16 April 2012

Piala Thomas: Peranan Chong Wei penting

24 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Peranan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei meraih satu mata buat negara penting sebagai pembakar semangat kepada pasukan untuk layak ke separuh akhir Piala Thomas yang bermula 20 hingga 27 Mei di Wuhan, China, kata jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock.

"Kita memang mensasarkan layak ke separuh akhir. Peluang tetap ada kerana bermain secara berpasukan berbeza dengan individu. Peranan Chong Wei lebih penting untuk mendapat satu mata bagi membakar semangat pasukan apabila menentang Denmark nanti.

"Undian semalam okey, kita memang tidak boleh elak sebab Malaysia berada pada kedudukan keenam dan tidak boleh lawan empat pasukan teratas. Kita perlu layak ke suku akhir dulu," katanya kepada pemberita di Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya Liew Daren dan Muhammad Hafiz Hashim diturunkan pada Piala Thomas nanti, mereka perlu bersiap sedia dari segi mental untuk membantu skuad layak ke suku akhir.

Tey berkata undian kumpulan Piala Thomas pada tahun ini lebih seimbang dan berpendapat peluang untuk menang cerah kepada semua pasukan yang bertanding.

Sementara itu, jurulatih beregu negara Tan Kim Her berkata prestasi beregu emas negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong semakin baik namun beliau akan menurunkan pemain yang terbaik bagi membantu pasukan menentang pasukan Denmark nanti.

"Pada pandangan saya lebih baik memberi pengalaman kepada beregu negara Goh V Shem/Lim Khim Wah, juara atau naib juara kumpulan itu tidak penting," kata Kim.

Meskipun gandingan beregu harapan negara Koo/Tan tidak konsisten namun bagi Kim ia bukan kayu pengukur prestasi anak buahnya itu merudum.

Prestasi Koo/Tan adalah baik, walaupun mereka kalah semasa kejohanan All England yang lepas, mereka memberi saingan yang hebat pada lawan mereka sambil berharap mereka akan meningkatkan permainan mereka pada kejohanan Terbuka India nanti.

Kim berkata beliau akan menurunkan beregu simpanan yang terbaik dan tidak mengira mereka pemain profesional atau tidak.

"Tarikh tutup untuk memberi nama pemain pada 3 Mei depan, saya masih beri peluang dan menilai semua pemain. pada pendapat saya prestasi sekarang Hoon Thien How lebih berpeluang sekiranya berganding dengan Tan selepas mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (CNT), kita akan tahu siapa lebih layak nanti," kata Kim.

Skuad Piala Thomas negara berada pada laluan mudah mara ke suku akhir kejohanan itu apabila diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark serta Afrika Selatan.

Berdasarkan format pertandingan, undian suku akhir akan diadakan sebaik tamat saingan peringkat kumpulan dengan setiap juara kumpulan akan diletakkan sebagai pasukan pilihan dan lawan mereka adalah pasukan yang muncul naib juara kumpulan yang akan ditentukan menerusi cabutan undian.

Skuad negara layak beraksi di pusingan akhir itu selepas mara ke separuh akhir dalam pusingan kelayakan Zon Asia yang diadakan di Macau pada 13-19 Februari lalu.


Undian Piala Thomas
--------------------

Kumpulan A: China, Indonesia, England
Kumpulan B: Jepun, Russia, New Zealand
Kumpulan C: Denmark, MALAYSIA, Afrika Selatan
Kumpulan D: Korea Selatan, Jerman, Amerika Syarikat

Undian Piala Uber
------------------

Kumpulan A: China, Indonesia, Afrika Selatan
Kumpulan B: Taiwan, Thailand, Belanda
Kumpulan C: Korea Selatan, Jerman, Australia
Kumpulan D: Jepun, Denmark, Amerika Syarikat

- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: