16 April 2012

MCA Pula Beri IC Kepada Warga Asing

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 16 APR : Kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin terdesak untuk memenangi piliharaya akan datang dengan cubaan memberikan kad pengenalan kepada warga asing.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini mendedahkan cubaan MCA untuk memberikan kad pengenalan kepada warga asing melalui program MCA Road Show & Free Medical Check up semalam.

Hannah berkata, MCA cuba berselindung disebalik program kemasyarakatan yang dijalankan dengan menawarkan kad pengenalan kepada warga asing yang datang berkunjung ke program itu.

“Kebanyakan penduduk yang berada disini merupakan warga Indonesia dan mereka diberi kad pengenalan dengan syarat mengundi BN dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Terdahulu, MCA menganjurkan Road Show & Free Medical Check up yang berlangsung semalam di Jalan SS19/1, Off Jalan SS19/7A, Subang Jaya.

Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam menegaskan pemberian kad pengenalan sewenang-wenangnya menunjukkan BN adalah pengkhianat kepada negara dan rakyat negara ini.

” Masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kad pengenalan dan terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkannya tetapi kerajaan BN memberikan sesuka hati kepada warga asing,” katanya.

Sementara itu, Saari Sungip yang merupakan Adun Hulu Klang berpendapat, tindakan yang dilakukan oleh Umno-BN ini merupakan tindakan yang keji bagi mempastikan mereka akan menang di pilihanraya ke-13 nanti.

Katanya lagi, tuntutan yang terkandung dalam Bersih 3.0 yang meminta Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membersihkan senarai nama pemilih ternyata tidak membawa kesan kerana Umno-BN berterusan menjalankan taktik kotor ini.

“Tindakan ini bukan pertama kali didedahkan tetapi sudah banyak kali terjadi namun pihak SPR masih berdiam diri dan tidak mengambil apa-apa langkah yang sewajarnya,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, adalah wajar bagi seluruh rakyat untuk turun pada Bersih 3.0 dan menunjukkan tanda protes terhadap ketelusan SPR untuk menjalankan pilihanraya yang bersih dan adil.

selangorku/-

Keretakan Pada Bilah Turbin Pesawat 747 Qantas Punca Kerosakan Enjin

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SYDNEY: Sebuah inkuari yang dijalankan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendapati, pesawat 747-438 milik Qantas yang membawa 231 penumpang dan menghadapi masalah enjin pada paras 25,000 kaki pada tahun 2010 adalah berpunca daripada keretaan pada bilah turbin salah satu daripada empat enjin jet berkenaan akibat kelusuhan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh ATSB pada Isnin, salah satu enjin Boeing 747-438 itu gagal berfungsi 15 minit selepas berlepas dari San Francisco pada 20 Ogos 2010.

Kerosakan tersebut telah mengegarkan pesawat berkenaan dan kemudian percikan api meletus di hujung ekzos enjin itu.

Pesawat itu yang dalam perjalanan ke Sydney kemudiannya berpatah balik ke San Francisco.

ATSB menjelaskan bahawa setelah siasatan selesai mereka bersetuju dengan pengeluar enjin berkenaan iaitu Rolls-Royce bahawa punca letupan pada enjin itu adalah disebabkan oleh keretakan pada bilah turbin akibat kelusuhan.

Rolls-Royce berkata, kejadian seumpama itu belum pernah berlaku dalam tempoh 23 tahun yang lalu atau 40 juta jam perkhidmatan.

Menurut data ATSB, kali terakhir enjin itu menjalani proses baik pulih ialah pada Mei 2009 dan ia telah mengikuti manual sebagaimana yang ditetapkan.

MSTAR/-

PAS pakar demonstrasi, jamin Bersih 3.0 aman

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 April: PAS meletakkan objektif 'aman' dalam setiap himpunan yang dianjurkan dan disertai.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, PAS sangat berpengalaman dalam menganjurkan dan mengawal perhimpunan tanpa menyebabkan kacau bilau.

"PAS bersama Pakatan Rakyat bukan sekali menganjurkan dan menyertai perhimpunan tapi kita sangat berpengalaman dan berkepakaran dalam perkara ini.

"Objektif utama kita dalam setiap perhimpunan ialah keamanan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa peserta 'Duduk Bantah' mesti memastikan perhimpunan tidak menyusahkan orang ramai.

Nasrudin juga berkata, sekiranya Pakatan Rakyat berniat membuat huru-hara, mereka tidak akan menuntut penambahbaikan pilihan raya.

"Bersih 3.0 merupakan kemuncak kepada tuntutan reformasi pilihan raya.

"Kalau kita mahu mencetuskan huru-hara, kita tak akan tuntut reformasi pilihan raya. Tapi kita menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Itu termasuk dalam demokrasi," katanya.

Beliau memberi jaminan 'Duduk Bantah' kan berlangsung aman sekiranya tiada sebarang provokasi daripada pihak polis dan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Seperti himpunan Mansuhkan PTPTN anjuran mahasiswa, ia berjalan aman sebab tiada siap mengganggu," katanya.

Justeru katanya, pemuda PAS akan bertemu dengan pihak polis beberapa hari sebelum 'Duduk Bantah' bagi meminta kerjasama mereka.

"Beberapa hari sebelum perhimpunan pada 28 April, pemuda akan bertemu dengan pihak polis meminta mereka menjaga keamanan," katanya.

Harakah Daily

Eropah dipaksa halang ‘flytilla’

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Tel Aviv beri nama 1,200 aktivis untuk disekat naiki pesawat masuk Israel

BAITULMAQDIS: Usaha aktivis antarabangsa untuk menuntut Israel menghormati hak Palestin dengan beramai-ramai muncul di lapangan terbang Ben-Gurion, Tel Aviv, terbantut selepas rejim Zionis mendapat kerjasama syarikat penerbangan untuk menghalang mereka menaiki pesawat.

Bagi aktivis yang sudah tiba, anggota keselamatan Israel menahan mereka dan akan mengarahkan pesawat lain membawa mereka pulang daripada misi ‘flytilla’ itu, semalam.
Selain mendapat kerjasama daripada lapangan terbang Eropah, Israel menempatkan beratus-ratus anggota polis di lapangan terbang Ben-Gurion bagi memastikan tiada aktivis yang terlepas.

Laporan terbaru menyatakan, 27 aktivis ditahan dan diarah menaiki pesawat lain untuk pulang.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Israel, berkata pihak Imigresen Israel memberi 1,200 nama aktivis yang dilarang masuk ke negara itu kepada syarikat penerbangan Eropah, Rabu lalu.

Seorang aktivis, Leehee Rothschild, berkata berpuluh-puluh aktivis dimaklumkan tiket mereka ke Tel Aviv dibatalkan. Laporan lain mengatakan, 100 penumpang sudah mendapat makluman itu.
Penaja ‘flytilla’ berkata, aktivis dari seluruh Eropah itu membeli tiket ke Israel untuk mengunjungi Tebing Barat, sejam perjalanan dari Tel Aviv, sebagai sebahagian kempen ‘Selamat Datang ke Palestin.’

Kempen kali ini bertujuan membuka sekolah dan muzium di Baitulaham tetapi Israel menuduh aktivis cuba mencetuskan kekacauan di ‘demokrasi tunggal Asia Barat’.

Di lapangan terbang Zaventem, Brussels, 100 aktivis Belgium dan Perancis tidak dibenarkan menaiki pesawat ke Israel.

Mereka menunjukkan surat yang mengatakan mereka ada dalam senarai larangan terbang kerana berniat menimbulkan masalah dengan melawan anggota keselamatan.

Rakaman telefon bimbit yang dimuat naik ke internet menunjukkan 20 aktivis di lapangan terbang Charles de Gaulle, Paris, dikepung anggota polis manakala pasport aktivis di Geneva dirampas.

Bantahan itu bertujuan memberi tumpuan kepada bagaimana Israel mengawal akses ke kawasan Palestin. Pelawat hanya dapat sampai ke Tebing Barat menerusi laluan dikawal askar Israel termasuk lapangan terbang.

Ada pengulas politik Israel menganggap pihak berkuasa Yahudi bertindak keterlaluan ke atas aktivis ‘flytilla’ yang memberi publisiti murahan kepada aktivis Palestin.

Akhbar berhaluan kiri Israel, Haaretz, mengkritik tindakan kerajaan kerana percaya pihak berkuasa sepatutnya menjemput aktivis keamanan dari mana-mana negara sekalipun dan memberi bunga kepada mereka.’

Misi yang sama tahun lalu, menyebabkan beratus-ratus aktivis terkandas akibat disekat daripada menaiki pesawat di lapangan terbang Eropah. – Reuters/AP

Peruntukan baru tiada beza dengan ISA, kata Anwar

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini tiada bezanya undang-undang lama Akta Keselamatan Dalam Negeri 1964.

Bercakap dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini, Anwar berkata undang-undang itu juga lebih menekan dan mempunyai lebih banyak ruang untuk disalahgunakan.

Anwar secara khususnya mempertikaikan peruntukan dalam rang undang-undang tersebut yang membenarkan timbalan pendakwa raya memohon secara lisan kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditahan mengikut cadangan undang-undang itu.

Beliau mempertikaikannya kerana hakim diwajibkan untuk mempersetujui permohonan lisan berkenaan.

Mengikut ISA, menteri dalam negeri berkuasa mengikut budi bicaranya untuk melanjutkan tempoh penahanan, atas permohonan polis.

malaysiakini/-

Bersih 3.0 diteruskan walau parlimen dibubar

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 April: Himpunan Bersih 3.0 mesti diteruskan walaupun kerajaan cuba membatalkannya dengan membubarkan Parlimen, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Ada kemungkinan Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong ke arah membubarkan Parlimen sebelum atau pada tarikh perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April dengan tujuan untuk membatalkan parhimpunan itu apabila sepenuh tumpuan dialihkan untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Bagaimanapun saya berharap apa pun terjadi, perhimpunan aman Bersih 3.0 mesti diadakan kerana hanya itulah sahaja salah satu cara terbaik untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan dengan adil dan bersih," katanya.

Ketika para mahasiswa yang tabah dan berani mendirikan khemah di satu sudut Dataran Merdeka dan bertegas untuk terus berkhemah di situ sehingga perhimpunan 'duduk bantah' Bersih 3.0 diadakan, Mahfuz yakin pembatalan perhimpunan itu sewajibnya tidak berbangkit sama sekali.

"Pembubaran Parlimen bukan bermakna perhimpunan aman Bersih 3.0 mesti dibatalkan," tegas beliau.

Menurut Mahfuz, dalam keadaan Umno dan Barisan Nasional (BN) bergantung hampir sepenuhnya kepada sokongan orang-orang Melayu sahaja, secara umum ramai yang percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih cenderung mengadakan pilihan raya sebelum atau selepas sebahagian umat Islam di negara ini mengerjakan haji di Mekah.

Mengambilkira perkara tersebut, katanya, tidak mungkin pilihan raya akan diadakan dari 10 hari terakhir bulan Ogos hinggalah kepada penghujung Oktober.

"Sebab itulah ramai yang menjangka pilihan raya diadakan antara bulan Mei hingga bulan Julai ini," katanya.

Mengambilkira perkara itulah, Mahfuz tidak menolak kemungkinan Najib bertindak nekad membubarkan Parlimen sebelum 28 April ini supaya tumpuan diberikan sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya dan perhimpunan Bersih terpaksa dibatalkan.

"Kalau terjadi begitu, perhimpunan Bersih tetap tidak boleh dibatalkan sebab masih ada banyak pilihan.

"Pertama, kita mesti meneruskan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

"Kedua, menjadikan hari penamaan calon sebagai medan perhimpunan Bersih 3.0 malah setiap hari dalam tempoh berkempen boleh dijadikan perhimpunan Bersih," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz melihat keadaan menjadi lebih mudah jika setiap rakyat yang mahukan pilihan raya yang adil dan bersih memakai baju Bersih ketika menghadiri kempen-kempen pilihan raya.

"Sambil mengibarkan bendera mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat yang disokong, pakai baju Bersih untuk membuktikan solidariti dengan tuntutan supaya pilihan raya yang adil dan bersih diadakan di negara ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa pilihan raya umum ke-13 wajar diadakan dalam masa terdekat.

"Saya fikir takkan lama lagi dah sebab dah tak ada masa, cuma setakat pertengahan tahun depan saja. Kalau rakyat beri sokongan yang baik, masa itu adalah pilihan raya.

"Bila kita nampak boleh menang, bolehlah diadakan pilihan raya. Kita ikut sistem British, dalam sistem British bila parlimen tamat, pilihan raya diadakan," katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Pengasasan Ke-28 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Sintok, semalam.

Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April tahun depan.

Dr Mahathir sebelum ini berkali-kali menyatakan adalah sukar bagi BN untuk mendapat majoriti dua pertiga.

Harakah Daily

Piala Thomas: Peranan Chong Wei penting

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Peranan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei meraih satu mata buat negara penting sebagai pembakar semangat kepada pasukan untuk layak ke separuh akhir Piala Thomas yang bermula 20 hingga 27 Mei di Wuhan, China, kata jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock.

"Kita memang mensasarkan layak ke separuh akhir. Peluang tetap ada kerana bermain secara berpasukan berbeza dengan individu. Peranan Chong Wei lebih penting untuk mendapat satu mata bagi membakar semangat pasukan apabila menentang Denmark nanti.

"Undian semalam okey, kita memang tidak boleh elak sebab Malaysia berada pada kedudukan keenam dan tidak boleh lawan empat pasukan teratas. Kita perlu layak ke suku akhir dulu," katanya kepada pemberita di Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya Liew Daren dan Muhammad Hafiz Hashim diturunkan pada Piala Thomas nanti, mereka perlu bersiap sedia dari segi mental untuk membantu skuad layak ke suku akhir.

Tey berkata undian kumpulan Piala Thomas pada tahun ini lebih seimbang dan berpendapat peluang untuk menang cerah kepada semua pasukan yang bertanding.

Sementara itu, jurulatih beregu negara Tan Kim Her berkata prestasi beregu emas negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong semakin baik namun beliau akan menurunkan pemain yang terbaik bagi membantu pasukan menentang pasukan Denmark nanti.

"Pada pandangan saya lebih baik memberi pengalaman kepada beregu negara Goh V Shem/Lim Khim Wah, juara atau naib juara kumpulan itu tidak penting," kata Kim.

Meskipun gandingan beregu harapan negara Koo/Tan tidak konsisten namun bagi Kim ia bukan kayu pengukur prestasi anak buahnya itu merudum.

Prestasi Koo/Tan adalah baik, walaupun mereka kalah semasa kejohanan All England yang lepas, mereka memberi saingan yang hebat pada lawan mereka sambil berharap mereka akan meningkatkan permainan mereka pada kejohanan Terbuka India nanti.

Kim berkata beliau akan menurunkan beregu simpanan yang terbaik dan tidak mengira mereka pemain profesional atau tidak.

"Tarikh tutup untuk memberi nama pemain pada 3 Mei depan, saya masih beri peluang dan menilai semua pemain. pada pendapat saya prestasi sekarang Hoon Thien How lebih berpeluang sekiranya berganding dengan Tan selepas mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (CNT), kita akan tahu siapa lebih layak nanti," kata Kim.

Skuad Piala Thomas negara berada pada laluan mudah mara ke suku akhir kejohanan itu apabila diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark serta Afrika Selatan.

Berdasarkan format pertandingan, undian suku akhir akan diadakan sebaik tamat saingan peringkat kumpulan dengan setiap juara kumpulan akan diletakkan sebagai pasukan pilihan dan lawan mereka adalah pasukan yang muncul naib juara kumpulan yang akan ditentukan menerusi cabutan undian.

Skuad negara layak beraksi di pusingan akhir itu selepas mara ke separuh akhir dalam pusingan kelayakan Zon Asia yang diadakan di Macau pada 13-19 Februari lalu.


Undian Piala Thomas
--------------------

Kumpulan A: China, Indonesia, England
Kumpulan B: Jepun, Russia, New Zealand
Kumpulan C: Denmark, MALAYSIA, Afrika Selatan
Kumpulan D: Korea Selatan, Jerman, Amerika Syarikat

Undian Piala Uber
------------------

Kumpulan A: China, Indonesia, Afrika Selatan
Kumpulan B: Taiwan, Thailand, Belanda
Kumpulan C: Korea Selatan, Jerman, Australia
Kumpulan D: Jepun, Denmark, Amerika Syarikat

- Bernama

Sinar Harian

Tempat Untuk Berteduh

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pada kegiatan "Secercah Harapan Untuk Amalia" (CERIA) di Rumah Amalia Ahad ada sebuah perbincangan yang menarik diantara Mbak Luscy, Om Jo, Fahry, Kak Lia, Kak Isa, Kak Ipunk, Kak Ranie, kakak-kakak Rumah Amalia. Betapa saat ini begitu banyak orang yang membutuhkan tempat untuk berteduh bagi siapapun yang merasakan keresahan dalam hidupnya. Dirumah Amalia seperti wadah yang meluber, tidak mampu menampung air bah yang melimpah. Fenomena apa yang sesungguhnya terjadi?

Mengapa begitu banyak orang yang membutuhkan tempat untuk berteduh? Secara psikologis orang yang sehat adalah orang yang mampu mendermakan cinta pada sesamanya. Sedangkan orang yang hatinya dipenuhi rasa permusuhan, dengki, cemburu dan kebencian semuanya merupakan beban mental yang menjurus pada penyakit kejiwaan bersifat patologis. Dalam Islam, penghayatan kasih sayang digunakanlah istilah ridha.

Pengertian ridha adalah sikap yang didasari pengetahuan, kesadaran dan keyakinan bahwa kasih sayang Allah meluap memenuhi ruang dan waktu. Sesungguhnya hidup kita dalam lingkup kasih sayang Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Sikap ridha akan selalu berpikir positif terhadap hidup karena dibalik fragmen kehidupan terkadang ada adegan-adegan yang pahit dan buram mekipun terkandung hikmah dari pancaran kasih sayang Allah.

Rasa keterasingan, kesunyian ditengah keramaian, merasa kesepian dalam kesendirian akan terkikis secara emosional apabila kita memiliki hubungan yang hangat dengan Yang Maha Kasih. Ketiadaan hubungan kepada yang Maha Kasih inilah yang menimpa banyak orang sehingga begitu mudahnya terseret pada situasi putus asa bahkan sampai bunuh diri. Berdasarkan survei penyebab bunuh diri ditengah masyarakat justru bukanlah masalah yang teramat berat.

Diantaranya karena kekecewaan akibat putus cinta, perselisihan rumah tangga, gagal dalam karier telah membuat seseorang melakukan tindakan bunuh diri. Hal ini menunjukkan betapa dangkal dan lemahnya iman seseorang dalam menghayati hidup.

Dalam pandangan Islam, mereka telah terperosok dalam 'pinggiran' dimensi spiritual yang mampu menangkap dan merasakan kehadiran Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam dirinya tidak bisa berfungsi. Hatinya telah tertutupi oleh nafsu bagi masuknya cahaya dan kasih sayang Allah sehingga mereka juga kehilangan kasih sayang yang ada pada dirinya. Demikianlah bila dunia hanya pendekatan sistem, teknis dan teknologi semata akan memunculkan kehidupan yang kering, mekanik dan tidak manusiawi.

Produk sistem dan teknologi tanpa visi cinta dan kasih sayang Ilahi Robbi maka menjadikan hidup kita tak ubahnya seperti robot, kesepian dalam keramaian, kesendirian tak berteman. Paradigma kasih sayang akan menuntun kita sikap arif dan konsisten untuk mengembangkan potensi kemanusiaan maka realitas dunia tampak begitu indah sekaligus challenging, bukan fringtening.

Seorang Mukmin adalah 'Lover of Wisdom' atau Pecinta Kearifan. Karena cinta kearifan dan semangatnya pada kemanusiaan maka Rasulullah Muhammad Shalallahu 'Alaihi wa Salam semakin nampak tegar dan anggun ditengah cobaan dan tantangan yang selalu menghadang dan mengitarinya.

Kita tentunya patut meneladani Rasulullah sebagai "Lover of Wisdom" Lebih peduli dengan persoalan-persoalan kemanusiaan. Maka kitapun menjadi tempat berteduh bagi orang-orang yang berada disekitar kita.

AGUS/-

Serangan 18 jam Taliban berakhir, 51 maut di Afghan

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

[TERKINI] KABUL - Serangan tersusun puak Taliban ke atas bangunan Parlimen Afghanistan, kedutaan-keduataan asing dan ibu pejabat Nato, yang berlarutan selama 18 jam, berakhir hari ini, menyebabkan 51 orang termasuk 36 penyerang terbunuh.

Lapan lagi yang terbunuh adalah anggota pasukan keselamatan Afghan dan tiga membabitkan orang awam.

Taliban melancarkan serangan besar-besaran ini, yang pertama ke atas Kabul dalam tempoh enam bulan lalu, berakhir kira-kira jam 8 pagi waktu Afghanistan.

Ia juga dikategorikan sebagai serangan besar-besaran di Afghanistan sejak Taliban digulingkan pada akhir 2001.

Taliban melancarkan premis misi asing di Kabul termasuk ibu pejabat Nato September lalu.

Jurucakap polis berkata, pertempuran antara pasukan keselamatan dan militan di kawasan Parlimen berakhir pagi ini.

Agency

Puting beliung landa 5 negeri Amerika

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SEBUAH kediaman rosak akibat puting beliung di Thurman, Iowa.
Lima maut taufan mengganas di Oklahoma, Kansas, Nebraska, Iowa dan Wichita

KANSAS CITY: Sekurang-kurangnya 12 puting beliung melanda sebahagian kawasan negeri Oklahoma, Kansas, Nebraska dan Iowa kelmarin sebelum melalui Kansas dan tempat lain menyebabkan lima terbunuh dan merosakkan sedikit harta benda awam di kawasan dataran tengah dan selatan Amerika Syarikat.

Lima terbunuh apabila satu puting beliung melanda barat laut bandar Woodward di Oklahoma semalam. Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Keli Cain, berkata pejabat pemeriksa perubatan negeri mengesahkan kematian itu.

Datuk Bandar Woodward, Roscoe Hill berkata dia tidak mendengar loceng amaran dibunyikan mengenai puting beliung yang melanda jam 12.18 tengah hari waktu tempatan.

Di Iowa, sebuah hospital di bandar Creston, rosak menyebabkan pesakit dipindahkan ke hospital lain.

Satu puting beliung juga melalui bandar Wichita, Kansas.

Pakar meteorologi, Brandon Redmond, bersama unit Pasukan Berjaga-jaga Cuaca Buruk, berkata puting beliung itu lalu dengan kenderaannya yang terangkat lebih 60 sentimeter, di selatan Iowa.

“Puting beliung menyelubungi kenderaan kami. Itu saat paling menakutkan bagi saya,” katanya.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, keadaan paling teruk berlaku di Oklahoma, Nebraska dan Kansas. Tempat lain yang dilanda angin kencang membawa batu sebesar besbol.

Ribut besar juga diramal melanda kawasan dari Texas hingga Minnesota. Agensi cuaca itu juga memberi amaran taufan yang melanda lewat malam lebih bahaya kerana ia kurang disedari disebabkan kegelapan dan hujan.

Di Dawn, pinggir Oklahoma, satu puting beliung merosakkanteruk sebuah rumah selain menyebabkan pokok tumbang dan memutuskan bekalan elektrik, kata jurucakap pihak berkuasa bandar, Kristy Yager.

Tahun ini, musim puting beliung melanda Amerika bermula awal dan menjadi punca 57 kematian di kawasan Midwest dan Selatan, menimbulkan kebimbangan ia mengulangi catatan pada 2011 yang terburuk dalam tempoh satu abad. – Reuters

Kesan politik durjana Umno terhadap Melayu

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Isu perpaduan menjadi topik utama dalam pelbagai medium perbincangan, khusus di kalangan orang Melayu. Perpecahan digambarkan berpunca dari wujudnya parti politik yang ditunjangi oleh kelompok orang Melayu.

Ia seolah-olah menjadi unsur utama perpecahan sehingga diucap oleh kebanyakan pimpinan samada pimpinan politik atau agama.

Persoalan utama apakah kewujudan parti politik menjadi punca perpecahan Melayu. Kalau kewujudan parti politik menjadi punca perpecahan, kenapa kita menerima sistem demokrasi yang mengizinkan wujudnya pelbaga parti politik, dan kenapa kerajaan meluluskan pendaftaran pelbagai parti politik khusnya parti berteraskan perkaumanan - kerana dengan meluluskan pendaftaran parti tersebut, kita mengizinkan rakyat Malaysia berpecah.

Hakikatnya masyarakat Melayu tidak berpecah, mereka hanya berbeza pandangan dan sokongan kepada parti parti politik yang sah dari sudut perlembagaan. Bilamana kita menerima sistem demokrasi bermakna kita mesti bersedia untuk menerima perbezaan pandangan, sokongan dan kelompok yang berbeza.

Andainya ini diterjemahkan sebagai perpecahan, maka tentulah golongan yang menganggap demikian tidak memahami erti sistem demokrasi. Bahkan dalam satu parti, masih wujud kelompok- kelompok yang berbeza.

Kita mesti bersikap terbuka dalam menilai sesuatu keadaan, kerana kalau perbezaan pandangan dan sokongan dianggap perpecahan, maka tindakan kerajaan meluluskan pendaftaran parti bersifat perkauman seperti Umno yang memperjuangkan Melayu, MIC yang memperjuangkan nasib kaum India, MCA yang memperjuangkan nasib kaum Cina mesti diharamkan, kerana inilah punca utama wujudnya masalah besar perpaduan nasional dalam negara kita.

Bagi PAS, kita menilai perbezaan bukanlah perpecahan, sebaliknya ia adalah perkara normal dalam mana-mana negara atau kelompok masyarakat sekalipun. Kerana itu, al Quran menjelaskan:

"Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka.” –Al-Anfaal:63

Dalil di atas menunjukkan kepada kita penyatuan mesti berdasarkan nilai universal yang bukan bersifat bangsa, warna kulit, dan keturunan. Kerana ini bukan pilihan manusia.

Tidak mungkin kita boleh menukarkan bangsa Melayu untuk menjadi Cina, India untuk ditukar menjadi Jawa dan seterusnya. Yang boleh ditukar ialah sesuatu yang dalam pilihan manusia seperti agama (aqidah) kerana manusia boleh memilihnya.

Kerana itu, Islam tidak meletakkan soal agama sebagai unsur paksaan, kerana ia dibina di atas keyakinan seseorang.

Namun, Islam menyarankan agar dakwah dilaksanakan di kalangan masyarakat agar Islam diketahui dan difahami dengan sebenarnya. Kerana seandainya seseorang memahami dengan sebenarnya ajaran Islam yang bersifat universal ini, tentu ia akan menerima Islam sebagai agama pilihan.

Bagi golongan yang tidak menerima bukanlah musuh, kerana yang dianggap musuh adalah yang menentang atau bersikap memusihi Islam. Ini adalah perkara normal di mana-mana sistem pun. Golongan komunis tidak akan menerima kaum kapitalis dalam pentadbirannya.

Adalah malang bagi golongan Melayu Islam bilamana perpaduan Melayu itu dilihat sekiranya orang Melayu menyokong Umno yang bersifat asabiah, manakala golongan yang menyokong PAS atau PKR dianggap golongan yang memecah belah masyarakat Melayu.

Keadaan ini telah diasak dalam pemikiran rakyat, sehingga ianya diterima oleh sebahagian orang Melayu, dan itu adalah hakikat yang paling menyedihkan dalam kesan terus politik asabiah Umno terhadap kaum yang mereka ingin bela.

Pemikiran tertutup inilah sebenarnya yang membawa perpecahan di kalangan orang Melayu. Sehingga Melayu menjadi lemah, lebih-lebih lagi malas dan hilang daya saing kerana sentiasa bergelumang dalm salah guna kuasa, masalah moral dan rasuah sebagai jalan keluar.

Sedangkan semua pimpinan di semua peringkat adalah orang Melayu - dari Raja-raja, Perdana Menteri, Timbalan menteri, Menteri Besar, Exco-exco, pegawai daerah, penghulu, ketua kampung dan JKK.

Apabila Melayu lemah, muncullah pimpinan Umno bangkit menyalahkan Cina (DAP). Sedangkan berpuluh tahun orang Melayulah mendominasi pimpinan negara.

Inilah sikap dan politik durjana Umno yang bilamana gagal mengurus tadbir negara dengan baik , maka diletakkan kesalahan kepada PAS sebagai punca perpecahan Melayu, manakala nasib orang melayu yang lemah dan semakin jatuh berpunca dari DAP.

Lebih menyayatkan rakyat Malaysia, pembohongan ini diterima oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana perkara ini diulang-ulang oleh Umno di media perdana seolah-olah ia benar, walhal asalkan seseorang itu rajin berfikir sejenak, pembohongan ini mudah dikesan dan disedari.

Harakah Daily

Pelajar dakwa cedera ringan selepas pergelutan di Dataran

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Empat orang siswa mendakwa mengalami cedera ringan dalam pergelutan dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika pegawai tersebut cuba merampas khemah mereka pagi ini.

Insiden berkenaan didakwa berlaku pada kira-kira jam 10.15 pagi, apabila pegawai dianggarkan seramai 30 orang itu bersemuka dengan pelajar terbabit dalam cubaan mereka untuk meruntuhkan satu khemah pelajar terbabit.

Empat pelajar berkenaan mendakwa cedera dalam pergelutan yang berlaku selepas itu.

Pengerusi kumpulan pelajar Malaysia Bangkit Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, salah seorang pelajar berkenaan mengalami calar manakala tiga yang lain didakwa telah ditumbuk.

Mohd Syahid mendakwa beliau sendiri ditumbuk di bahagian dadanya manakala seorang lagi, Alif Asyraf antara lain didakwa mengalami calar-calar setelah pelajar itu didakwa diheret dan ditendang.

Kumpulan pelajar itu merupakan saki-baki pelajar yang berhimpun dan berarak di pusat bandar Kuala Lumpur pada Sabtu lalu untuk menuntut supaya pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dimansuhkan.

Mereka seterusnya mendirikan khemah di satu sudut Dataran Merdeka dan bertegas untuk terus berkhemah di situ sehingga perhimpunan 'duduk bantah' BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April.

malaysiakini/-

Akta ganti ISA lebih keras - Anwar

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 April: Pakatan Rakyat menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun membantah pindaan Rang Undang-undang (RUU) yang disifatkan sebagai lebih keras.

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa perkara dalam RUU Keselamatan 2012 bercanggah dengan prinsip menghormati demokrasi.

Beliau merujuk kepada fasal 4 RUU tersebut yang menyentuh tentang kuasa penangkapan dan penahanan.

Ia ada menyebut bahawa mereka yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan.

Kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah bukan seperti peruntukan dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman kecuali dalam tatacara tahanan.

"Apa yang kita bantah ialah cadangan pindaan peruntukan yang memperkenalkan peruntukan yang lebih keras daripada sebelum ini.

"Sekarang (RUU baru) kita rujuk ke mahkamah tapi semua mandatori. Pendakwa hanya bangun dan katakan tahanan perlu ditahan semula. Hakim tidak ada pilihan.

"Apa beza dengan ISA? ISA guna Jabatan Peguam Negara dan polis untuk tahan orang tetapi sekarang guna mahkamah tapi mahkamah tak ada peranan seperti mahkamah," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, sewaktu berbahas di dalam dewan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa RUU itu kepada Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum dibahaskan.

Katanya, masa sehari yang diperuntukkan untuk membahaskan RUU tersebut tidak mencukupi kerana banyak isu-isu yang berbangkit.

"Saya mengusulkan Perdana Menteri menimbangkan secara serius dalam jawatankuasa khas sebelum kita luluskan dalam waktu yang cukup terbatas.

"Kalau ada semangat nak memperjuangkan demokrasi apa salahnya dirujuk supaya diteliti dan tidak diserahkan hanya kepada kerajaan dan peguam negara untuk diptuskan dan diluluskan dalam masa sehari," katanya.

Terdahulu, RUU Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 dibacakan kali kedua oleh Perdana Menteri.

Harakah Daily

Gajet elektrik wujudkan peluang berlakunya jenayah

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gajet peribadi yang berteknologi tinggi seperti telefon, iphones, notebook, adalah antara yang memberi kemudahan di hujung jari di samping menyenangkan kehidupan harian pengguna.

Semua gajet ini begitu mempengaruhi kehidupan hari ini. Kita berkomunikasi menerusi suara dan mendapatkan maklumat, menyiapkan tugas dan malahan menyimpan maklumat rahsia peribadi menerusi gajet berkenaan.

Namun gajet elektrik juga mempunyai kelemahan. Selain menghadkan interaksi bersemuka, ia juga berkompromi dengan keselamatan data peribadi.

Bayangkan apabila anda kehilangan gajet berkenaan, sebenarnya anda bukan setakat kehilangan gajet malahan maklumat peribadi seperti nombor pin, alamat, gambar dan data peribadi lain yang disimpan dalamnya.

Oleh itu, pemilik gajet berkenaan adalah terdedah kepada unsur-unsur jenayah. Apabila data peribadi pemilik gajet diperoleh oleh penjenayah, mereka bukan sahaja boleh mengeluarkan wang pemilik dari akaun bank atau untuk tujuan ugutan, malahan mereka boleh terpacul di depan pintu rumah pemilik gajet.


Mudah hilang

Gajet mudah alih ini juga senang jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini apabila pemiliknya lalai atau ia dicuri.

Tambahan pula, kemudahan internet Wifi percuma yang disediakan pihak restoran pula, akan menggalakkan orang ramai membawa komputer bimbit masing-masing dan duduk berlama-lamaan bersama rakan sehingga dinihari.

Golongan ini kebanyakannya remaja dan pelajar, yang mungkin pada mula alasannya untuk bersama-sama membuat tugasan, namun tidak sedar kemudahan internet itu boleh mengundang malapetaka kepada mereka sendiri dan pemilik restoran.

Rompakan di sebuah restoran mamak 24/7 yang terkenal di Shah Alam pada tahun lepas, yang mana klip video dari kamera litar tertutupnya yang memaparkan kejadian itu dimuatnaik dalam laman sosial jelas menunjukkan pemilik gajet yang menggunakannya di tempat awam terdedah kepada penjenayah.

Dalam kejadian itu juga, beberapa pelanggan lain dirompak.

Ini adalah antara tempat yang paling senang anda boleh kehilangan gajet peribadi.


Kesedaran yang kurang

Bukan itu sahaja, malah sikap sesetengah mereka yang suka mengambil mudah, meletakkan telefon bimbit di atas meja makan di restoran, meletakkan beg di kedai makan atau hotel atau di kerusi tanpa perhatian semasa mengambil makanan juga boleh mengundang penjenayah untuk melakukan kerja terkutuk itu.

Pengurus projek Vitaldelta Sdn Bhd, Syahrul Izwan Abdul Wahab ketika mengimbas kembali kejadian di sebuah restoran di Shah Alam, berkata, rakannya yang sedang berbual bersama-sama yang lain didatangi oleh seorang pemuda yang tidak dikenali dan memberi salam sebelum melarikan telefon bimbit yang diletakkan di atas meja.

"Tiada unsur pukau berlaku, tetapi mereka terkejut dengan tindakan pemuda berkenaan dan terpinga-pinga dengan kejadian itu," kata bapa kepada tiga anak itu.

"Tetapi sejak kejadian di Shah Alam, dan kejadian di mana penjenayah merompak telefon bimbit rakan saya semasa sedang makan dan berbual-bual, saya mengambil langkah berhati-hati tidak membawa peralatan ke restoran. Saya akan buat kerja di rumah atau pejabat sahaja," katanya.

Tempat letak kereta juga adalah tidak selamat namun pemilik kenderaan masih mengamalkan sikap meninggalkan peralatan seperti notebook dalam kenderaan dan ini sememangnya menarik perhatian pencuri.

Rakan penulis pernah mengalami kerugian beratus ringgit menggantikan cermin belakang keretanya kerana kereta dipecahkan semasa diletakkan di sebuah tempat letak kereta kerana meninggalkan sebuah fail mesyuarat yang hanya berisi beberapa helai kertas kosong, pen dan aturcara majlis yang dianggap berisi barang berharga oleh penjenayah berkenaan.

Selain itu, sikap mengambil mudah juga perlu diubah dengan meninggalkan barang-barang berharga ataupun beg dalam kereta, kerana nanti kita tidak mahu kembali ke kereta dengan cermin tingkapnya pecah dan terpaksa menggantikannya yang tentunya berharga ratusan ringgit.

Paling tidakpun, kalau tidak mahu membawanya bersama, sorokkanlah barang-barang dan alat elektronik itu di tempat yang sesuai dan bukannya diletakkan di tempat yang boleh orang yang lalu lalang melihatnya kerana ia adalah satu peluang jenayah.


Beringat guna alat GPS, maklumat dalam telefon bimbit

Penulis juga ada menerima e-mel daripada seorang rakan yang mengingatkan supaya tidak meninggalkan alat pengesan kedudukan global atau singkatannya GPS dan alat kawalan jauh pagar elektrik dalam kereta.

Amaran itu juga menyebut berkemungkinan sekiranya kereta dicuri, penjenayah berpeluang untuk menggunakan kedua-dua alat itu pulang ke rumah pemilik kenderaan dan kemudian merompak di rumah pula, sedangkan jiran-jiran tidak perasan bahawa bukan tuan rumah yang pulang!

Begitu juga dengan memasukkan nama isteri atau suami dengan gelaran manja seperti 'sayang' atau 'ayang' dalam telefon bimbit, yang kemudiannya dicuri yang membolehkan si penjenayah mengirim sistem pesanan ringkas kepada suami atau isteri itu meminta kata laluan dan sebagainya untuk mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM).


Urus risiko, lihat diri sendiri boleh jadi mangsa

Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim yang mengulas isu ini berpendapat masyarakat perlu mengurus risiko-risiko ini dengan baik supaya kelak mereka sendiri tidak menjadi mangsa atas kejadian seumpama.

Katanya, dalam pengurusan risiko peluang untuk berlakunya jenayah, masayarakat tidak hanya boleh bergantung kepada polis dalam setiap hal tetapi perlu mengambil inisiatif sendiri.

"Kalau kita mengambil sikap sambil lewa, kita wajar untuk menyalahkan diri sendiri. Walaupun saya tak dapat pastikan kebenaran kejadian sama ada berlaku atau tidak kejadian dalam e-mel itu, kita perlu mengambil pengajaran daripadanya," katanya, yang juga anggota exco Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Beliau berkata orang ramai perlu mengambil inisiatif untuk tidak meletakkan segala-gala maklumat peribadi dalam telefon bimbit kerana ia boleh mengundang bahaya sekiranya ia hilang, tercicir atau dicuri.

"Masalah kita ialah keengganan melihat diri sendiri menjadi mangsa. Ini perlu diperbetulkan. Siapa tahu kelak kita sendiri akan menjadi mangsa, komputer riba kita pula yang dirompak," katanya yang juga anggota Persatuan Kaji Jenayah British dan Persatuan kaji Jenayah Amerika Syarikat.


Curiga dengan jualan gajet murah

Pada masa sama, masyarakat perlu melaporkan kepada polis mengenai pihak-pihak yang cuba menjual telefon bimbit, komputer bimbit dengan harga yang sangat murah dan sukar diterima akal kerana ini berkemungkinan barang curi.

Membeli barang curi adalah satu kesalahan kerana bersubahat, katanya.- Bernama

Sinar Harian

Peminat gagal kawal emosi, Chelsea pohon maaf

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KELAB Chelsea memohon maaf kepada semua pihak ekoran kelakuan penyokongnya yang dikatakan telah mencemari upacara member penghormatan pada perlawanan Piala FA antara Chelsea dan Tottenham, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Sebelum perlawanan bermula, semua penyokong dan pemain diminta memberi penghormatan sebagau tanda memperingati penyokong Liverpool yang meninggal dunia dalam malapetaka Hillsborough 1989 dan kematian pemain bola sepak Itali, Piermario Morosini akibat serangan jantung, Sabtu lalu.

Bagaimanapun sebahagian penyokong Chelsea telah mengganggu upacara tersebut sehingga menyebabkan ia terpaksa disingkatkan.

Dalam satu kenyataan kepada BBC, Chelsea berkata, "mereka amat kecewa" dan "malu" dengan insiden penyokongnya yang gagal mematuhi permintaan memberikan penghormatan.

"Ini menyebabkan perlawanan tersebut telah dicemari dengan kelakuan peminat yang gagal mengawal emosi sekali gus tidak menghormati upacara penghormatan.

Chelsea menumpaskan Tottenham 5-1 dalam perlawanan separuh akhir ini, yang dikatakan berkontroversi dan berjaya mara ke final untuk bertemu dengan Liverpool.

Sinar Harian