17 Mac 2013

Noryn, Yatt dan Najwa meriahkan Karnival Wanita Kelantan

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Artis Noryn Aziz, Yatt Hamzah dan Najwa Latif, telah memeriahkan majlis Karnival Wanita Kelantan Peringkat Negeri Kelantan.

Program yang diadakan di Kelantan Trade Center itu anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

Noryn Aziz menyampaikan dua buah lagu ‘Mutiara’ termasuk sebuah lagu baru ketuhanannya yang bertajuk ‘Tinta Putih’.

Najwa pula menyampaikan tiga buah lagu hitsnya termasuk lagu ‘Kosong’.

Sementara itu, Yatt pula tampil dipentas bicara santai bersama Noryn dan Najwa.

Kupasan yang diberikan banyak berkisar penghijrahan masing-masing kecuali Najwa yang menceritakan bagaimana beliau mula dikenali di Youtube.

Noryn ketika berucap di majlis itu berharap penghijrahannya akan berkekalan buat semalamanya kerana ketenangan begitu dirasai sejak berhijrah.

“Noryn memohon pada semua supaya turut mendoakan semoga Noryn sentiasa istiqamah dalam penghijrahan ini,”ujarnya.

Bagi Yatt, hijrah sahaja belum mencukupi sekiranya tidak ditambah dengan ilmu.

Kerana itu menurutnya, beliau sering mengikuti kuliah agama yang disampaikan oleh beberapa orang tokoh ulamak.

Noryn terkenal sebagai artis irama jazz sering muncul membuat persembahan di majlis-majlis koprat.

Najwa Latif pula melahirkan rasa terima kasih kepada seorang bloger yang memuatkan kisah berhubung dirinya sehingga membuatkan tontonan youtube nyanyiannya meningkat lebih 2,000 permulaannya.

“Saya tahu sekiranya kisah saya tidak ditulis oleh seorang abang dalam blognya, saya yakin saya tidak akan dikenali masyarakat,”ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, ketika berucap pada majlis itu memberitahu penghijrahan para artis, tidak bererti berkuburnya kerjaya mereka sebagai seorang artis.

Menurutnya, masih banyak ruang yang boleh mereka ceburi dalam bidang itu, kerana seni dan hiburan tidak dihalang oleh Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam.

Katanya, kerajaan negeri menganjurkan pertandingan Wanita Kelantan Got Telent 2 khusus untuk mencungkil bakat baru disamping untuk memberi peluang mereka berhibur secara tertutup.

Sementara itu, Tuan Nor Fatin Tuan Yusof, muncul johan dalam pertandingan itu dengan lagu Nirmala yang dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza.

Manakala johan tarian pula dimenangi Kumpulan Jastera dari Kota Bharu.

Program ini diadakan disebelah pagi, dimana Noryn Aziz sebagai ketua juri.

Sempena majlis ini juga diadakan demontrasi tudung oleh perunding imej Mastura Mansur dari Profesional Trainer Training International Sdn Bhd dan Yatt Hamzah.                                                                                 

Sambutan penyertaan pertandingan tahun ini begitu meningkat berbanding tahun lalu sehingga 100 peratus apabila 75 peserta memohon untuk mengambil bahagian.

Turut berucap pada majlis itu, Anggota Dewan Negara, Khairiah Mohamed.

Hadir sama, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim dan Pengarah Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Zainiah Halim.

Harakahdaily/-

Foto intim mirip Anwar sudah dijangka, taktik basi serang Pakatan

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Haniza Mohamed Talha

Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Mohamed Talha
Ng Suee Lim

Ng Suee Lim
SHAH ALAM – Penyebaran gambar perlakuan intim seorang lelaki yang didakwa mirip Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai taktik basi digunakan pihak lawan untuk ‘menyerang’ Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Mohamed Talha mendakwa, taktik itu sudah diketahui umum memandangkan ia kerap dimainkan menjelang pilihan raya umum (PRU) dan orang ramai juga sudah boleh ‘menghidu’ dalang di sebalik penyebaran gambar berkenaan.

“Ia sudah jadi tidak relevan lagi. Biar mereka (individu tidak bertanggungjawab) buat selalu (perkara sebegini). Kelak rakyat sendiri akan jemu dan menolak mereka.

“Tindakan mereka itu ibarat sudah musnahkan masa depan politik sendiri,” katanya ketika diminta mengulas berhubung satu blog yang memuatkan entri memaparkan 13 gambar perlakuan intim seorang lelaki mirip Anwar dengan seorang lagi lelaki lain.

Haniza yang juga Adun Taman Medan mendakwa, pihak yang tidak bertanggungjawab itu tidak mempunyai modal lain dan terdesak sehingga terpaksa mengeluarkan gambar berunsur lucah untuk menjatuhkan PR.

Beliau bagaimanapun yakin PR tidak akan tergugat dengan 'serangan' ini memandangkan rakyat sudah muak dengan taktik tersebut.

“Sepatutnya dalam politik, kita kena tumpukan kepada perkara berkaitan dasar dan polisi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya menggunakan politik durjana," katanya.
Timbalan Setiausaha DAP Negeri, Ng Suee Lim berkata, PR sudah menjangka serangan taktik kotor akan menjadi semakin rancak digunakan pihak tidak bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), terutama terhadap Anwar.
“Ini kerana, beliau (Anwar) yang kita (PR) tonjolkan sebagai ketua umum dan bakal perdana menteri jika PR berjaya membentuk kerajaan dalam PRU akan datang.

“Sejak 15 tahun lalu, beliau sudah jadi sasaran utama parti politik, penulis blog dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memihak kepada PR untuk menyerang beliau antaranya isu liwat I dan II, kemudian dikait dengan video seks bersama seorang wanita,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, ia bukan perkara baru yang dilakukan pihak tertentu, sebaliknya mereka yang terlibat hanya ‘kitar semula’ isu berkenaan.

“Ini satu tindakan tidak bermaruah dan politik kotor kerana tiada fakta yang jelas untuk membuktikannya. Sepatutnya, dalam politik ini, kita hanya ‘bertempur’ dari segi idea, bukan dengan cara seperti ini.

“Saya percaya, rakyat kini sudah bijak menilai mana (perkara) yang betul,” katanya.

Sinar harian/-

Hadi: Pas tanding 76 kerusi parlimen, tambah 10

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
KUALA TERENGGANU – Pas dijangka bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Jumlah kerusi yang dinyatakan itu juga menunjukkan pertambahan sebanyak 10 kerusi kepada Pas berbanding pilihan raya umum sebelumnya yang menyaksikan parti itu bertanding di 66 kerusi parlimen sahaja di seluruh negara.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan merujuk bahawa pihaknya akan bertanding lebih satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen bagi memastikan Pas menjadi teras politik negara untuk menggantikan Umno.

Berdasarkan pertambahan kerusi yang disebutkan itu juga, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan berlaku pertambahan kerusi lain melebihi 76 buah sekiranya terdapat perubahan yang menyebelahi parti itu pada saat-saat akhir.

“Kita kena ingat kerusi parlimen seluruh Malaysia ada 222. Daripada jumlah itu, saya hendak beritahu, insya-ALLAH Pas akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi.

“Kita bertanding lebih satu pertiga daripada jumlah kerusi parlimen yang dipertandingkan seluruh negara. Insya-ALLAH mungkin akan ada lagi (pertambahan kerusi) jika rakan-rakan kita dalam PR memberi lagi kerusi kepada kita untuk bertanding,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Chabang Tiga, di sini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Marang itu mengulangi kenyataannya supaya mana-mana pihak tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa DAP bakal menerajui negara sekiranya PR menang pada PRU13.

Abdul Hadi berkata, dengan jumlah kerusi yang dipertandingkan parti itu, DAP masih belum layak untuk menerajui pentadbiran kerajaan.

“DAP bertanding dalam 50 hingga 60 kerusi dan jika dia boleh menang 50 kerusi pun, masih tidak boleh hendak memerintah Malaysia ini.

“Oleh itu, usahlah terpengaruh dengan dakyah Umno-Barisan Nasional (BN). Mereka letak calon bukan Melayu di 21 kerusi majoriti orang Melayu. Umno telah beri kerusi kepada MCA, MIC dan Gerakan,” katanya.

Sinar harian/-

330 juta pengguguran kandungan di China

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


330 juta pengguguran kandungan di China
Peraturan satu anak hadkan pertambahan penduduk

BEIJING: Hampir 330 juta pengguguran dilakukan di China dalam tempoh 40 tahun sejak pertama kali pelaksanaan langkah untuk mengehadkan pertambahan penduduk di negara dengan jumlah populasi terbesar di dunia itu, kata data rasmi. 

China mengumumkan perubahan struktur dalam sistem perancangan keluarganya yang menyelia dasar seorang anak ketika mesyuarat tahunan mengenai perundangan kebangsaan di Beijing yang sedang berlangsung. 

Selepas perubahan itu, China akan mematuhi dan meningkatkan dasar perancangan keluarga”, Ma Kai, Setiausaha Agung Majlis Negara, Kabinet China

Data yang disiarkan melalui halaman web kementerian kesihatan awal tahun ini menunjukkan bahawa mulai 1971 sebaik saja China mula menggalakkan penduduknya mengurangkan anak, sejumlah 328.9 juta pengguguran sehingga 2010 dijalankan di negara itu yang mempunyai sejumlah 1.35 bilion penduduk.

Pembangunan ekonomik

China berkata dasar seorang anak yang diperkenalkan mereka awal 1980-an menghalang lebihan penduduk dan meningkatkan pembangunan ekonomik. Dasar terbabit mengecualikan beberapa keluarga luar bandar, etnik minoriti dan pasangan yang kedua-dua adalah anak tunggal.

Bagaimanapun gesaan supaya sekatan itu dihentikan semakin meningkat berikutan kadar buruh negara itu yang kian berkurangan selain bertambahnya golongan tua. Kumpulan hak asasi kemanusiaan mengkritik apa yang disifatkan mereka sebagai langkah penguatkuasaan keras. 
Di bawah dasar berkenaan, keluarga di bandar biasanya dibenarkan untuk memiliki hanya seorang anak manakala keluarga di luar bandar boleh memiliki anak kedua jika anak pertama mereka adalah perempuan. Mereka yang melanggar peraturan itu akan dikenakan denda.

Ahad lalu, kerajaan mengumumkan penggabungan Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Agensi Penduduk Kebangsaan yang memantau dasar terbabit bersama kementerian kesihatan dalam satu langkah yang disifatkan media tempatan sebagai bertujuan meningkatkan dan bukan mengabaikan dasar seorang anak.

“Selepas perubahan itu, China akan mematuhi dan meningkatkan dasar perancangan keluarga,” kata Setiausaha Agung Majlis Negara, Kabinet China, Ma Kai yang dipetik agensi berita rasmi Xinhua, ketika langkah itu diumumkan.

Langkah itu termasuk dalam satu laporan mengenai penstrukturan semula kerajaan dibentangkan kepada Kongres Penduduk Kebangsaan yang akan mengakhiri tahunannya pada Ahad ini. - AFP

Militan Sulu mungkin guna ilmu sihir

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Shamsuri Shafie

Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Shamsuri Shafie
KOTA BHARU- Desas-desus tentang penggunaan ilmu hitam atau sihir oleh militan Sulu mungkin ada kebenarannya.
Perkara ini diakui Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Shamsuri Shafie tidak menolak kemungkinan wujudnya amalan sihir di sebalik konflik melanda negara lebih sebulan lalu itu.
“Memang maklumat dari sumber yang boleh dipercayai mengatakan sihir dan ilmu hitam adalah amalan mereka untuk mempertahankan diri dan menjadi kebal.
“Malah saya difahamkan ada dalam amalan yang memerlukan mereka berendam semalaman dengan bacaan mantera tertentu mungkin untuk mendapatkan kekebalan dan menyebabkan tentera kita tidak nampak kewujudan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Tidak menafikan setiap kejadian berlaku dengan izin Allah, Shamsuri yang juga pengamal perubatan Islam berkata, amalan sihir sememangnya wujud walaupun mempercayainya adalah syirik.
Menurutnya, militan Sulu sedar mereka kekurangan dari segi kelengkapan kerana itu mencari kekuatan lain untuk mempertahankan diri, menyebabkan mereka memilih mengamalkan sihir dan ilmu hitam bagi mendapatkan kekebalan diri.
Menasihatkan agar tentera negara di perbatasan sentiasa mengingati Allah dan tidak leka, Shamsuri berkata, amalan- amalan sihir ini mampu ditundukkan dengan ayat-ayat suci al-Quran.
“Kita nak berperang kena ingat Allah, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita.

Baca doa, atau ayat- ayat tertentu misalnya, al-Fatihah dan ayat Kursi supaya kita sentiasa berada dalam keadaan benar dan tidak lalai,” katanya.

Sinar harian/-

Maut motosikal rempuh van

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Maut motosikal rempuh van

Anggota polis menutup mayat mangsa yang maut dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Bunga Kertas, pagi semalam.
HULU SELANGOR - “Dia sangat ceria malam tadi, sempat hidangkan kami masakan istimewa, tapi berita kematiannya tadi (semalam) sangat mengejutkan kami,” kata chef Yah, 31, rakan Rossdy Mustapha, 24, yang maut dalam kemalangan motosikal pagi semalam.

Menurut Yah, Rossdy merupakan tukang masak di sebuah restoran masakan Thailand, dekat sini, dan semasa kejadian mangsa dipercayai menunggang sendirian dalam perjalanan menghala Sungai Choh.

Katanya, kejadian berlaku di persimpangan tiga Jalan Bunga Kertas antara Jalan Bukit Beruntung-Sungai Choh.

“Kami terkejut ketika menerima berita kematiannya dan seperti tidak percaya kerana malam tadi (kelmarin) kami semua ceria bersamanya.

“Dia kelihatan sangat ceria dan bergurau dengan adiknya, Sham,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Yah berkata, mangsa yang lebih mesra dipanggil Along kebelakangan ini dilihat murung tanpa diketahui puncanya.

Menurutnya, mangsa meninggalkan isteri dan dua anak yang menetap di Kelantan.

Seorang saksi, Rosharizat Roslan, 28, berkata, motosikal dinaiki mangsa dipercayai merempuh van yang tiba-tiba membelok di persimpangan tersebut.

“Mangsa masih bernyawa ketika itu tapi tidak mampu berkata-kata. Saya mahu membantu tapi tidak tahu bagaimana. Saya cuma dapatkan telefon bimbit mangsa dan menghubungi majikannya serta adiknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa mati akibat kecederaan di bahagian kepala dan dagu.

Menurutnya, kemalangan berlaku jam 9.30 pagi melibatkan motosikal dinaiki mangsa dengan sebuah van sekolah yang membawa empat penumpang dipandu Muhamad Azmi, 52.

“Siasatan mendapati van terbabit cuba membelok ke kanan ke Jalan Bunga Kertas dan masa itu penunggang motosikal dari arah Bukit Beruntung ke Sungai Choh sampai dan terlanggar bahagian pintu depan sebelah kiri van.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang van dirawat di Hospital Sungai Buloh sementara pemandu serta penumpang lain tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar harian/-

Agbimuddin Kiram pengecut

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


 Op Daulat

Beberapa kenderaan anggota keselamatan menuju ke Sungai Nyamuk bagi mencari saki baki pengganas.
Agbimuddin Kiram pengecut

Jigga Aktajak
LAHAD DATU - Ketua pengganas, Azzumudie Kiram atau Agbimuddin Kiram yang dipercayai melarikan diri ke selatan Filipina kelmarin disifatkan sebagai pengecut dan kejam kerana meninggalkan pengikutnya berdepan pasukan keselamatan di kawasan operasi Op Daulat.

Sebagai ketua pengganas, tindakan itu menunjukkan mereka kalah dan hendaklah meletakkan senjata segera selepas melanggar kedaulatan Malaysia.

Peneroka, Jigga Aktajak, 60, berkata, langsung tidak masuk akal perbuatannya itu membuatkan pengganas lain bertempur, sedangkan dia hilang.

“Sudahlah ceroboh dan buat kacau di negara orang, kemudiannya larikan diri. Memang dia penakut dan pengecut.

“Jika benar, berdepanlah dengan pasukan keselamatan kita. Jangan cuba buat kacau dengan kita, kemudiannya cuci tangan.

Peralatkan orang yang taksub dengan kesultanan Sulu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Malam kelmarin, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dalam sidangnya akhbar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mendedahkan adik Jamallul Kiram III itu tidak mungkin berada di kawasan operasi pembersihan dalam gugusan Labian di Tungku, kerana pasukan keselamatan tidak menemui sebarang petanda kehadirannya.
Katanya, berdasarkan maklumat dan risikan diperoleh pasukan keselamatan mereka berpendapat dan berkeyakinan besar Azzumudie  sudah meninggalkan pengikutnya yang berada di kawasan Op Daulat.

Menurut Jingga, tindakan pencerobohan yang dilakukan juga sudah mencerminkan siapa mereka sebenarnya, oleh itu pasukan keselamatan hendaklah mengambil tindakan segera yang sepatutnya.

Bagi, Mat Terawih Payau, 50, Azzumudie sememangnya orang yang paling dibenci sejak hari pertama pencerobohannya bersama sekumpulan pengganas bersenjata.

“Kehadirannya langsung tidak diundang. Kami tidak mahu dia berada di negara yang berdaulat. Sepatutnya dia lari bersama pengganas lain, bukan bersendirian.

“Lihat tindakannya, jelas seorang yang pentingkan diri, buat kacau dan lari bersendirian. Biarkan yang lain berdepan dengan pasukan keselamatan kita,” tegas lelaki separuh abad itu.

Ujarnya, sebagai seorang Islam, Azzumudie tidak patut menyerang negara Islam lain, lebih-lebih lagi negara berdaulat dan memiliki perundangan.

“Untuk apa serangan dilakukan pun kita tidak tahu, kami tidak mahu dia berada di Sabah lagi,” katanya.

Sementara itu, Amzah Assan, 30, berkata, sebagai penduduk Sabah, dia mengharapkan pasukan keselamatan dapat membuat pendakwaan segera kepada Azzumudie.

“Orang yang melanggar kedaulatan negara kita tidak sepatutnya dibiarkan lebih lama mengambil kesempatan menceroboh Malaysia.

“Tindakan kepadanya dan konco-konconya akan membuatkan pihak lain lebih berjaga-jaga untuk terus cuba-cuba menceroboh negara orang,” katanya.
Sinar harian/-

Wira Lahad Datu 'syahid dunia'

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Harun Taib

Datuk Harun Taib
KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan anggota dan pegawai keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan dan tembakan di Sabah sebagai  'syahid dunia'.

Kenyataan dibuat Harun itu sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak yang mempertikaikan status kematian perwira negara sebelum ini dan menjelaskan mereka terkorban kerana mempertahankan keselamatan negara daripada pencerobohan kumpulan bersenjata warga Filipina di Sabah.

“Kalau mereka mahu pertahan negara itu (mati) syahid (iaitu) syahid dunia, bukan syahid dunia akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Makan Malam Dana Pilihan Raya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Parlimen Kuala Nerus, di Kuala Ibai, di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Harun yang juga Adun Manir berkata, syahid ada dua iaitu syahid dunia dan syahid dunia akhirat.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, kematian perwira terbabit tidak dikategorikan syahid dunia akhirat kerana tidak jelas niat sebenar mereka sama ada untuk pertahankan negara, membela Islam atau sebab-sebab lain.

“Syahid dunia akhirat ini adalah syahid memperjuangkan dan mempertahankan Islam atau mengembangkan Islam. Jadi, apabila mati di medan perang maka dikata syahid dunia akhirat," katanya.

Sinar harian/-

Christopher Presiden Majlis Peguam, panel disiplin siasat isu SD kedua Bala

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR -  Presiden baru Majlis Peguam, Christopher Leong berkata beliau akan melibatkan semua pemegang kepentingan termasuk badan kehakiman dalam mencari jalan bagi mempertingkatkan standard profesion guaman.
Leong berkata, Majlis Peguam juga berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengenai standard ahli majlis dan anggota badan kehakiman.
"Kita akan menemui Ketua Hakim Negara dan pegawai kanan badan kehakiman untuk mencari jalan ke arah memperbaiki diri sendiri dan badan kehakiman," katanya.
Leong, yang mengambil alih jawatan itu daripada Lim Chee Wee berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pertama sebaik selesai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 semalam.
Pada mesyuarat AGM itu, katanya ahli badan itu melahirkan kebimbangan bahawa peguam tidak diberi masa yang cukup untuk melakukan penghujahan dan dalam beberapa insiden, mereka tidak dilayan dengan sopan oleh hakim.
"Mereka percaya hakim perlu memberi alasan penghakiman yang lebih khusus dan menyeluruh dan bukan secara luas khususnya di mahkamah tertinggi kerana ia tidak cukup berhubung titik penting dalam undang-undang," katanya.
Barisan baru dalam kepemimpinan Majlis Peguam turut merangkumi Naib Presiden, Steven Thiru; Setiausaha Agung, Richard Wee Thiam Seng dan Bendahari, Karen Cheah Yee Lynn.
Pada AGM itu, seramai 1,304 ahli Badan Peguam Malaysia turut bertafakur seminit bagi menghormati 10 wira negara yang gugur termasuk seorang selepas kemalangan jalan raya ketika bertempur dengan pengganas Sulu di Sabah.
Mengenai usul utama yang diperdebatkan oleh ahli, Leong berkata, mereka mendesak supaya seorang peguam kanan yang terbabit dalam menyediakan akuan bersumpah (SD) kedua kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu disiasat dan dirujuk ke Lembaga Disipilin untuk tindakan susulan.
Leong berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau memaksa sesiapa untuk menjawab sebarang aduan atau dakwaan berbanding Lembaga Disiplin yang mempunyai kuasa statutori untuk berbuat demikian.
Beliau memperjelaskan bahawa usul itu ditarik balik oleh pencadang selepas berhujah hampir 90 minit dan akhirnya penjelasan ahli majlis bahawa inkuiri mengenai perkara itu sedang dalam peringkat akhir dan akan dirujuk ke Lembaga Disiplin.
"Selepas apa yang didedahkan pada AGM ini dan kenyataan sebelum ini oleh peguam berkenaan dan ahli perniagaan (Deepak Jaikishan) sejak beberapa bulan lepas, adalah wajar untuk Lembaga Disiplin menyiasat lanjut kemungkinan berlaku salahlaku profesional oleh peguam kanan itu yang dikaitkan dalam SD kedua itu," katanya.
Ditanya sama ada majlis itu akan membuat laporan polis, Leong mengesahkan bahawa pencadang telah memaklumkan pada AGM itu bahawa dia berhasrat membuat laporan tetapi bukan dengan majlis itu ketika ini. - Bernama

Gembira berakhir tragedi

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Gembira berakhir tragedi

Keadaan kereta yang remuk teruk akibat terbabas dan merempuh kedai basikal di Jalan Pasir Putih, awal pagi semalam.
IPOH - Seorang wanita maut apabila kereta jenis Citroen ZX1.9i yang dinaiki bersama kekasihnya merempuh sebuah kedai basikal dalam kemalangan di Jalan Pasir Putih, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kejadian berlaku pada jam 2.45 pagi dan kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pengkalan, selepas makan lewat malam di sekitar bandar raya ini.

Menurut Wan Sharuddin, penumpang di tempat duduk hadapan, Tang Mun Yi, 19 dari Taman Pengkalan Timur maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandu, Chong Kian Mun, 20 dari Medan Pengkalan Makmur turut parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Siasatan awal mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari Ipoh menuju Pengkalan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh kedai basikal di laluan berkenaan.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan kemalangan berkenaan berlaku akibat pemandu mengantuk," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Wan Sharuddin, aliran trafik tidak sibuk memandangkan kejadian berlaku pada awal pagi, malah keadaan jalan juga lurus serta cuaca baik semasa kejadian.

Beliau turut memaklumkan, mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu, pemilik kedai terbabit, Ng Koon Qiong, 50 berkata, dia dimaklumkan berkenaan kejadian oleh jirannya melalui panggilan telefon kira-kira jam 2.50 pagi dan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan kedainya.

"Setibanya dilokasi, saya tengok sebuah kereta remuk teruk dan pintu depan kedai serta beberapa basikal rosak. Selama 10 tahun berniaga, inilah kejadian pertama berlaku di kedai saya.

"Buat masa ini saya akan minta bantuan anggota Rela (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) untuk memantau kedai sementara kerja baik pulih pintu dilakukan," katanya yang menganggar kerugian melebihi RM10,000.

Sinar harian/-

Pas dakwa BN ada masalah gagal umum tarikh PRU13

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Abdul Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KULAIJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih gagalkan mengumumkan tarikh Pilihan Raya ke-13 (PRU13) disebabkan parti itu mempunyai masalah dan berasa terancam.

Menurutnya, sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi peluang untuk memerintah negara dalam tempoh sepenggal atau lebih, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengumumkannya lebih awal.

Katanya, selain itu, PR juga akan memberikan kebebasan kepada media sekiranya mampu menawan Putrajaya, untuk melaporkan berita secara adil dan telus tanpa sebarang sekatan selain mengamalkan sistem pilihan raya yang adil.

“Media diberi kebebasan termasuk mengkritik PR walaupun menjadi pemerintah, dengan cara itu kita tahu apa kelemahan yang dihadapi sekaligus memperbetulkannya, rakyat juga bebas untuk mengetahui sebarang maklumat.

“Situasi seperti ini berbeza seperti yang diamalkan pada hari ini, apabila rakyat tidak dapat mengetahui perkara sebenar, tindakan berkenaan seperti ‘orang tua yang mahu sembunyikan penyakit,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian, sempena Jamuan Rakyat, Pakatan Rakyat, di Taman Tropika, di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mahfodz Mohamed; Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng dan Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau.

Dalam pada itu, ketika diminta untuk mengulas mengenai kemungkinan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang bertanding di Parlimen Gelang Patah, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut dan memaklumkan ia dalam peringkat perbincangan dan cadangan.

“Terpulang pada parti, sama ada dia (Kit Siang) bertanding di Johor atau tidak, mengenai calon dan kerusi ia terpulang kepada parti untuk membuat keputusan,” katanya.

Ketika ditanya tindakan pemimpin Umno negeri yang mencadangkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berundur, beliau berkata, ia adalah urusan rumah tangga Umno dan PR tidak mahu campur tangan.

“Terpulang kepada mereka. Kita enggan masuk campur kerana ia urusan rumah tangga Umno, tetapi jika PR diberi peluang untuk menggantikan jawatan berkenaan, kita amat mengalu-alukannya,” katanya.

Sinar harian/-

Tujuh dosa: Nik Aziz bidas kenyataan Najib

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tujuh dosa: Nik Aziz bidas kenyataan Najib

Nik Aziz merasmikan Ekspo Kelantan 2013 di Shah Alam malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di Kelantan melakukan tujuh dosa besar ke atas rakyat negeri itu dan umat Islam.

Menurutnya, kenyataan Najib itu tidak benar dan cuba mengaburi rakyat Malaysia dengan menyembunyikan fakta sebenar tentang pentadbiran PR di Kelantan.

“Dosa pahala ini sebutan Islam, dalam kebangsaan tiada sebutan dosa pahala. Bila kebangsaan menyebut dosa pahala, maknanya mereka mahu meniru dan mengaburi. Ini cara menipu rakyat Malaysia.

“Persaingan perlu dibuka, dalam politik pun kena ada saingan tapi kenapa persaingan itu tutup,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Ekspo Kelantan 2013 di pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini malam tadi.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata, pencapaian terkini di Kelantan membuktikan negeri tersebut mampu membangun bersama Islam.

“Kita harus kembangkan Islam dalam semua bidang. Bila sebut pasal Islam, ia bukan hanya pada solat dan puasa tetapi merangkumi pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial dan politik.

“Justeru itu, rakyat wajib pilih kerajaan yang mahu menggerakkan Islam, bukan kerajaan yang mengasingkan agama daripada politik,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu terbaru gambar kontroversi mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,  beliau berkata, tindakan itu adalah tidak wajar kerana cuba mengaibkan Anwar tanpa bukti sahih.

“Mereka belum puas ‘cincang’ Anwar. Kita orang politik ini sepatutnya kena lawan hujah bukan peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Ekspo Kelantan 2013 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan membawa pelbagai maklumat berkenaan pembangunan negeri itu untuk informasi rakyatnya yang berada di luar Kelantan.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program berlangsung, antaranya pertunjukan gasing terbang, demonstrasi kapal terbang kawalan jauh dan persembahan dikir barat.

Sinar harian/-

PRU12 sudah 5 tahun 10 hari, bila lagi PRU13

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Hari ini sudah berlalu lima tahun 10 hari semenjak Pilihan raya Umum ke-12 (PRU12) diadakan, lama mana lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hendak menunda PRU13.


Demikian luahan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad(gambar) yang dipetik menerusi twitter.

Justeru, beliau yang juga AJK PAS Pusat bertanya adalah Najib tidak merasa malu kerana semua sedang menunggu PRU13.

“Maka pada Subuh ini kita doakan kepada Allah, semoga peralihan kuasa yg bakal berlaku dengan izin-Nya akan berlaku dengan aman dan lancar, insya Allah,” ujarnya.

Baginya, berpuluh program yang dijalankan serentak di seluruh negara malam tadi termasuk di Shah Alam, Kampung Baru KL, Pengerang Johor dan lain-lain menandakan Pakaran Rakyat semakin kuat.

Menurutnya, lagi lama ditunggu, maka PR semakin kuat menjadikan Umno BN semakin terdesak.

“Budaya samseng, fitnah lucah, politik rasuah hanya mengurangkan sokongan Umno,” tulisnya lagi.

Harakahdaily/-

Bekas penerbit rancangan Ikim.fm umum sertai PAS

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Ustaz Zamri berucap pada majlis ceramah malam tadi.

GUNUNG SEMANGGOL: Bekas penyampai dan penerbit rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim.fm), Ustaz Zamri Zainal Abidin mengisytiharkan menyertai PAS pada majlis ceramah sempena Xpresi Ulama Muda Haraki di Maahad Ehya Asy Syarif di sini, malam tadi.

Petang semalam, seramai enam Imam Muda telah mengumumkan menyertai PAS iaitu Mohd Fakhrurrazi Hussin (IM Fakhrul), lima lagi Imam Muda berkenaan ialah Khairul Azhar Ghazali (IM Azhar), Abdul Fattah Ridzwan (IM Fatah), Syed Faris Syed Roslan(IM Faris), Megat Mohd Zahid Megat Azmuddin (IM Megat) dan Fakhrulrazi Ibrahim (IM Ar Razi).

Penyertaan mereka diumumkan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali.

“Insya Allah seorang lagi tokoh ulama muda negara kita akan turut menyatakan sokongan kepada perjuangan suci ini pada sebelah malam sempena Pentas Ulama Haraki di tapak program yang sama,” ulas satu kenyataan semalam berhubung penyertaan Ustaz Zamri itu.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib merasmikan majlis penutup Xpresi Ulama Muda Haraki pada petang semalam.

Ketika berucap pada majlis yang disertai kira-kira 1,000 ulama muda haraki dari seluruh Negara itu semalam, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, umat Islam seharusnya memberi kemenangan kepada Islam di dalam PRU13 untuk merealisasikan pelaksanaan berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama berkata, umat Islam yang mengharapkan kebangkitan Islam sekali gus menunjukkan kemenangan Islam yang tulen.

Harakahdaily/-