalankan dasar2 ekonomi yang adil,mahukan sebuah negara yang menghormati undang2. UMNO dan BN mempunyai rekod buruk dalam kesemua perkara ini dan sebab2 ini yang menyebabkan orang Cina tidak mahu lagi menyokong UMNO, MCA atau parti2 BN yang lain.

Najib ingat orang cina beroperasi atas perasaan ekstrim dan bersangkaan bahawa orang menyokong DAP dan membenci dan berniat jahat keatas bangsa lain terutama bangsa Melayu. Sebab itu DAP dituduh mahu menubuhkan repablik dimana institusi Raja Melayu dihapuskan, apa2 kepentingan bangsa Melayu dihapuskan dan seumpamanya.

Sebab sebenarnya orang Cina menyokong DAP ialah kerana parti tersebut tidak bacul dan tidak perlu menggunakan isiu emosional seperti MCA. DAP is fearless. Sebagai sebuah parti yang fearless, DAP boleh memahami atas prinsip apa orang PAS beroperasi. Kerana itu PAS dan DAP saling menghormati. Demikian juga DAP memahami PKR. DAP boleh memahami parti2 dimana pemimpin nya berani masuk jel, di ISAkan, ada yang dibunuh, serta dipenjarai. DAP boleh faham ketokohan parti2 yang berani berjuang dan berkorban.

Berani berjuang dan berkorbanlan yang menyebabkan orang Cina menyokong DAP. Orang Cina yang menikmati lebih demokrasi dan oleh itu memiliki lebih pilihan melihat MCA parti yang penakut dan lembik memperjuangkan isiu2 yang melibatkan kepentingan orang Cina. Dan cubaan MCA menjuarai isiu kepentingan cina disaat akhir sudah tidak berguna lagi. Orang Cina tidak ada isiu dengan hudud. Orang Cina sedar itu isiu orang Melayu yang beragma Islam. Orang Cina tahu, walaupun mereka bukan Islam, tapi hak dan kepentingan mereka akan dihirmati dan dilindungi.

harakahdaily/-

Rumah: Dakwaan Donald Lim tidak berdasarkan fakta

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berpandangan dakwaan Datuk Donald Lim tidak berdasarkan fakta, tidak cermat, mengelirukan dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang timbalan menteri.

Ini ekoran Donald Lim selaku Timbalan Menteri Kewangan yang juga Pengerusi MCA Negeri Selangor telah mendakwa di lobi Parlimen pada 22 Oktober lepas bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak membina rumah mampu milik.

Menurut Iskandar, rakyat sedia maklum akan projek-projek perumahan rumah mampu milik yang dibina di Negeri Selangor sama ada oleh kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri atau pemaju-pemaju swasta.

Katanya, kerajaan negeri sedia ada telah menggalakan pemaju-pemaju membina rumah mampu milik di kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk dibina rumah kos rendah atau di mana tidak ada permintaan untuk rumah kos rendah.

“Beberapa siri lawatan telah turut saya lakukan untuk projek-projek tersebut malah harga  jualan rumah mampu milik di Selangor adalah di antara RM85,000 hingga RM150,000 iaitu jauh lebih rendah dari projek rumah mampu milik kerajaan Persekutuan, Prisma yang dijual sehingga RM300,000.

“Walau bagaimanapun saya hanya akan mengumumkan senarai projek-projek rumah mampu milik yang sedang dibina dan yang telah diluluskan pada 1 November 2012 untuk memberi peluang kepada Datuk Donald untuk menarik balik dakwaan beliau,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan jika Donald Lim gagal, maka tidak ada pilihan lain selain daripada meletakkan jawatan.

harakah/-